Rotan peminta sedekah, polis tahan 2 lelaki

Sebaran :

Rotan peminta sedekah, polis tahan 2 lelaki

Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kejadian memukul dua gelandangan di hadapan sebuah bank di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), seperti yang tular menerusi media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong, berkata kejadian terhadap dua gelandangan lelaki yang juga peminta sedekah itu berlaku pada 2 petang, Rabu lepas dan seorang daripada gelandangan itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian pada hari sama.

“Menurut mangsa, dia bertindak merakam kejadian dua lelaki memukul seorang peminta sedekah menggunakan rotan di hadapan sebuah bank di KOMTAR menerusi telefon bimbitnya dan apabila tindakannya disedari kedua-dua lelaki itu, mereka turut memukulnya menggunakan rotan sama.

“Kejadian menyebabkan mangsa mengalami lebam di belakang badan, siku kanan dan betis serta dirawat di Hospital Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan.

Soffian berkata, susulan laporan dibuat mangsa, polis menahan dua lelaki berusia 27 dan 43 tahun yang bekerja sebagai penyelia pembersihan di bangunan KOMTAR pada Ahad lepas bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua batang rotan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Katanya, ujian air kencing mendapati kedua-duanya negatif dadah namun seorang daripadanya mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah.

Menurut Soffian, hasil siasatan mendapati dua lelaki tersebut sering memukul peminta sedekah atau orang gelandangan yang berada di sekitar hadapan bank itu.

“Kedua-duanya kini direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan senjata. Kertas siasatan kes itu juga telah lengkap dan akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang menyalahi undang-undang sehingga mendatangkan mudarat kepada orang lain sekali gus mengambil pendekatan bijak serta mengikut lunas undang-undang dalam menyelesaikan sebarang masalah.

Terdahulu, tular menerusi Facebook dan Twitter tiga video berdurasi dua minit, 20 dan 45 saat antaranya memaparkan seorang lelaki mendakwa dipukul oleh beberapa individu di kawasan KOMTAR. FMT

Rotan peminta sedekah, polis tahan 2 lelaki


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Fesyen Ameera Khan disamakan karpet Nilai 3


Sebaran :

Leave a Reply