PKR saran pasukan khas LHDN-BNM-JSJK siasat Kertas Pandora

Sebaran :

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail telah mencadangkan kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas khas berkaitan Kertas Pandora dengan tujuan untuk menyiasat jumlah kerugian hasil cukai yang disebabkan oleh pegangan luar pesisir Malaysia dan memulihkan kerugian tersebut.

Dia berkata pasukan petugas itu perlu melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM dan perwakilan Kementerian Kewangan (MOF).

“Kertas Pandora lebih besar daripada 1MDB, tetapi sampai sekarang tidak ada perbincangan (oleh pihak berkuasa untuk menyiasat).

“Sekiranya kita menganggap 1MDB sebagai isu nasional, maka Kertas Pandora lebih serius,”

Menurut Azan setelah siasatan pasukan petugas khas dijalankan maka kerajaan boleh membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang dapat menghasilkan Kertas Putih yang dapat dibentangkan dan dibahaskan di parlimen.

Ini, katanya dapat meningkatkan keyakinan pelabur dan kerajaan Ismail Sabri Yaakob dapat menunjukkan ia serius dalam menangani masalah ini, tidak seperti kerajaan sebelumnya.

Kertas Pandora merujuk kepada lebih daripada 11 juta dokumen daripada 14 penyedia perkhidmatan yang membantu individu dan syarikat menubuhkan entiti di ‘syurga perlindungan cukai’.

Pengumpulan data dibuat oleh Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ), yang berkongsi akses kepada sekitar 600 wartawan di seluruh dunia, termasuk Malaysiakini.

Antara orang ternama Malaysia yang tercatat dalam Kertas Pandora ialah bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen PKR Selayang William Leong.

Semua individu yang terlibat mendakwa urus niaga mereka dengan entiti luar pesisir, termasuk memiliki atau dilantik menganggotai lembaga syarikat-syarikat ini adalah sah.

Mereka juga menjelaskan semua cukai wajar telah dibayar untuk sebarang aset dan pendapatan yang berkaitan dengan syarikat luar pesisir tersebut.

Bukan cari unsur jenayah tapi periksa cukai

Pun begitu, Azan berkata ini tidak boleh ditanggapi sebagai fakta dan kerajaan mesti menunjukkan keseriusan terhadap masalah ini dengan memeriksa apakah masih ada hutang yang perlu dibayar, walaupun bukan untuk tujuan hukuman.

“Ini bukan untuk menghukum atau menangkap (pihak yang dinamakan dalam Kertas Pandora). Pada tahap pertama adalah melihat apakah ada kelalaian dari segi cukai yang perlu dibayar, dan kemudian kita dapat berusaha mengumpulkan jumlah hutang.

“Kami boleh menawarkan pembayaran cukai dan bukannya penalti bagi mereka yang bekerjasama untuk membayar cukai tertunggak. Tidak ada kaitan dengan mencari unsur jenayah,” katanya.

Dia berkata telah ada berbagai janji yang tidak dipenuhi untuk Kertas Putih mengenai isu kebocoran kewangan negara sebelum ini, termasuk isu BMF sekitar empat dekad lalu, yang melibatkan dana RM1.6 bilion.

Bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi telah menubuhkan pasukan petugas yang diketuai oleh menteri kewangan II Nor Mohamed Yaakob mengenai isu dana haram bernilai RM5 bilion, tetapi itu juga tidak pernah selesai selepas Kertas Putih diserahkan ke parlimen.

Dia berkata dengan mengumumkan pasukan petugas khas, diikuti oleh RCI dan perbahasan parlimen dari Kertas Putih, Perdana Menteri Ismail Sabri dapat mengurangkan spekulasi terhadap Kertas Pandora dan menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani masalah kehilangan pendapatan kerajaan.

Sebelum ini, ketika ditanya oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di parlimen bagaimana kerajaan berniat untuk memulihkan kemungkinan kehilangan hasil dari aset yang berada di luar negera, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz telah mengesampingkan soalan itu.

Menurut Zafrul, rakyat Malaysia bebas untuk menubuhkan entiti luar pesisir dan menyimpan dana dengan bank berlesen di luar negara.

Usul Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim untuk membahaskan Kertas Pandora di Dewan Rakyat juga telah ditolak oleh Speaker, Azhar Azizan Harun yang mencadangkan perkara itu harus dikaji semula di peringkat jawatankuasa parlimen.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PAC tak puas hati – prestasi Amanah Raya tidak memuaskan


Sebaran :

Leave a Reply