BN Akan Kalah Jika PRN Ditangguhkan

Oleh Nurul Aisyah

RAKYAT Melaka dilihat sudah tidak sabar mahu mengundi. Mereka sudah bosan terkurung begitu lama apabila darurat diistiharkan kononnya bagi mengekang pandemik Covid19 memandangkan angka kes harian tetap semakin tinggi.

Penyelesaian kes harian tinggi rupa-rupanya pada kadar vaksinasi bukannya pada darurat yang mengekang pergerakan rakyat serta menyebabkan ekonomi rakyat semakin buruk.

PRN Melaka tidak boleh ditangguhkan dengan menggunakan alasan darurat memandangkan lebih 90 peratus pengundi (populasi dewasa) telah divaksin. Rentas negeri sudah dibenarkan, bermakna keadaan COVID-19 terkawal.

Rakyat perlu belajar hidup bersama Covid19. Mereka hanya perlu membiasakan diri patuh pada SOP disamping mengamalkan gaya hidup sihat.

Pada masa dan ketika ini, PRN Melaka boleh diadakan dan risiko lonjakan kes COVID-19 seperti yang berlaku susulan PRN Sabah, tahun lalu, sebenarnya berupaya diatasi. Situasi pandemik kini jauh berbeza dengan keadaan ketika PRN Sabah yang lalu.

Dan yang paling penting, Barisan Nasional(BN) akan kalah sekiranya PRN Melaka ini ditangguhkan.

Pilihan Raya akan mula menggunakan sistem berkaitan had usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik bermula Februari tahun depan. SPR akan memastikan perkara membabitkan peraturan dan perundangan bagi pelaksanaan dua perkara itu selesai menjelang 31 Disember tahun ini, dan ia sedia digunakan awal tahun depan.

Apabila pengundi remaja yang berumur 18 tahun sudah boleh mengundi maka ketidak tentuan corak politik akan mula dirasai. Kita sukar menjangka apa yang ada dalam fikiran pengundi 18 tahun ini.

Kemungkinan mereka tidak mengundi BN adalah besar terutama sekiranya BN tidak menampilkan calon muka-muka baru. Sekiranya muka baru tetapi usia calon sangat lanjut pun dilihat bakal menjadi faktor penolakkan oleh pengundi muda.

Selain daripada itu, kriteria seperti ahli agamawan atau individu yang berperwatakan jujur dan baik juga dilihat mampu menarik sokongan pengundi muda. Kesimpulannya faktor calon memainkan peranan penting dalam PRN Melaka.   Calon “winable” akan menentukan kemenangan parti dalam PRN ini.

Melaka hanya mempunyai 28 DUN, berbanding 73 DUN di Sabah yang membabitkan limpahan kehadiran dari luar sepanjang tempoh berkempen. Penguatkuasaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika PRN Sabah dilihat sangat lemah.

Jika PRN Melaka diadakan, situasi dijangka berlainan dengan persediaan untuk mengelak kesilapan ketika PRN Sabah daripada berulang. Punca Parti politik yang tidak mahu PRN Melaka diadakan, kerana mereka belum bersedia dan ingin mengambil ‘jalan selamat’.

PRN Melaka dilihat akan mampu memberi pengalaman baik kepada SPR untuk membuat persediaan awal sebelum menjalankan PRU-15 yang lebih besar dan mencabar.

Menyerahkan semula mandat kepada rakyat melalui PRN adalah jalan terbaik serta bertanggungjawab dalam menyelesaikan kemelut politik di Melaka itu. Pulangkan semula hak kepada rakyat.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker