Tuduhan pandu melulu sebab kematian 8 remaja, jurujual kekal bebas

Tuduhan pandu melulu sebab kematian 8 remaja, jurujual kekal bebas

Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini mengekalkan keputusan seorang jurujual wanita dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak, empat tahun lalu.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Majistret Siti Hajar Ali membacakan keputusan kes di akhir pembelaan, selepas tertuduh diarahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi pada Februari lalu.



Tertuduh, Sam Ke Ting, 26, sebelum ini dilepas dan dibebaskan Mahkamah Majistret tanpa dipanggil membela diri, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan pada 28 Okt 2019.

Siti Hajar yang membuat keputusan itu sebelum ini, sekali lagi memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh di akhir kes pembelaan serta keterangan diberikan tertuduh ketika membela diri adalah munasabah dan bukan penafian atau rekaan semata-mata.

“Setelah mendengar keterangan dikemukakan dan menimbang hujah pendakwaan serta pembelaan di akhir kes pembelaan, adalah tidak selamat untuk menyabitkan kesalahan ke atas tertuduh.

“Ini selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah. Tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.



Katanya, mahkamah membuat keputusan itu selepas mengambil kira keterangan tertuduh tidak ada pengetahuan terhadap aktiviti basikal lajak di lokasi kejadian pada 3 pagi adalah munasabah.

“Tertuduh yang dalam perjalanan pulang daripada perarakan dewa Pesat Chingay menyatakan beliau tidak tahu ada aktiviti basikal lajak pada waktu itu dan tiada sebarang amaran terhadap keberadaan kumpulan basikal lajak di situ.

“Keterangan tertuduh yang dia memandu di bawah had laju dan lorong paling kiri lokasi kejadian, iaitu Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), yang mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5km sejam atau 75.8km sejam.”

Beliau berkata, faktor permukaan lokasi kejadian yang mendaki bukit, berselekoh dan dalam keadaan gelap menyebabkan tertuduh tidak nampak kumpulan basikal lajak itu di bahu, tepi dan tengah jalan di sebalik selekoh berbukit itu.



“Terdapat juga keraguan identiti sebenar pemandu kereta yang didakwa dipandu tertuduh.

“Ini berikutan kewujudan seorang lagi lelaki berbangsa Cina di lokasi kejadian dan terdapat kemungkinan munasabah tertuduh menumpang kereta yang dipandu rakan itu.

“Timbul keterangan saksi lain yang mencetuskan persoalan gagal dijelaskan. Oleh itu, tertuduh tidak boleh dihukum atas kegagalan pegawai penyiasat melaksanakan tanggungjawab beliau dalam menyiasat kes dengan sempurna.”

Mahkamah turut mengarahkan lesen memandu jurujual wanita itu yang digantung sepanjang perbicaraan, dikembalikan semula kepadanya serta-merta.



Pendakwaan dikendalikan Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Pengarah Pendakwaan Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman, manakala Sam diwakili peguam Muhammad Faizal Mokhtar.

Pada 18 Feb lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Sam membela diri atas tuduhan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Feb 2017, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan, Sam yang ketika kejadian berusia 22 tahun didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada 3.20 pagi.

Kelapan-lapan mangsa terlibat ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14 (ketika kejadian); Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. FMT



Tuduhan pandu melulu sebab kematian 8 remaja, jurujual kekal bebas


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bapa kudung rogol anak OKU dipenjara 15 tahun



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker