Parti baharu tidak beri kesan kepada dominasi UMNO

SHAH ALAM – UMNO dijangka terus kekal menjadi parti dominan walaupun dengan kemunculan pelbagai parti baharu kerana jenamanya yang kukuh, selain kekuatan lebih tiga juta ahli dan jentera akar umbinya yang sudah mantap.

Penganalisis Politik, Dr Jeniri Amir berkata, penubuhan parti baharu tidak akan memberikan apa-apa kesan kerana bukan mudah untuk menggerakkan sesebuah parti memandangkan ia memerlukan kepimpinan yang ampuh dan dapat mempengaruhi akar umbi.

Malah, beliau ragu bagaimana parti baharu seperti Parti Kuasa Rakyat akan dapat menggerakkan jentera di peringkat akar umbi.

“Selain itu, dari segi kewangannya dengan pelbagai cabaran ketika ini pasti ia memerlukan sumber kewangan yang kukuh.

“Cabaran pandemik Covid-19 juga pastinya akan terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) dan mungkin aktiviti berkempen tidak boleh diadakan secara terbuka.

“Akhirnya, parti ini akan jadi parti nyamuk dan tidak memberikan apa-apa kesan kecuali akan memecahkan lagi undi walaupun mereka kata sokong Barisan Nasional (BN).

“Kecuali, parti itu tidak bertanding, mungkin dapat membantu tetapi perlukah satu lagi parti baharu pada saat parti Melayu yang sedia berpecah? Perpecahan Melayu akan semakin teruk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang penubuhan sebuah lagi parti politik baharu iaitu Parti Kuasa Rakyat yang memperjuangkan golongan B40 dan M40 atau rakyat marhaen.

Jeniri yang juga Felo Majlis Profesor Negara berkata, pengundi Melayu khususnya, dijangka terus menyokong UMNO, Pas dan sebahagiannya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Parti-parti ini jelasnya, akan berebut undi pengundi Melayu.

“Parti baharu tidak akan memberikan banyak impak. Tengok sahaja Bersatu dalam keadaan landskap politik begitu parah pada 2018, hanya dapat 13 kerusi walaupun dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas pemimpin hebat daripada UMNO.

“Bagi saya, UMNO masih dominan dan tidak akan tersungkur disebabkan faktor kepimpinannya masih ada, jumlah kerusi yang dimenangi juga masih terbanyak. Begitu juga dengan jentera akar umbinya selain UMNO juga ada sumber kewangan yang kukuh,” ujarnya.

Parti baharu tidak beri kesan kepada dominasi UMNO


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Parti Kuasa Rakyat mesra kerajaan, tapi tiada kaitan PM – Kamarazaman

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker