Mahathirkah Yang Jual Pulau Batu Puteh?

Oleh Nurul Aisyah

RAKYAT Malaysia wajib tahu bahawa kita sudah terlepas peluang untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh selepas Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman berhubung kes kedaulatan pulau itu serta Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 2018.

Mahathir membuat keputusan itu hanya beberapa hari sebelum kes itu dijadualkan dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 11 Jun 2018. Adakah beliau sedang menjual negara ketika itu?



Memang sangat menyedihkan apabila kedaulatan negara dipermainkan.

Dengan itu, rakyat sangat mengalu-alukan penubuhan jawatankuasa yang membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh yang akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Jawatankuasa yang dipersetujui Jemaah Menteri tersebut akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan.

Kita perlu tahu bahawa Mahathir yang bersetuju untuk membawa isu pemilikan Pulau Batu Puteh ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Kita kalah di ICJ ketika ini. Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya. Mahathir kononnya mengalirkan “air mata” kerana kehilangan pulau itu.



Datuk Seri Najib telah memfailkan rayuan ke ICJ untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh. Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan pada 30 Jun tahun sama, memohon supaya mahkamah mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Permohonan semakan itu difailkan berdasarkan penemuan baharu Malaysia melalui tiga dokumen penting, menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura, tidak pernah menganggap ia memperoleh kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh daripada Johor.

Dua daripada dokumen itu yang hanya boleh diakses kepada awam selepas ICJ memberikan penghakimannya, juga menunjukkan pegawai Tentera Laut British mengakui perairan di pulau terbabit adalah milik Johor.



Ironinya, Mahathir pula yang menghentikan rayuan Malaysia ke ICJ selepas PRU-14. Malah PM ke-7 itu menegaskan bahawa Malaysia tidak berminat untuk menuntut balik Pulau Batu Puteh. Beliau juga yang membenarkan tempoh rayuan ICJ untuk tamat sehingga kita benar-benar kehilangan Pulau Batu Puteh buat selama-lamanya. Mahathir menggunakan alasan kononnya atas faktor kos dan peluang untuk menang dalam rayua adalah tipis.

Ketika itu Mahathir telah mengarahkan Mohamed Apandi yang menjadi Peguam Negara dari 2015 hingga 2018, agar bercuti beberapa hari selepas pentadbiran negara bertukar susulan keputusan PRU-14 yang memihak Pakatan Harapan pada 9 Mei 2018.

Pulau itu begitu strategik dan kita kehilangan pulau itu begitu sahaja. Rakyat tidak dapat maafkan Dr Mahathir dalam perkara ini.

Singapura akan mula menambak tanah di sekitar pulau Batu Puteh atau Pedra Branca.Jika tiada bantahan dikemukakan ia akan menimbulkan isu kedaulatan negara lebih besar terutama membabitkan perairan di sekitar Pulau Batu Puteh, yang kini masih milik Malaysia.



Antara langkah yang sedang diambil republik itu adalah menuntut perairan sekitar Pulau Batu Puteh sejauh 12 batu nautika, sebagai miliknya. Ketika ini status perairan sekitar Pulau Batu Puteh, iaitu Tubir Selatan (South Ledge) masih menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura.

Penubuhan jawatankuasa kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh diharap dapat mengembalikan semula kedaukatan negara yang hilang disebabkan kerakusan Mahathir. Alasan yang beliau bagi dengan berhenti sebelum berjuang di ICJ untuk mendapatkan semula Pulau Batu Puteh dilihat sangat meragukan. Wujudkah elemen salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi Mahathir dan kroni beliau? Siasatan perlu dijalankan dengan terperinci.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker