Ambil pengajaran kaum Sadom yang dilaknat Allah

AR-RAUDHAH

Mutakhir ini kita melihat masyarakat kita sering didedahkan kepada hal-hal yang mungkar. Lebih membimbangkan, dosa itu dilakukan tanpa rasa segan dan malu, bahkan bangga mendedahkannya di laman sosial.

Semakin hari kemungkaran ini menjadi barah yang semakin sukar dibendung. Jika dahulu orang yang ingin melakukan dosa, pasti akan dilakukan secara sembunyi.

Namun tidak kini, mereka secara terang-terangan melakukannya di khalayak masyarakat. Lebih tenat, mendorong orang lain utk menyertai mereka bersama-sama dalam melakukan kemungkaran.

Kita sedia maklum dengan suatu kelompok yang kini sedang giat mempromosi fahaman mereka. Bermodalkan ungkapan ‘hak asasi manusia’, mereka tanpa segan silu menuntut daripada masyarakat dunia agar menerima naluri songsang mereka.

Suatu yang sukar diterima oleh fitrah dan akal manusia apabila kita dipaksa menerima aspirasi jijik ini.

Saban hari mereka semakin berani menyatakan ‘hak’ mereka sehingga sanggup mengadakan demonstrasi jalanan, forum, temu bual dan program ramah mesra dalam memperjuangkan slogan kebebasan yang bertentangan dengan fitrah yang dikurniakan oleh Allah

Situasi yang menggerunkan ini adalah ulang siar daripada umat yang terdahulu, yang hidup di zaman Nabi Lut a.s. Allah berfirman yang bermaksud: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan); (ingatlah peristiwanya) ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji sedang kamu nampak kejinya?”

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki, bukan perempuan, kerana memuaskan nafsu syahwat kamu. (Perbuatan kamu itu amatlah keji) bahkan kamu kaum yang jahil (yang tidak mengetahui akan akibatnya)”. (an-Naml: 54-55)

KISAH KAUM NABI LUT

Subhanallah, Allah sudah merekod sejarah hitam umat terdahulu di dalam al-Quran sebagai peringatan umat di akhir zaman. Cuma watak dan pelayarnya sahaja yang berbeza.

Berikutan itu juga Rasulullah SAW pernah bersabda akan kekhuatiran baginda perihal penyakit umat terdahulu, kaum Nabi Lut yang bakal menimpa umat Baginda SAW di akhir zaman.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesuatu yang paling aku takuti terjadi atas kalian adalah perbuatan kaum Luth dan dilaknat orang yang memperbuat seperti perbuatan mereka itu”; Nabi mengulangnya sampai tiga kali: “Allah melaknat orang yang berbuat seperti perbuatan kaum Lut”. (Riwayat Ahmad)

Komuniti LGBT iaitu singkatan daripada lesbian, gay, biseksual, dan transgender ini juga kuat mempertahankan keinginan sonsang mereka. Sehingga sanggup mengherdik dan merendahkan orang yang menolak pendirian mereka.

Mereka berasa mereka benar dan berpegang bahawa Allah telah menjadikan mereka berjiwa sonsang sejak mereka dilahirkan. Jika ada ahli masyarakat kita menegur dan membangkang pendirian mereka, mereka akan segera membidas dan memperlekeh teguran tersebut.

Begitu juga halnya kaum Sadom dahulu, saat ditegur oleh Nabi Lut a.s, mereka mengatakan Nabi Lut berlakon suci. Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: usirlah Lut dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya bersih suci. (an-Naml: 56)

Kedegilan kaum Sadom terhadap teguran Nabi Lut a.s kepada mereka, menjadikan Allah SWT bertambah murka di atas perbuatan mereka. Akhirnya, mereka diazab dengan diutus malaikat untuk mengangkat tanah yang mereka diami, lalu membalikkannya ke bawah sehingga terjadi hujan batu di negeri Sadom.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami, Kami jadikan negeri kaum Lut itu diterbalikkan (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan kami menghujaninya dengan batu-batu dari tanah yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan Ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu. (Hud: 82-83)

Betapa beratnya azab seksa yang Allah timpakan ke atas kaum Sadom kerana keingkaran dan kedegilan mereka mempertahankan hal mungkar.

Dalam mendepani gejala LGBT ini, seharusnya semua pihak memainkan peranan yang penting dalam menggembleng tenaga untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, khususnya anak muda, akan buruknya hubungan sonsang ini. Ia bukan sahaja berdosa, malah akan membantutkan proses pengimarahan bumi dengan hubungan yang tidak menghasilkan zuriat.

Sesungguhnya Allah telah menjadikan manusia ini berpasangan sebagai jalan untuk mengimarahkan bumi dan mensyariatkan perkahwinan sebagai jalan yang bersih daripada noda dan dosa yang keji.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda (kebesaran Allah) Nya, Dia menciptakan bagi kamu pasangan daripada jenis kamu (iaitu manusia) sendiri, agar kamu merasa cenderung dan tenteram bersamanya... (ar-Rum: 21)

Pihak media dan pengamal media sosial berpengaruh perlu menghasilkan mesej dan peringatan berbentuk dakwah serta disampaikan kepada masyarakat tentang akibat buruk hubungan sonsang ini melalui media massa dan laman sosial. Ini adalah tindakan yang lebih efisien dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat.

Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Masyarakat juga perlu sedar dan cakna dengan situasi semasa. Lebih-lebih lagi jika terdapat ahli keluarga mereka yang terlibat di dalam kumpulan songsang ini.

Seharusnya mereka yang terlibat perlu dirawat dan diberi perhatian dengan sesi terapi psikologi untuk membantu mereka yang terjebak dalam penyakit LGBT ini.

 

  • Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Pengerusi Yayasan Ar-Ri’ayah

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


‘Bonggol maut menuju ke alam barzakh’ [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker