Ekonomi bumiputera balik ke asal

ADA baiknya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Barisan Nasional (UMNO) Pasir Salak tidak lagi terikat dengan mana- mana agensi atau syarikat berkaitan kerajaan. Sebelum ini beliau terikat dan terbeban kerana menjadi Pengerusi Prasarana Berhad, tetapi setelah ditamatkan perkhidmatan pada 26 Mei lalu, beliau bebas berbahas di Parlimen bagi mewakili kepentingan umum.

Sebab itulah saya sentiasa berpendapat adalah lebih baik membebaskan wakil rakyat daripada tugas-tugas sampingan supaya mereka boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada rakyat jelata yang memilih mereka.

Saya bersetuju dan gembira apabila beliau membangkitkan soal penyertaan bumiputera dalam projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) di Parlimen baru-baru ini. Kalau kenyataan balas luar Parlimen oleh Kementerian Pengangkutan pada 7 Oktober itu adalah benar, maka jelaslah Tajuddin telah bertanya soalan yang sangat tepat. Penyertaan bumiputera dalam projek berharga RM50 bilion itu hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga. Agaknya itulah sebab Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong cepat-cepat mengelak jawapan dalam Dewan Rakyat, sebaliknya mengeluarkan kenyataan media beberapa hari kemudian.



Kenyataan Kementerian Pengangkutan itu tidak menafikan hujah Tajuddin. Ia sekadar berkata adalah kurang tepat untuk mengatakan ‘tidak wujud’ penyertaan kontraktor bumiputera dalam projek ECRL ini. Menjawab dakwaan Tajuddin, Kementerian Pengangkutan berkata, sehingga Ogos lalu, terdapat 81 syarikat yang majoriti sahamnya dimiliki oleh bumiputera menyertai projek ECRL dengan nilai RM320 juta.

ANGKA CIPUT

RM320 juta berbanding RM3 bilion yang kononnya dikhaskan kepada bumiputera itu baru 10.67 peratus saja. RM3 bilion berbanding RM50 bilion kos ECRL hanyalah enam peratus. Itupun bukan semua enam peratus akan masuk dalam kocek kontraktor bumiputera kerana mereka berkongsi pula dengan bangsa-bangsa lain. Tidak tahulah sama ada ahli Parlimen khususnya bumiputera berpuas hati dengan jawapan luar Parlimen oleh Kementerian Pengangkutan itu. Tapi saya rasa Menteri Pengangkutan sedar angka-angka ini ‘ciput᾿ malah mengaibkan bumiputera sebab itulah beliau cepat-cepat mematikan isu itu di Parlimen dan mengeluarkan kenyataan media yang tidak pun memakai namanya.

Sebagai orang Cina yang celik angka dan mahir perniagaan, Ka Siong tahu nilai penyertaan bumiputera dalam projek raksasa kendalian kontraktor Cina itu sangat menghinakan (insulting). Kalau inilah sikap dan tahap kepedulian kerajaan- tidak kiralah kerajaan Barisan Nasional, Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional terhadap penyertaan bumiputera dalam perniagaan, maka tidak hairanlah matlamat 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera gagal dicapai sejak 1970-an malah menguncup.



Projek ECRL bernilai RM50 bilion manakala peruntukan kontrak untuk bumiputera RM3 bilion. Fikirkanlah beza antara enam peratus kontrak untuk bumiputera dengan matlamat 30 peratus pemilikan saham oleh bumiputera. Sampai kucing tumbuh tanduk pun tidak akan tercapai. Malah dasar kerajaan nampak seolah-olah berundur ke belakang apabila keutamaan sekarang adalah mempertahankan 17.2 saham yang sudah dimiliki bumiputera daripada dijual kepada bukan bumiputera.

Itupun kalau diperhalusi, kedudukan pemilikan bumiputera perseorangan sebenar adalah amat kecil kerana sebahagian besar daripada 17.2 peratus itu dimiliki oleh agensi dan syarikat berkaitan kerajaan. Yang banyak menjual saham atau menderita kerugian hingga berbilion-bilion ringgit kerana pelaburan busuk adalah agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.

Akibat Covid-19 dan krisis ekonomi yang dicetuskannya, isu yang lebih mendesak yang dihadapi oleh bumiputera bukan lagi pemilikan aset korporat, tetapi kemiskinan. Semakin banyak bumiputera jatuh ke dalam kategori miskin.

Kesimpulannya, bumiputera kini kembali mengalami maladi yang dideritai sebelum pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) 50 tahun lalu iaitu kemiskinan dan penyertaan kecil dalam sektor korporat.



Justeru, mana-mana pun kerajaan yang memerintah wajib mengakui hakikat ini dan berusaha sedaya upaya mengatasi kegelinciran ekonomi bumiputera menjadi semakin teruk.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




RMK12: Agenda Bumiputera Terus Diperkasa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker