Bercuti, bersesak! Selamatkah si kecil bawah 12 tahun?

SEDIKIT demi sedikit negara semakin mengorak langkah untuk menjalani kehidupan dengan menerima kehadiran Covid-19 sebagai satu fasa endemik.

Sehubungan itu, pelbagai sektor ekonomi termasuklah sektor pelancongan kembali dibuka untuk menerima kehadiran pengunjung yang sekian lama rindukan suasana bercuti.

Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi yang bermula pada 16 September lalu misalnya menerima sambutan amat memberangsangkan daripada orang ramai.

Dilaporkan pada hari pertama sahaja sejumlah 3,200 pelancong tiba di pulau peranginan tersebut menerusi jalan udara dan laut.

Namun di sebalik kerancakan pembukaan semula tersebut, media baru-baru ini melaporkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun menjadi individu pertama positif Covid-19 membabitkan kumpulan pelancong yang berkunjung ke Langkawi.

Menurut hasil siasatan, terdapat kemungkinan jangkitan ke atas kanak-kanak itu berlaku sebelum keluarganya melancong ke Pulau Langkawi.

Untuk rekod, ujian saringan RTK-Antigen ibu bapa kanak-kanak terbabit sebelum berlepas ke Langkawi adalah negatif selain telah menerima vaksinasi lengkap.

Mereka juga tidak dijangkiti atau menjadi kontak rapat kepada individu yang dijangkiti Covid-19 malah kanak-kanak itu juga tidak mengalami sebarang gejala.

Mesti ada seorang dua yang berkemungkinan positif dan memulakan kluster baru.” – Dr Zulkifli

TEMPAT SESAK

Berikutan insiden tersebut, timbul persoalan wajarkah kanak-kanak terutama berusia bawah 12 tahun yang tidak divaksin dibawa mengunjungi tempat tarikan yang kebiasannya penuh sesak? Menurut Timbalan Dekan (Jaringan & Penjanaan) Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, kanak-kanak bawah 12 tahun tidak mempunyai pertahanan diri sepertimana golongan dewasa dan remaja yang telah divaksin.

“Adalah amat penting untuk memastikan mereka tidak terdedah kepada jangkitan Covid-19 terutama di tempat atau persekitaran yang sesak dengan cara mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial.

“Sekiranya tidak perlu, elakkan membawa kanak-kanak bawah 12 tahun ke tempat awam dan jika boleh pastikan mereka hanya bersama individu yang telah lengkap divaksin,” ujar Sharifa Ezat kepada Sinar Premium pada Sabtu.

DR SAHRIFA EZAT
DR SAHRIFA EZAT

Katanya, risiko untuk berlaku jangkitan Covid-19 ada di mana-mana namun beliau tidak menolak kemungkinan dengan adanya gelembung pelancongan ini, risiko jangkitan boleh meningkat sekiranya orang ramai terlalu leka ‘berseronok’ dan mengabaikan SOP.

“Pada ketika ini, ujian masih lagi dijalankan di luar negara bagi memastikan sama ada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun layak divaksin. Kita perlu betul-betul pasti tidak akan berlakunya kesan sampingan yang tidak diingini.

“Harapan sekarang adalah memberi suntikan vaksin kepada seramai mungkin golongan dewasa dan remaja agar pada masa sama dapat melindungi dan mengurangkan risiko jangkitan terhadap kanak-kanak (bawah 12 tahun) tersebut,” kata Sharifa Ezat.

AMBIL PENGAJARAN

Pakar Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik Hospital Pakar KPJ Selangor, Datuk Dr Zulkifli Ismail pula berkata, walaupun kes melibatkan pelancong kanak-kanak berusia tiga tahun tersebut berkemungkinan tidak jatuh dalam kategori serius, namun harus diingat varian Delta lebih mudah menjangkiti golongan muda dan berkemungkinan tinggi turut senang menjangkiti kanak-kanak.

Menurut beliau yang juga Setiausaha Agong Persatuan Pediatrik Asia Pasifik, melihat kepada peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak adalah perlu untuk memberi vaksinasi kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun namun harus tunggu dan lihat hasil ujian yang sedang dijalankan.

“Ketika ini, kita tidak ada lagi data yang menunjukkan keberkesanan atau keselamatan vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun. Kita perlu tunggu dulu sehingga data ini ada sebelum memulakan imunisasi kanak-kanak,” tegasnya.

Pada masa sama, Zulkifli turut mengingatkan adakala ujian saringan yang dilakukan tidak 100 peratus sensitif atau spesifik, dan ada juga masa jangkitan tidak dapat dikesan dengan ujian PCR atau RTK-Ag.

“Dengan begitu ramai manusia yang berkerumun dalam feri atau kapal terbang atau tempat makan dan penginapan, mesti ada seorang dua yang berkemungkinan positif dan memulakan kluster baru,” ujarnya.

DR ZULKIFLI
DR ZULKIFLI

Namun, satu kes positif Covid-19 melibatkan pelancong yang mengunjungi Langkawi tidak wajar menjadi sebab menarik balik kelonggaran pelancongan sebaliknya nasihat tepat harus diberi kepada semua yang berhasrat ingin melakukan perjalanan dan melancong bagi mengelakkan risiko penularan jangkitan.

Zulkifli berkata, banyak contoh negara yang mengalami penularan jangkitan Covid-19 setelah membuka kembali pelbagai sektor ekonomi tanpa pematuhan SOP yang ketat.

“Di hampir semua negara yang telah membuka ekonomi dan membenarkan orang ramai bertumpu di satu tempat, penularan akan berlaku dan angka kes positif meningkat. Ini telah berlaku di Israel, United Kingdom dan juga beberapa negeri di Amerika Syarikat.

“Kita patut belajar daripada kegagalan dan kesilapan mereka.

“Jika kerajaan ingin membuka ekonomi dan merangsang pelancongan, bukalah beberapa tempat peranginan supaya tidak semua rakyat bertumpu ke satu tempat sahaja misalnya Langkawi,” katanya.

Ujar Zulkifli lagi, paling utama adalah disiplin dalam kalangan rakyat untuk mengamalkan sepenuhnya SOP.

“Amalkan penjarakan diri, guna pelitup muka, basuh tangan, pastikan peredaran udara dalam tempat yang ramai orang dan pastikan semua dapat vaksin dgn sempurna,” katanya.

PATUH SOP

Penjaga atau ibu bapa khususnya mesti memastikan kanak kanak juga mematuhi SOP penuh tidak kira dimana sahaja walaupun vaksin masih tidak diperlukan.

Begitu pendapat diutarakan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar ketika diminta mengulas kewajaran kanak-kanak berusia bawah 12 tahun dibawa mengunjungi destinasi pelancongan yang kebanyakkan sesak dengan pengunjung.

“Walaupun kadar jangkitan kategori 3,4 dan 5 adalah amat rendah bagi golongan kanak-kanak namun risiko mendapat jangkitan tetap ada,” ujar Sazaly.

Malah menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sejumlah 310,074 orang kanak-kanak dan remaja berusia bawah 17 tahun dijangkiti Covid-19 antara Januari hingga Ogos tahun ini.

Jumlah itu adalah 24 kali ganda berbanding jumlah kes melibatkan golongan sama pada tahun 2020 di mana hanya 12,620 kes dilaporkan.

DR SAZALY
DR SAZALY

Data turut mendedahkan, seramai 81,168 bayi dan kanak-kanak bawah usia empat tahun dijangkiti Covid-19 tahun ini sementara 3,180 lagi direkodkan sepanjang tahun lalu.Tiga kematian direkodkan tahun lalu dan 15 lagi pada tahun ini bagi kumpulan umur sama.

Sementara untuk kanak-kanak berusia lima dan enam tahun, seramai 32,996 orang dijangkiti Covid-19 dengan seorang daripadanya meninggal dunia dalam tempoh lapan bulan ini.

Bagi kumpulan umur sama pada tahun lalu seramai 1,227 kanak-kanak dijangkiti namun tiada kematian direkodkan.

Ditanya adakah dengan pembukaan gelembung pelancongan bakal menyaksikan kenaikan jumlah jangkitan Covid-19 , Sazaly menolak kemungkinan tersebut dengan mengatakan jika pematuhan ketat terhadap SOP diamalkan akan mencegah perkara itu daripada berlaku.

Bercuti, bersesak! Selamatkah si kecil bawah 12 tahun?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


‘Abang askar’ jilat tangan pekerja wanita kedai vape dicekup [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker