Syarat perkhidmatan boleh diubah tanpa persetujuan penjawat awam

Sebaran :

Syarat perkhidmatan boleh diubah tanpa persetujuan penjawat awam

Syarat untuk mewajibkan pengambilan vaksin terhadap penjawat awam adalah penambahbaikan dalam terma perkhidmatan dan ia boleh diubah tanpa perlu merujuk kepada persetujuan individu berkenaan.

Pakar Perlembagaan yang juga Profesor Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata berikutan itu syarat mewajibkan pengambilan vaksin terhadap penjawat awam perlu dipatuhi dan keengganan berbuat demikian akan mendedahkan individu terbabit dengan tindakan disiplin.

“Satu perkara menarik mengenai penjawat awam ialah prinsip dalam Perlembagaan menyebut penjawat awam ‘memegang jawatan selagi diperkenankan Yang di-Pertuan Agong’ mengikut perkara 132(2A).

“Prinsip ini bermaksud seseorang penjawat awam boleh ditamatkan jawatan beliau pada bila-bila masa tertakluk kepada prosedur khusus seperti notis dan hak untuk didengar,” katanya kepada BH.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan, semua penjawat Perkhidmatan Awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin COVID-19 dan melengkapkan pelalian, sebelum 1 November ini.

Dalam satu kenyataan, JPA berkata, jika penjawat awam masih belum mengambil vaksin selepas tempoh ditetapkan tanpa mendapatkan pengecualian daripada pegawai perubatan kerajaan, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib, selaras peraturan semasa yang berkuat kuasa.

Katanya, semua penjawat awam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993).

Peraturan 38 PU(A) 395/1993 memperuntukkan hukuman amaran, denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau buang kerja, jika mana-mana penjawat awam melanggar peraturan ditetapkan.

Ketika ditanya sama ada penjawat awam yang enggan menerima vaksin ini boleh membuat tuntutan di mahkamah, Nik Ahmad berkata, ia terpulang kepada penjawat awam berkenaan kerana mahkamah sentiasa bersedia dan mendengar tindakan undang-undang berkenaan.

“Penjawat awam mempunyai hak seperti orang lain, mereka boleh membawa tindakan secara semakan kehakiman mengenai keputusan kerajaan yang dianggap bertentangan dengan hak dan kebebasan untuk tidak diwajibkan menerima vaksin. Hak seorang rakyat untuk dilayan secara saksama dan tidak didiskrimnasikan.

“Selain itu, selagi ia bukan kesalahan jenayah mengikut undang-undang negara ini, mereka yang enggan mengambil vaksin tidak boleh dilabelkan sebagai penjenayah.

“Untuk penjawat awam, kewajipan mengambil vaksin adalah syarat perjawatan. Jadi, keengganan ambil vaksin hanya kesalahan disiplin, jadi hanya tindakan disiplin saja yang boleh diambil terhadap mereka.

“Selagi tiada undang-undang negara yang mewajibkan pengambilan vaksin, tiada pertuduhan jenayah boleh diambil,” katanya. BH

Syarat perkhidmatan boleh diubah tanpa persetujuan penjawat awam


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Penang White Curry Noodles dipilih mee segera terbaik di Amerika


Sebaran :

Leave a Reply