Sekat jentera kempen ke Melaka

Sebaran :

Sekat jentera kempen ke Melaka

Sempadan negeri Melaka perlu ditutup sepenuhnya kepada jentera pilihan raya dari luar sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN) bagi meminimumkan risiko penularan COVID-19.

Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, berkata sekatan kepada orang luar amat penting kerana aktiviti kempen dikenal pasti sebagai punca utama merosakkan pencapaian pengawalan pandemik.

Katanya, SPR juga perlu menyediakan kad pengesahan untuk pengundi dari luar Melaka bagi membolehkan mereka balik menunaikan tanggungjawab.

“Pengundi luar perlu ada kad pengesahan sebagai bukti mereka ada sebab untuk masuk ke dalam kawasan PRN.

“SPR boleh buat, senang saja dan tiada masalah kerana semua maklumat ada dalam pangkalan data daftar pemilih. Pengundi boleh cetak sendiri.

“Jentera kempen dari luar jangan benarkan masuk, itu yang paling penting kerana yang merosakkan keadaan adalah aktiviti kempen.

“Kita tengok PRN Sabah, banyak perkara tidak dipatuhi malah orang Semenanjung yang balik berkempen tidak dipaksa kuarantin dan sebagainya,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas langkah pencegahan yang sesuai bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 apabila PRN Melaka diadakan kelak.

Ia susulan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan berkuat kuasa Isnin lalu, susulan kemelut politik yang tercetus di negeri itu, sekali gus menuntut PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas diwartakan terbubar.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata, aspek paling perlu diberi perhatian dalam PRN Melaka ialah memperkenalkan SOP paling ketat serta kemas dan penguatkuasaanya dibuat secara tegas tanpa ‘memilih bulu’.

Katanya, cara kempen juga tidak boleh dibenarkan secara bersemuka dan besar-besaran, sebaliknya diubah melalui kaedah teknologi Internet seperti penggunaan media sosial.

“Saya difahamkan SPR merumuskan SOP yang begitu baik dan menyeluruh dengan mengambil pengalaman tujuh pilihan raya kecil (PRK) dan termasuk PRN Sabah sebelum ini.

“Maka, saya tak nampak (tak boleh buat PRN) kalau polis, Kementerian Kesihatan (KKM) dan SPR bersepakat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kuatkuasakan SOP yang tegas,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad menjelaskan COVID-19 tidak selamanya boleh dijadikan alasan untuk menghalang PRN kerana lebih 50 negara seperti Singapura, Korea Selatan dan Jepun berjaya mengadakan pilihan raya dalam musim pandemik.

Beliau berkata, penangguhan PRN juga akan menyebabkan krisis politik negeri itu tidak dapat diselesaikan secara tuntas malah ia akan berlarutan sehingga menjejaskan negeri berkenaan.

Katanya, kadar lengkap vaksinasi untuk populasi dewasa di Melaka setakat semalam sudah mencapai 88.6 peratus juga perlu diambil kira untuk membolehkan PRN diadakan.

“Krisis politik dalam keadaan sekarang tidak beri kebaikan kepada rakyat dan negara malah kerajaan ‘caretaker’ (sementara) juga tidak akan menyelesaikan masalah itu.

“Kalaulah Yang di-Pertuan Agong tidak isytihar darurat bagi Melaka, maka tiada sebab untuk kita takut adakan PRN.

“Jangan kita berterusan beri alasan COVID-19 kerana yang paling penting ialah SOP dipatuhi 100 peratus dan penguatkuasaan SOP juga mesti 100 peratus,” katanya. BH

Sekat jentera kempen ke Melaka


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Penang White Curry Noodles dipilih mee segera terbaik di Amerika


Sebaran :

Leave a Reply