Melaka Bahan Ujikaji Politik
Oleh Nurul Aisyah
PENDAPAT yang mengatakan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) dapat meredakan suhu politik tanahair dilihat meleset sama sekali.
Sepatutnya apabila MoU tersebut ditanda tangan maka tiada unsur lompat melompat dikalangan ADUN namun hakikatnya ia tidak pernah reda.
DUN Melaka menjadi bahan ujikaji. MoU tersebut dilihat gagal. Kerajaan Negeri Melaka dikatakan bergolak ekoran dakwaan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kerajaan difahamkan mahu meninggalkan blok tersebut untuk menyertai PH.
Apabila desas desus DUN Melaka mula bertiup kencang, PH dikatakan menolak 6 ADUN yang mahu melompat tersebut. Dalam perkara ini, PH dilihat tidak bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka . Mereka tahu jika diadakan PRN maka BN dijangka akan menang lebih banyak kerusi.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila 6 ADUN tersebut mula membuat kenyataan “U-Turn” bagi menyelamatkan diri apabila PH menolak mereka.
ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang dikaitkan dengan gerakan untuk menumbangkan kerajaan negeri Melaka telah tampil menafikan pembabitannya. Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, tidak tahu mengapa namanya dikaitkan sedangkan secara peribadi beliau tidak mempunyai masalah dengan kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali ketika ini.
Antara nama lain yang turut dikaitkan termasuk Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas).
Norhizam yang sebelum ini menang pada PRU lalu atas tiket PH bagaimanapun telah manafikan dakwaan berkenaan manakala dua lagi ADUN masih mendiamkan diri.
Usaha pihak tertentu mengumpul Akuan Bersumpah (SD) daripada sebilangan ADUN kerajaan untuk mendapatkan sokongan bagi menumbangkan kerajaan negeri tidak berhasil. Ia menemui jalan buntu apabila ada ADUN yang membuat pusingan-U.
Memetik sumber FB Datuk Norhizam Hassan Baktee membuat “posting” sinis berkenaan Exco Melaka.
Apa ada Exco² Melaka dah mula kemas barang di pejabat..??..Ermm..
Mungkinkah negeri lain akan turut dijadikan bahan ujikaji? Kita tunggu dan lihat.
Artikel ini adalah pandangan penulis semata-mata.