Saya pun ‘tidur’ di pasar raya, seloroh Khairy

Saya pun ‘tidur’ di pasar raya, seloroh Khairy

Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk memperbaiki fungsi daftar keluar (check out) pada aplikasi MySejahtera, setelah ramai pengguna mengadu mereka selalu terlupa untuk log keluar ketika meninggalkan sesuatu lokasi.

Bercakap mengenai isu itu hari ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin secara berseloroh berkata dia juga ‘tidur’ di pasar raya sekiranya rekod MySejahteranya diperiksa.

“Check out ini, ramai beri komen, saya sendiri telah tidur di pasar raya kalau ikut history.

“Kita akan lihat apa kaedah terbaik untuk pastikan ciri check out dapat diguna dengan sempurna.

“Diakui sekarang ni agak susah nak comply (Patuh). Ramai tak keluarkan (telefon bimbit) MySejahtera lepas keluar premis,” katanya pada sidang media hari ini.

Khairy berkata fungsi itu diwujudkan dengan tujuan untuk membantu pihak berkuasa mendapatkan maklumat lokasi yang lebih spesifik dan tempoh waktu keberadaan seseorang di sesebuah premis.

“Niat baik tapi pelaksanaan perlu dimantapkan lagi,” tambahnya.

Aplikasi MySejahtera antara lain diwujudkan bagi membantu KKM mengesan kontak rapat kes Covid-19.

Awal bulan ini, ia menerima penambahbaikan yang mewajibkan pengguna mendaftar keluar setelah meninggalkan sesuatu premis dengan menekan punat pada aplikasi berkenaan.

Pun begitu, pengguna berasa sukar untuk mematuhi peraturan itu dan ada yang mendapati mereka “tidak keluar” daripada premis selama beberapa hari.

Ini dijadikan sebagai bahan gurauan apabila ada pengguna Twitter mewujudkan akaun satira di laman sosial itu bagi mengingatkan orang ramai agar mendaftar keluar aplikasi berkenaan setelah meninggalkan sesuatu tempat.

Akaun tersebut setakat ini memiliki lebih daripada 7,000 pengikut.

Rebat untuk kit ujian kendiri

Sementara itu, Khairy berkata dia menyokong saranan agar kerajaan memberikan rebat kepada mereka yang melaporkan hasil ujian kendiri Covid-19.

Namun katanya dia akan berbincang dengan menteri kewangan terlebih dahulu.

“Kita sokong cadangan itu. Tetapi rebat pada dasarnya adalah subsidi.

“Saya harus berbincang dengan Kementerian Kewangan jika kita dapat perbelanjaan yang membolehkan kita memberikan rebat. Itu akan memastikan laporan ujian yang lebih baik,” katanya.

Ini susulan saranan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii semalam agar kerajaan menawarkan rebat kepada orang ramai untuk melaporkan keputusan ujian kendiri.

Ini kerana ramai yang diuji negatif dari kit ujian kendiri tidak melaporkan keputusan kepada Kementerian Kesihatan melalui aplikasi MySejahtera, yang akhirnya menurunkan kadar positif. Mk

Saya pun ‘tidur’ di pasar raya, seloroh Khairy


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tembakan rambang di pasar raya, 2 maut

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker