Malaysia tak terima arahan Beijing – Hishammuddin

Malaysia tak terima arahan Beijing – Hishammuddin

Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein menepis dakwaan Putrajaya menerima arahan China, susulan cadangannya untuk mendapatkan pandangan Beijing berhubung kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang dikenali sebagai AUKUS.

Beliau berkata, kementeriannya hanya bercadang mendapatkan pandangan negara itu berhubung pembentukan AUKUS.

Beliau merujuk kenyataan Jawatankuasa Keselamatan Pakatan Harapan (PH) hari ini mengkritik cadangannya ke China untuk membincangkan AUKUS yang disifatkan gabungan pembangkang itu agak aneh dan menimbulkan persepsi seolah-olah Malaysia menerima arahan daripada Beijing.

Hishammuddin berkata, kenyataan PH itu tidak berasas kerana apa yang dimaklumkannya kepada Dewan Rakyat bertujuan mendapatkan pandangan serta maklum balas China, jauh sekali daripada mendapatkan arahan republik itu.

“Takkanlah kementerian disalahkan apabila kita nak jumpa China dapatkan maklum balas dan apa tindakan republik itu terhadap AUKUS.

“Ingin saya jelaskan semula, cadangan mendapatkan pandangan China terhadap isu AUKUS supaya Malaysia dan negara Asia Tenggara lain boleh ambil tindakan proaktif,” katanya dipetik Harian Metro selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Batalion ke-6 Rejimen Renjer Diraja di Kem Ulu Tiram, Johor Bahru hari ini.

Rabu lalu, Hishammuddin dilaporkan berkata, pihaknya bercadangan melakukan lawatan kerja ke China dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan pandangan China, khususnya dalam aspek pertahanan berhubung pembentukan AUKUS.

Hari ini, Hishammuddin berkata, Malaysia baik dengan China dan AS, serta saling menghormati.

Katanya, tiada pihak yang boleh melaga-lagakan hubungan baik Putrajaya dengan dua kuasa besar itu.

“Namun, kemesraan itu tidak bermakna kita akan berkompromi terhadap kedaulatan negara kita.”

MyTravel Pass

Hishammuddin menafikan dakwaan “MyTravel Pass” akan dimansuhkan dalam masa terdekat, dengan menyifatkan sumber dan laporan berita sebuah portal berhubung perkara itu tidak tepat.

“Pada waktu ini, tumpuan kerajaan adalah kebenaran rentas negeri. Bagaimana kita nak fikirkan rentas negara, apabila rentas negeri pun belum kita putuskan?

“Namun, saya tidak menafikan perancangan untuk melihat ‘MyTravel Pass’ serta pendekatan lebih baik untuk rentas negara sudah difikirkan Majlis Keselamatan Negara.

“Insya Allah, kita akan bentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Endemik yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob minggu depan bagi memperincikan SOP rentas negeri dan negara.”

MyTravel Pass diperkenalkan Putrajaya susulan penularan Covid-19 yang memerlukan warga tempatan membuat permohonan sebelum dibenarkan ke luar negara.

Ia dikatakan rumit kerana prosesnya memerlukan sehingga 14 hari, sebelum permohonan itu dimaklumkan sama ada diluluskan atau ditolak. FMT

Malaysia tak terima arahan Beijing – Hishammuddin


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Wajah Uqasha dah macam Sajat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker