Peri penting khutbah terakhir

Peri penting khutbah terakhir

Oleh Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Peralihan kepada fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang seterusnya sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh masyarakat di negara ini.

Kita dapat melihat bagaimana keghairahan sesetengah pihak apabila dilonggarkan beberapa sektor seperti sektor ekonomi yang membabitkan perniagaan dan pelancongan. Namun, peralihan ini tidak harus diambil ringan dari segi penjagaan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu.



Bahkan, kita akan hidup bersama Covid-19 dalam fasa endemik. Mengikut Kamus Dewan, endemik bermaksud penyakit yang sentiasa terdapat pada orang atau daerah tertentu.

Namun, ada sebahagian masyarakat yang bersikap pesimis dengan apa yang sedang berlaku. Melihatkan kepada kes yang masih tinggi dan ‘kedegilan’ segelintir pihak yang belum mendapatkan suntikan vaksin, keadaan ini menggambarkan sikap negatif sebahagian warga terhadap usaha pihak berkuasa.

Ataupun, dengan kata lain seakan-akan sudah merasa lemah dan berputus asa. Sedangkan Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali-Imran, ayat 139)

Ujian Allah SWT turunkan melalui wabak Covid-19 ini mengingatkan kepada khutbah Rasulullah SAW yang terkenal dengan nama ‘khutbah al-Wada.’



Peri pentingnya peringatan Nabi SAW dalam khutbah ini dapat difahami daripada kata-kata baginda: “Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak aku katakan! Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kata ku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.” (Riwayat Muslim)

Ungkapan “Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini” sebenarnya menyentap jiwa yang mendengarnya. Cinta kita kepada sebaik-baik makhluk Allah ini pastinya akan membuatkan kita berasa sayu dan terharu dengan ungkapan yang mendalam maknanya. Seolah-olah baginda sudah merasakan hampir saatnya baginda kembali kepada Allah.

Permulaan khutbah dengan ungkapan yang menyentuh perasaan seperti ini pastin menarik perhatian pendengar untuk mengikuti setiap patah ucapan Nabi Muhammad SAW dalam khutbah itu dengan penuh perhatian. Kaedah ini adalah antara cara paling berkesan untuk menarik perhatian audien kepada sesuatu khutbah atau ucapan.

Pertamanya, adalah berkaitan hak asasi manusia iaitu kesucian darah manusia yang wajib dijaga daripada segala jenis pencabulan. Rasulullah SAW bersabda: “Wahai manusia! Darah dan harta kamu mesti dihormati sehingga kamu bertemu kembali dengan Tuhan kamu. Ia mesti dihormati seperti kehormatan hari kamu ini (Hari Arafah) dan kehormatan bulan kamu ini (bulan haram Zulhijjah).” (Riwayat Muslim)



Ingatan kita kepada khutbah Wada’ ini sepatutnya dapat memuhasabah apa yang sedang berlaku kini. Banyak pencabulan hak asasi manusia seperti hak beragama dan menjalani kehidupan dengan bebas dan beribadat. Begitu juga pencabulan hak sebagaimana yang berlaku di Palestin yang dijajah Israel.

Malah, kezaliman juga berlaku di negara Islam dalam kalangan sesama Muslim. Oleh itu, tepatlah pesan baginda: “Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.” (Riwayat Muslim)

Sepatutnya peringatan Nabi SAW dalam khutbah ini sentiasa diulangkaji setiap tahun supaya umat Islam mendapat pengajaran dan membetulkan keadaan.

Perkara kedua yang disentuh oleh Rasulullah SAW ialah berkaitan kemuliaan wanita. Dalam Islam, tiada perbezaan di sisi Allah SWT bagi sesiapa yang mentaati-Nya.



Firman Allah SWT: “Sesiapa yang beramal soleh, lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan.” (Surah al-Nahl, ayat 97)

Oleh itu, baginda SAW berpesan dalam khutbah ini: “Terimalah pesananku untuk berbuat baik dengan wanita ini. Mereka pembantu kamu. Mereka tidak memperoleh apa-apa bagi diri mereka. Kamu mengambil mereka sebagai amanah Allah serta menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah.” (Riwayat Muslim)

Seterusnya baginda Rasulullah SAW mengingatkan kita kepada musuh utama manusia iaitu syaitan. Baginda memberi amaran bahawa syaitan pasti menyesatkan manusia dan tidak akan berhenti selamanya.

Perkara ini sebagaimana firman Allah SWT: “Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi penduduk neraka.” (Surah Fatir, ayat 6)



Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikutnya) melakukan perkara keji dan perbuatan mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih daripada dosa selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nur, ayat 21)

Rasulullah SAW juga mengingatkan umat Islam kepada dua sumber utama yang menjamin kehidupan manusia agar tidak sesat di dunia ini. Sumber itu ialah kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.

Akhirnya, selepas selesai menyampaikan khutbah, Nabi SAW membacakan firman Allah SWT: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3). HM

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan



Peri penting khutbah terakhir


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Firdaus Wong dedah bukti perbualan lucah pendakwah terkenal

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker