Kenapa kad pelarian UNHCR Nur Sajat boleh siap cepat sangat?

Kenapa kad pelarian UNHCR Nur Sajat boleh siap cepat sangat?

Ibu Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), di sini, enggan mendedahkan status sebenar usahawan kosmetik Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat sama ada berstatus pelarian atau sebaliknya.

Dalam jawapan e-mel kepada Harian Metro, jurucakap UNHCR memaklumkan pihaknya tidak boleh mendedahkan maklumat berkenaan atas alasan perlindungan serta kerahsiaan.

Menurutnya, pihaknya tidak akan memberikan sebarang komen berhubung perincian atau mengesahkan Nur Sajat pemilik kad badan antarabangsa itu.

Bagaimanapun, sumber mendedahkan kad pelarian Nur Sajat bernombor 815-21C0XXXX itu dikeluarkan UNHCR di Bangkok dengan bantuan ibu pejabat mereka di Malaysia.

Sementara itu, sumber berkata, proses pengeluaran kad pelarian berkenaan agak kontroversi disebabkan proses Nur Sajat mendapatkannya dalam masa singkat berbanding pelarian lain.

“Ini pihak UNHCR sahaja boleh ulas. Biasanya proses permohonan kad pelarian memakan masa.

“Dalam kes Nur Sajat cepat pulak. Ini timbulkan persoalan. Walaupun kita tahu ada negara antarabangsa tertentu membantunya, prosedur operasi standard perlulah dipatuhi.

“Kenapa kes Nur Sajat istimewa?” soalnya.

Sementara itu, Bangkok Post dalam laporannya semalam berkata, polis Thailand enggan mengesahkan Nur Sajat cuba mendapatkan suaka politik di negara itu.

Jurucakap timbalan polis Pol Col Kissana Phathanacharoen memberitahu media bahawa Nur Sajat belum lagi membuat permohonan di sana dan butiran selanjutnya akan didedahkan kemudian.

Susulan laporan Harian Metro sejak Isnin lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan dalam kenyataannya mengesahkan Nur Sajat mengemukakan kad pelarian UNHCR ketika ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu ketika serbuan dilakukan di kondominium mewah di Bangkok.

Katanya, pihaknya bersama Kementerian Luar Negeri dan Pejabat Peguam Negara dalam proses membawa pulang Nur Sajat mengikut undang-undang antarabangsa.

Untuk rekod, UNHCR di Malaysia pernah dilanda kontroversi apabila pada Mac 2016, akhbar The New Straits Times (NST) mendedahkan bahawa begitu mudah untuk mendapatkan kad pelarian UNHCR hasil bantuan sindiket dengan caj hanya RM120 sahaja.

Pendedahan NST itu juga menyatakan bahawa sindiket menawarkan kad itu yang pada dasarnya memberi imuniti kepada pendatang asing tanpa izin di negara ini daripada dikenakan tindakan pihak berkuasa.

Mengulas isu berkaitan kad pelarian pada Jun lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau berpendirian kad dokumen identifikasi untuk pelarian seharusnya dikeluarkan agensi di dalam negara dan bukannya pertubuhan luar.

Memetik laporan berkenaan, Hamzah berkata, berdasarkan data yang diperoleh, terdapat lebih 120,000 kad UNHCR dikeluarkan untuk pelarian di negara ini.

“Cuba kita fikir semula, ada kad identifikasi yang dikeluarkan oleh sebuah pertubuhan lebih tinggi daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Kita ada kad pengenalan yang dikeluarkan oleh JPN, jika seseorang itu berstatus penduduk tetap (PR), kadnya berbeza. Jika seseorang itu bekerja, kita berikan permit atau kad pekerja.

“Pelarian yang berada di negara ini sepatutnya berada untuk sementara waktu sahaja namun apa yang kita lihat hari ini, mereka sudah menetap berpuluh-puluh tahun,” katanya. HM

Kenapa kad pelarian UNHCR Nur Sajat boleh siap cepat sangat?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis siasat LHDN selepas Najib dakwa salah guna kuasa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker