Bekas setiausaha akui atur pertemuan Guan Eng, kontraktor projek terowong

Sebaran :

Bekas setiausaha akui atur pertemuan Guan Eng, kontraktor projek terowong

Bekas setiausaha sulit Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen yang mendengar perbicaraan rasuah melibatkan terowong dasar laut, beliau mengatur pertemuan antara bekas ketua menteri itu dengan seorang ahli perniagaan berkaitan projek berkenaan.

Farida Hani Yakob berkata, Pengarah Kanan Consortium Zenith BUCG Zarul Ahmad Mohd Zulkifli menelefonnya dan meminta mengatur pertemuan dengan Lim.

“Saya mendapat izinnya (Lim) sebelum menetapkan tarikh janji temu, seterusnya memaklumkan Zarul.

“Seingat saya, tidak lebih lima pertemuan diaturkan. Mesyuarat mereka tidak kerap diadakan,” katanya.

Farida yang bekerja dengan Lim dari 2009 hingga 2020 berkata, Zarul datang ke Komtar untuk menemui bekas ketua menteri itu beberapa kali.

“Zarul datang berseorangan atau dengan pegawainya. Ketua Menteri (Lim) diiringi wakil kerajaan negeri yang bertanggungjawab ke atas projek terowong berkenaan.

“Saya tidak menyertai mesyuarat mereka dan tidak tahu apa yang dibincangkan,” katanya.

Menurutnya, Zarul lazimnya datang ke Komtar pada waktu pejabat.

“Saya tidak pasti sama ada beliau membawa sebarang bungkusan atau sampul surat untuk mesyuaratnya dengan ketua menteri,” katanya.

Disoal balas peguam Gobind Singh Deo sama ada menjadi sebahagian tugas Lim sebagai ketua menteri untuk menemui orang ramai dan menguruskan hal ehwal awam sehingga lewat malam, Farida menjawab ya.

“Beliau tidak mempunyai waktu bekerja yang tetap. Malah beliau turut bekerja pada hujung minggu dan cuti umum. Beliau memang seorang yang sibuk,” katanya.

Farida berkata, beliau dan kakitangan kerajaan negeri lain selalunya tidak berada bersama Lim selepas waktu pejabat, kecuali apabila diperlukan untuk menyiapkan bajet negeri.

Perbicaraan di hadapan hakim Azura Alwi bersambung esok.

Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang untuk meminta 10% daripada keuntungan syarikat milik Zarul itu, hasil projek jalan dan terowong berkenaan.

Lim juga didakwa meminta suapan sebanyak RM3.3 juta sebagai dorongan bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek itu.

Beliau turut menghadapi dua tuduhan menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada dua syarikat. FMT

Bekas setiausaha akui atur pertemuan Guan Eng, kontraktor projek terowong


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Firdaus Wong dedah bukti perbualan lucah pendakwah terkenal


Sebaran :

Leave a Reply