Umno sudah jadi ‘perusahaan komersial’, dakwa Ku Li

Umno sudah jadi ‘perusahaan komersial’, dakwa Ku Li

“Umno Baru” yang tertubuh pada 1988 kini sudah bersifat seperti “perusahaan komersial”, berperangai tamak, selain prinsip akhlak hancur berkecai, kata veteran parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang itu turut menyatakan jiwanya masih setia bersama Umno yang tertubuh pada 1946.

“Saya tidak sekali-kali berhenti dan meninggalkan Umno asal. Saya pernah bertanding jawatan presiden pada 1987. Maka itu saya berhak mengaku diri saya sebagai wakil keperluan atau ‘agent of necessity’ untuk Umno yang ditubuh pada 1946 dan juga wakil terkanannya di Dewan Rakyat.

“Saya ini sebahagian asal daripada parti Umno di Parlimen dengan tujuan mengembalikan hak undang-undang dan keperlembagaan Umno dan membuat apa jua yang patut bagi mengembalikan kedudukannya di bidang politik nasional dan di dalam kepentingan nasional,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kita mungkin tidak sedar dan tidak bimbang sekiranya sistem demokrasi dipisahkan daripada Perlembagaan dengan cara perlahan-lahan.

“Pihak yang mahu mengekalkan kuasa tahu cara menganjurkan rampasan kuasa tanpa mengguna kekerasan angkatan bersenjata. Krisis perlembagaan dan krisis kehakiman 1988 adalah satu peringatan.

“Sekiranya kita tidak perbetul kerosakan yang telah berlaku itu sistem demokrasi kita pasti terjejas secara berkekalan, khususnya rakyat jelata tidak akan percaya lagi terhadap sistem politik dan pemimpin kita,” katanya.

Beliau yang selesa dipanggil Ku Li, berkata pengharaman Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada 1948, membawa titik perubahan terhadap politik negara ini dengan penghijrahan beramai-ramai ahli PKMM ke Umno.

“Perubahan terhadap keahlian ini menghasilkan kesan penting kepada parti dengan kemasukan nilai-nilai ideal. Bagaimanapun para sejarawan masih belum mengkaji kesan perubahan ini. Hanya, Umno menjadi semakin nasionalistik dengan pengwujudan rancangan ekonomi dan sosial untuk memajukan kaum Melayu.

“Ia berjaya menarik yang terbaik dan paling cerdik untuk menerajui Umno. Dengan perkembangannya ke setiap pelusuk, ia merupakan bermulanya pensejarahan hebat parti. Umno juga mula mengembang sebagai badan mewakili orang Melayu dengan visi sejagat. Para ahli dan pemimpin memperkukuh kedudukannya dengan sumbangan kewangan. Di samping itu ahli-ahli amat menghormati para pemimpin dengan sifat ketulusan dan integriti mereka,” katanya.

Katanya, sebaliknya, Umno Baru menjadi parti kepada suatu golongan politik baru yang menyalahgunakannya untuk memperkaya diri. Ia mula bersifat seolah-olah seperti perusahaan komersial. Sekaligus ini merosakkan jiwa keMelayuan. Perangai tamak haloba mengatasi segala-galanya. Di samping itu prinsip akhlak hancur berkecai.

“Begitu juga halnya dengan mutu kelakuan mereka yang cuba meraih jawatan awam dan kuasa politik. Kehancuran ini amat terasa di bidang dasar ekonomi berkaitan dengan penswastaan “harta awam”, iaitu aset nasional untuk faedah rakyat jelata,” katanya.

Ku Li berkata, Umno tertubuh pada 1946 adalah suatu pergerakan dan bukan hanya sekadar nama sebuah parti politik.

“Sebenarnya Umno lebih besar daripada parti itu sendiri. Ia adalah pertubuhan yang mendukung parti. Umno adalah simbol politik lebih besar daripada parti atau keahliannya. Dalam tanggapan orang Melayu, Umno itu masih lagi sebuah pergerakan yang terdapat di setiap kampung, pekan dan bandar raya,” katanya.

Katanya, jika ‘ikon’ ini diketepikan, akan timbul kekosongan berbahaya yang boleh disalahguna oleh para populis dan oportunis.

“Oleh itu, Umno seharusnya mempertahankan kekukuhan politik yang dibinanya,” katanya. FMT

Umno sudah jadi ‘perusahaan komersial’, dakwa Ku Li


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Biarlah Mahathir terjun dengan labu-labunya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker