Kita usaha laksanakan Undi18, daftar pemilih automatik – Wan Junaidi

Kita usaha laksanakan Undi18, daftar pemilih automatik – Wan Junaidi

Kerajaan akan berusaha yang terbaik dalam melaksanakan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik menjelang 31 Dis tahun ini seperti yang telah diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Untuk makluman Dewan Rakyat untuk keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik mesti disekalikan dan tidak boleh pisah.

“Kita laksanakan apa mahkamah beri keputusan dan ‘we try our best to implement’ (kita usaha sebaik mungkin untuk melaksanakannya),” katanya di Dewan Rakyat.

Pada 3 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Kuching mengarahkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob melaksanakan pindaan Undi18 sebelum 31 Dis ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew membenarkan permohonan yang difailkan lima belia Sarawak untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu tidak melaksanakan pindaan Undi18 pada Julai.

Lima belia Sarawak, berusia 19 hingga 20 tahun, memfailkan permohonan Mei lalu untuk membatalkan keputusan kerajaan ketika itu tidak melaksanakan pindaan Undi18 Julai lalu.

Mereka mendakwa keputusan menangguhkan pelaksanaan itu tidak munasabah kerana menafikan hak mereka menjadi pengundi. Buat masa ini, hanya rakyat berumur 21 tahun ke atas boleh mendaftar sebagai pemilih.

Dalam pada itu, Wan Junaidi juga berkata kerajaan mengambil keputusan untuk tidak mengemukakan rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching itu.

Beliau juga berkata keputusan kerajaan tidak membuat rayuan itu telah dipersetujui Jemaah Menteri menerusi mesyuarat yang diadakan pada 10 Sept lalu.

Katanya, kerajaan persekutuan akan akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dan merintis usaha terbaik bagi memastikan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik di negara ini berupaya dilaksanakan lebih awal daripada jadual asal.

“Saya sebenarnya sudah baca laporan yang berlaku di Kuching dan dapati bahawa dari sudut perundangan, tiada perbezaan pendirian antara Peguam Negara dan mahkamah, hanya yang tinggal memendekkan masa saja, sebab dalam program awal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pelaksanaan dijangka menjelang September 2022,” katanya. FMT


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Jangan tunggu lagi, wajibkan penggunaan ‘pulse oximeter’ – gesa Najib

Kita usaha laksanakan Undi18, daftar pemilih automatik – Wan Junaidi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker