Suami rempuh motosikal peragut isteri

Sebaran :

Suami rempuh motosikal peragut isteri

KOTA BHARU – Tindakan pantas suami kepada seorang pembantu perubatan yang merempuh motosikal peragut dengan kereta berjaya menyelamat beg sandang isterinya daripada dilarikan suspek dalam kejadian di persimpangan Kedai Piah, Kampung Binjai di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu, suami mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an mengalami kecederaan pada telinga selepas bergelut dengan suspek yang berusia 29 tahun ketika cuba mengambil semula beg isterinya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, siasatan mendapati, mangsa yang berusia 29 tahun turun dari bas ekspres di kawasan itu dan sedang menunggu kedatangan suaminya.

Menurutnya, ketika mangsa berdiri di persimpangan Kedai Piah, dia didatangi suspek yang menunggang motosikal sebelum meragut beg sandangnya.

“Secara kebetulan, suami mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi tiba di kawasan berkenaan terus bertindak merempuh motosikal suspek sehingga menyebabkan lelaki itu terjatuh.

“Suami mangsa terus keluar dari kereta untuk mengambil beg isterinya sebelum berlaku pergelutan antara mereka, namun berjaya dileraikan oleh orang awam yang berada di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Abdul Rahim, akibat pergelutan itu, suami mangsa luka pada telinga manakala suspek cedera di tangan dan lutut sebelum kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk menerima rawatan.

Ujarnya, polis yang menerima laporan mengenai insiden itu terus bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui satu paket dadah dipercayai syabu di dalam beg pinggang suspek semasa melakukan pemeriksaan.

“Berdasarkan semakan, suspek yang bekerja sebagai mekanik mempunyai 14 rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. K Online


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Jangan tunggu lagi, wajibkan penggunaan ‘pulse oximeter’ – gesa Najib


Sebaran :

Leave a Reply