Hukum memakai inai

Hukum memakai inai

oleh Mohd Izuddin Mohd Kasim

Lawsonia inermis atau lebih dikenali sebagai inai dalam masyarakat Melayu adalah tumbuhan yang sangat sinonim digunakan secara tradisional dalam bidang perubatan dan juga kosmetik oleh pelbagai kebudayaan masyarakat di seluruh dunia.

Islam tidak pernah sesekali melarang kaum hawa untuk kekal cantik sesuai dengan fitrah mereka yang menyukai elemen kecantikan dan kebersihan dalam kehidupan seharian mereka dengan aturan, panduan dan batasan yang telah ditetapkan, Islam adalah agama fitrah yang meraikan nurani seseorang individu dan adat resam setempat, namun skop Islam sebagai agama fitrah ini sering kali disalahertikan oleh sesetengah agamawan sehinggakan menyempitkan ruang keberamalan bagi pihak wanita terutama bagi wanita yang dilahirkan pada era pasca kemodenan kini.

Justeru konteks kecantikan dalam dunia kosmetik perlu disulami dengan kefahaman agama yang sahih sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad Shallallahu Alaihi Wasallam kepada kaum lelaki yang beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangan zahir meraka dan memelihara kehormatan mereka daripada kemaksiatan kerana demikian itulah yang suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Taala Maha Mengetahui terhadap segala yang dilakukan dan dilakukan oleh mereka manakala katakanlah kepada kaum wanita yang beriman, hendaklah mereka menjaga pandangan zahirnya, memelihara kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan pada tubuh mereka kecuali yang terzahir daripadanya sahaja.” (Surah An-Nisa ayat 31)

Persoalannya apakah penggunaan Lawsonia inermis atau inai pada jari jemari atau kuku kaum hawa diklasifikasikan dalam konteks larangan atau tegahan menzahirkan perhiasan yang terdapat pada tubuh mereka? Ataupun sebaliknya, tambahan pula bagi mereka yang sudah berkecimpung dalam bidang fiqh Islami dapat menyimpulkan bahawasanya hukum hakam syarak yang termaktub dan dinaratifkan dalam tekstual fuqaha silam ia berkait rapat dengan situasi dan konteks kemasyarakatan ketika waktu itu, bahkan berkemungkinan sudut pandang hukum hakam tersebut sudah berubah mengikut peredaran zaman dan masa.

Sebelum menjawab persoalan tersebut menurut perspektif syarak kita perlu fahami terlebih dahulu terdapat pelbagai riwayat dalam naratif hadis Rasulullah SAW yang menyentuh soal pemakaian inai tersebut antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah Radhiallahu Anha yang bermaksud: “Seorang wanita telah menghulurkan tangannya daripada sebalik tirai, di mana pada tangannya tersebut terdapat tulisan, lalu perbuatannya dilihat oleh baginda Rasulullah SAW secara tidak sengaja, lantas Rasulullah menanyakan kepada wanita sambil memegang tangan si wanita berkenaan, adakah tangan empunya ini tangan seorang lelaki atau tangan seorang wanita? Lalu wanita tersebut menjawab: Ini adalah tangan seorang wanita, Rasulullah menjawab jika ini adalah tangan seorang wanita maka sewajarnya kamu mengenakan inai pada jari jemari kamu…” (Hadis riwayat Abi Daud dan Nasa’ie), tidak kurang juga terdapat athar yang menegah pemakaian inai tersebut pada mereka.

Al-Hafidz Ibn Hajar Al-Asqalani dalam kitabnya yang berjudul Talkhis Al-habir memberikan komentar bahawasanya athar atau riwayat yang memberikan gambaran terdapatnya larangan atau tegahan pemakaian inai tersebut pada tangan kaum hawa seperti athar Saidina Umar RA dalam Musonnaf Lil Abd’ Razzak perlu difahami secara kolektif dan tuntas, sebaliknya bentuk larangan atau tegahan yang terdapat dalam athar tersebut bukanlah bersifat mutlak kerana terdapat athar atau riwayat lain yang menyokong perbuatan tersebut, kenyataan ini seiring dengan kaedah dan amali yang manjadi displin ulama iaitu menghimpunkan keseluruhan teks dan menilai kembali kontekstual teks tersebut menjadi keutamaan daripada menyandarkan analisis pada satu teks sahaja dan menolak teks selainnya.

Sehubungan itu, majoriti ulama dalam kalangan fuqaha menjustifikasikan keharusan mengenakan pemakaian inai pada jari jemari dan kuku wanita sama ada sudah berumahtangga atau masih bujang dengan prasyarat tertentu antaranya tidak disalahgunakan etika pemakaian tersebut untuk tujuan kemaksiatan, tidak berlakunya fitnah dan bergantung kepada keizinan suami bagi mereka yang sudah berumahtangga. Panel kali ini cuba membawa pembaca ke ruangan perbincangan fuqaha.

Pertama berdasarkan Mazhab Syafie terdapat dua pendapat:

1. Harus mengenakan inai atau sebarang pewarna pada kuku kecuali warna hitam, bagi perempuan sama ada masih bujang ataupun sudah bersuami.

2. Harus mengenakan inai atau sebarang pewarna pada kuku walaupun warna hitam bagi perempuan yang sudah bersuami atau hamba perempuan, apabila mereka sudah mendapat keizinan daripada suami atau tuannya.

Al-imam Ibn Hajar Al-Haitami dalam Hasyiyah As-Syirwani Wal U’badi m/s (2/128) (14/484) menjelaskan:

Perempuan (isteri/hamba) yang mewarnakan kuku sama ada mengenakan inai atau pewarna yang bewarna hitam tanpa izin daripada suami atau tuannya maka tidak dibolehkan kerana ia suatu bentuk perhiasan, pendapat ini juga disokong Al-Imam Nawawi dalam Raudhah sebagai pendapat yang paling kukuh. Tambah Al-Imam Ibn Rifa’at: Pemakaian inai pada jari jemari atau kuku yang diharamkan adalah apabila seseorang wanita tersebut mengenakan padanya inai yang berwarna hitam adapun inai yang tidak berwarna hitam, maka tidak timbul keraguan dari sudut hukum tentang keharusan memakainya pada jari jemari atau kuku sebagaimana dinukilkan dalam Al-U’bbab, manakala Al-Imam Syihabuddin Ar-Ramli menegaskan: “Pemakaian inai tidak memerlukan izin daripada si suami ataupun tuannya.”

Kedua berdasarkan Mazhab Hanafi, harus bagi perempuan itu mengenakan inai pada jari jemarinya dan kukunya, walaupun terdapat dalam mazhab yang menyatakan hukum makruh pemakaian tersebut, kemakruhan tidak menafikan keharusan perbuatan tersebut. Al-Imam Ibn Najm Al-Masri dalam Bahrul Raiq Syarh Kanz Daqaiq m/s (1/14) menyatakan: “Harus pemakaian inai pada wanita sama ada ia tergolong dalam kalangan penduduk di kampung ataupun di bandar, bahkan ini adalah fatwa yang dijadikan amalan dalam mazhab manakala Al-Imam Ibn Abidin dalam Hasyiyahnya Radd Muhtar Ala Darr Mukhtar m/s (6/362) menegaskan: “Tiada larangan atau tegahan bagi kaum wanita untuk mengenakan pemakaian inai pada jari jemari dan kuku mereka.”

Ketiga berdasarkan Mazhab Maliki, harus memakai inai pada jari jemari atau kuku bagi perempuan bahkan makruh jika ia tidak mengenakan pemakaian tersebut. Al-Imam Ali Ibn Ahmed As-So’iedi Al-Adawi Al-Maliki dalam Hasyiyahnya bagi Kifayat Tholib Rabbani m/s (2/446) menjelaskan: “Harus memakai inai pada jari jemarinya dan kukunya, bahkan Al-Imam Al-Hattab menghukumkan makruh bagi wanita yang tidak mengenakan sebarang inai padanya, merujuk kepada zahir nas.”

Keempat berdasarkan Mazhab Hanbali, makruh memakai inai pada jari jemari atau kuku bagi perempuan, tanpa hajat yang khusus dan jika dikhuatiri di sebalik pemakaian tersebut boleh menyebabkan timbulnya fitnah padanya. Al-Imam Mirdhawi dalam Al-Insoff Fil Makrifatil Rajih Minnal Khilaf m/s (3/506) menyebutkan: “Makruh hukumnya bagi perempuan yang mengenakan inai pada jari jemarinya dan kukunya tanpa hajat yang khusus berserta ketiadaan keyakinan tidak berlaku fitnah pada mereka.

Al-Mustau’ieb menyatakan tidak disunatkan bagi mereka manakala terdapat salah satu pendapat Imam Ahmad Ibn Hanbal hukumnya tetap makruh walaupun mempunyai hajat yang khusus dan aman daripada fitnah.

Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 juga telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah memutuskan bahawa pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi tidak menimbulkan fitnah.

Kesimpulannya, kegagalan agamawan dalam menginduksi kefahaman sebenar di sebalik tekstual syarak seiring dengan tuntutan realiti kehidupan semasa dan memainkan peranan penting dalam berinteraksi dengan lapisan masyarakat yang pelbagai sama ada jantina, bangsa dan agama dapat menyebabkan masyarakat terutama komuniti umat Islam tenggelam dalam danau kepayahan dan kesusahan.

Wanita yang hanya memandang lebih kepada kecantikan yang lahiriah semata-mata, berhabisan wang ringgit demi memenuhi kehendak kosmetik, meskipun penggunaan inai yang mungkin harganya di pasaran semasanya tidak mencecah ratusan ringgit tanpa meraikan elemen kecantikan diri yang batiniah, patuh suruhan agamanya, gemerlapan rona akhlaknya, hakikatnya mereka tidaklah begitu cantik di sisi pandangan Ilahi. Sebaik-baik perhiasan adalah iman dan takwanya. Wallahualam.

Penulis pelajar Jurusan Perundangan Islam di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Jangan tunggu lagi, wajibkan penggunaan ‘pulse oximeter’ – gesa Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker