Azalina minta RUU antilompat parti dibentang segera sebelum katak melompat lagi

Azalina minta RUU antilompat parti dibentang segera sebelum katak melompat lagi

Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said meminta agar rang undang-undang antilompat parti dibentangkan di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin.

Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu, berkata akta itu perlu diwujudkan dengan segera kerana amalan parti bukan saja tidak adil kepada rakyat, tetapi juga terhadap parti politik yang telah berbelanja besar bagi perolehan data dan hal-hal lain ketika PRU.

“Tak semestinya yang lompat tu sebab dia (ahli parlimen) nak lompat, tapi kadang-kadang sebab kena paksa, sebab kena pecat. Macam orang bercerai.. sebab itu dalam Islam bila cerai, ada masa idah lepas gugur talak.

“Jadi berkenaan RUU pemecatan ahli parlimen ini, biarlah referendum dibuat kepada rakyat untuk tentukan wakil rakyat yang lompat itu diganti atau tidak.

“Saya minta tolong perdana menteri dan Santubong (menteri bertanggungjawab soal undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar) untuk beri laluan fast track kepada RUU saya untuk didebatkan dan diambil alih oleh kerajaan sebagai asas kepada Akta Antilompat Parti dan Pemecataan Ahli Parlimen 2021,” katanya ketika perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata undang-undang itu akan menjadikan Parlimen Malaysia lebih berwibawa.

Ia kemudian dicelah oleh Azizah Mohd Dun (Beaufort-Bersatu) yang merupakan ahli parlimen Umno dan melompat parti selepas parti itu kalah dalam PRU14.

“Macam mana pula dengan mereka yang nak lompat juga tapi ada sebab tertentu tapi tak jadi lompat?” soal Azizah kepada Azalina.

Azalina kemudian menjawab secara sinis bahawa oleh sebab itulah RUU yang dicadangkannya itu mempunyai mekanisme yang merujuk kepada isu sedemikian.

“Sebab tu dalam Islam bila bercerai tak boleh ikut hati… Tukang cucuk ramai, tukang kipas lagi ramai.

“Maksud saya banyak alasan nak lompat (parti). Sebenarnya mekanisme yang saya cadangkan merujuk kepada elemen parti dalam gabungan.

“Sebab tak semestinya yang pergi (individu lompat parti) itu atas alasan hanya sebab nak lompat… Mungkin sebab kena pecat atau berlaku disebabkan kerajaan gabungan.

Katanya, kuasa perlu diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melakukan referendum melalui petisyen daripada rakyat, sama ada ahli parlimen yang melompat itu perlu kosongkan kerusi dan lakukan pilihan raya semula atau kekalkan mereka di kerusi tersebut.

“Bila orang bertanding, dia bukan bertanding seorang diri. Kalau dia mewakili parti, kos parti itu lebih tinggi daripada kos pilihan raya – persediaan, nama-nama calon, nama-nama jentera. Bukan saja itu, termasuk juga data-data yang digunakan untuk pilihan raya.

“Jadi ini tidak berlaku adil bukan sahaja kepada parti tetapi yang lebih penting tidak adil kepada rakyat,” katanya.

Lantik menteri undang-undang sebagai peguam negara

Sementara itu, Azalina turut mencadangkan supaya menteri undang-undang boleh dilantik sebagai peguam negara.

Ini supaya peguam negara boleh ke sidang Dewan Rakyat bagi menjawab soalan-soalan daripada berkaitan perundangan dengan jelas dan lengkap.

“Saya nak cadangkan kepada kerajaan kalau menteri undang-undang boleh respons bahawa kita pernah mempunyai seorang menteri kabinet yang juga peguam negara iaitu arwah Tan Sri Kadir (Yusof) dan Tan Sri Hamzah (Abu Samah).

“Jadi sekurang-kurangnya peguam negara boleh datang ke Dewan dan menjawab kepada semua soalan-soalan undang-undang dan tak payahlah menteri menunggu masa dan semua memberi kepada jawapan-jawapan secara bertulis yang kadang-kadang lengkap dan tidak lengkap.

“Saya mencadangkan ini adalah cadangan teguran supaya kita menerima hakikat bahawa kuasa mendakwa ialah kuasa yang begitu besar dan kita tak mahu peguam negara kita dilihat sebagai persepsi tekanan politik,” katanya yang juga bekas menteri undang-undang.

Azalina minta RUU antilompat parti dibentang segera sebelum katak melompat lagi


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


TMJ salah tafsir kos – Faizal Azumu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker