Umno gugur saman terhadap 9 ahli Parlimen PPBM

Umno menggugurkan saman terhadap 9 ahli Parlimen yang berhijrah ke PPBM kerana kedua-dua parti kini rakan dalam gabungan Perikatan Nasional.

“Kita sekarang rakan politik,” kata Presiden Umno, Zahid Hamidi kepada FMT di Mahkamah Tinggi hari ini.

“Saya sudah mengarahkan peguam kami gugurkan saman itu.”

Zahid tahun lepas berkata saman itu dibuat demi kepentingan parti.

Tindakan atas sebab pecah amanah itu dibuat terhadap Mustapa Mohamed (Jeli), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Hamzah Zainuddin (Larut), Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Shahbudin Yahaya (Tasek Gelugor), Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai), dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Umno menuntut ganti rugi RM200,000 daripada setiap seorang.

Seramai 13 ahli Parlimen termasuk 4 dari Sabah berhijrah ke PPBM semasa ia menganggotai Pakatan Harapan yang dipimpin bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Pada 1 Mac, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengumumkan partinya keluar PH dan mengangkat sumpah perdana menteri selepas mendapat sokongan PPBM, Umno, PAS, Parti Gabungan Sarawak, dan beberapa ahli Parlimen termasuk bekas pemimpin PKR.

Mustapa kembali ke Kabinet sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (ekonomi) manakala Hamzah dilantik menteri dalam negeri dan Latiff menteri pembangunan luar bandar.

Iklam dilantik timbalan menteri pertahanan, Muslimim pula timbalan menteri pendidikan, Noor Azmi jadi timbalan menteri kesihatan, Rosol pula timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, dan Mas Ermieyati dilantik timbalan menteri pembangunan usahawan dan koperasi.

Minggu lepas, Shahburin dilantik timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Perbicaraan bagi 9 kes itu, yang difailkan ke Mahkamah Tinggi Malaya, belum bermula ekoran bantahan awal daripada pihak terbabit. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker