Kenapa Zahid berlembut dengan Ismail?

Kenapa Zahid berlembut dengan Ismail?

Perjanjian di sebalik tabir mungkin menjadi sebab Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi “berlembut” dalam hubungannya dengan naib presiden parti itu, Ismail Sabri Yaakob, yang kini merupakan perdana menteri.

Penganalisis politik berkata, Zahid mungkin tidak akan mengkritik keputusan Ismail melantik Muhyiddin Yassin untuk menerajui Majlis Pemulihan Negara, walaupun beliau tidak senang dengan bekas perdana menteri itu.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura membuat spekulasi bahawa kumpulan Zahid dalam Umno masih dalam proses “membuat perjanjian” dengan Ismail.
“Kita masih tidak tahu perjanjian jenis apakah yang telah mereka capai atau cuba untuk capai,” katanya kepada FMT.

“Ia mungkin membabitkan kedudukan Zahid sebagai presiden tidak dicabar Ismail.”

Sebarang serangan berbentuk lisan boleh menjejaskan rundingan, tambahnya.

Pada awal pentadbiran Muhyiddin, Umno menyokong partinya, Bersatu. Pertikaian hanya bermula pada September 2020.

Oh berkata, kenyataan Zahid baru-baru ini bahawa Umno tidak akan taat kepada pentadbiran secara membuta tuli menunjukkan bahawa sokongan kepada Ismail hanya akan bertahan selagi beliau mentadbir negara dengan baik dan menepati janjinya dengan parti.

Katanya, Zahid mungkin akan “sedaya upaya” cuba menggagalkan pentadbiran Ismail jika perjanjian mereka dilanggar atau dicabar.

Ujian di sidang Dewan Rakyat

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, kumpulan-kumpulan dalam Umno kini gembira kerana salah seorang ahli parti itu menjadi perdana menteri.

“Mereka akan bekerjasama buat masa ini kerana Umno akhirnya kembali ke kedudukan peneraju,” katanya kepada FMT.

Namun kerjasama ini akan diuji pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula pada Isnin dan kerajaan akan membentangkan Belanjawan 2022.

Pelantikan timbalan speaker baharu juga dijangka dibuat untuk mengisi jawatan yang dikosongkan Azalina Othman Said.

Tunjuk siapa lebih berjiwa besar

Seorang penganalisis lain, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berkata, Zahid mungkin sengaja mengambil pendekatan “lembut” berhubung pelantikan Muhyiddin sebagai mesej bahawa beliau berjiwa besar.

“Zahid ingin tunjuk bahawa beliau akan menolak jika ditawarkan jawatan sementara Muhyiddin, jika beliau turut berjiwa besar, akan mengambil tindakan sama kerana pelantikan dikritik orang ramai,” katanya kepada FMT.

Katanya lagi, boleh jadi akar umbi Umno tidak tersinggung dengan pelantikan Muhyiddin kerana ia bukan jawatan dalam Jemaah Menteri.

Ketiga-tiga penganalisis bersetuju bahawa pemimpin dan akar umbi Umno gembira kerana rakan separti mereka kini menjadi perdana menteri, namun tiada yang pasti dalam politik dan pertikaian baharu mungkin akan timbul selepas ini.
FMT

Kenapa Zahid berlembut dengan Ismail?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Sanggup mengaku sepupu elak dicekup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker