Mahathir selalu tipu Sabah, Sarawak – GPS

Mahathir selalu tipu Sabah, Sarawak – GPS

Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad adalah orang yang bertanggungjawab yang meniupkan sentimen “Sarawak untuk orang Sarawak”, kata setiausaha agung gabungan itu Alexander Nanta Linggi.

Dakwanya, tindakan Mahathir yang sering menipu Sarawak mencetuskan semangat kenegerian di negeri kepulauan Borneo berkenaan.



“Mahathir kononnya kesal kerana ada pihak yang membangkitkan sentimen ‘Sarawak untuk orang Sarawak’ dan ‘Sabah untuk orang Sabah’. Dia kata tidak perlu ada sentimen seperti itu.

“Dia mungkin betul, tetapi dia juga harus menyedari mengapa sentimen itu mendapat sokongan.

“Kami selalu ditipu oleh Mahathir,” katanya kepada Malaysiakini.

Mahathir dalam satu temu bual bersama Great People Televisyen di siaran langsung Facebook bertajuk, “Leadership Reflections and Perceptions with Dr Mahathir Mohamad” semalam menyatakan rasa kecewanya terhadap sikap segelintir pihak yang membangkitkan idea “Sarawak untuk orang Sarawak” dan “Sabah untuk orang Sabah”.



Sebaliknya, kata bekas perdana menteri itu, mereka sepatutnya menganggap diri masing-masing sebagai rakyat Malaysia terlebih dahulu.

Malah, Mahathir dipetik oleh portal Free Malaysia Today sebagai berkata keadaan di negeri Sabah dan Sarawak bertambah lebih baik selepas menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Menurutnya, kedua-dua negeri miskin itu menjadi lebih kaya berbanding negeri lain di Semenanjung selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

Mengulas lanjut, Alexander berkata sewaktu kali pertama menjadi perdana menteri sebelum ini, Mahathir telah mengabaikan Sarawak dari aspek pembangunan, hak, dana awam dan autonomi.



Ahli Parlimen Kapit itu menambah bahawa Mahathir juga sangat jarang melawat Sarawak sepanjang 22 tahun pemerintahannya.

“Ketika kembali ke Putrajaya sebagai perdana menteri sekali lagi, dia juga tidak adil terhadap Sarawak. Negeri ini sebesar semenanjung, tetapi hanya ada satu menteri dan satu timbalan menteri dari Sarawak (dalam kabinetnya),” katanya.

“Mahathir boleh melantik (pemimpin) dari Sarawak sebagai senator dan menamakan mereka sebagai menteri atau timbalan menteri,” tambah Alexander.

Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian adalah satu-satunya menteri dari keturunan Dayak dilantik memegang jawatan dalam kerajaan, sementara DAP Chong Chieng Jen adalah satu-satunya timbalan menteri dari Sarawak.



Di bawah pentadbiran perdana menteri yang baru, Ismail Sabri Yaakob, GPS diberi satu menteri kanan, tiga menteri dan tiga timbalan menteri.

Alexander juga berkata rakyat Sarawak jarang dilantik ke peringkat tertinggi dalam perkhidmatan awam, termasuk dalam pasukan keselamatan.

Dia berkata pentadbiran Perikatan Nasional (PN) telah memperuntukkan lima peratus cukai penjualan ke atas petroleum dan produk petroleum untuk Sarawak, dan juga memberikan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak (SEDC) status yang sama dengan syarikat Shell dan Petron.

Katanya, semangat kedaerahan juga semakin diapi-apikan oleh pemimpin tetentu secara berterusan dalam tempoh tiga tahun terakhir, yang menyaksikan kerajaan PH digulingkan dan kemudian pertukaran perdana menteri susulan 15 anggota parlimen Umno menarik kembali sokongan mereka kepada Muhyiddin Yassin, bulan lalu.



“Ini menjadikan kita, orang Sarawak (ahli politik) merasa lebih yakin bahawa kita adalah lebih baik kerana kita tidak mahu bergaduh seperti di Semenanjung Malaysia,” katanya.

“Pemimpin kita mungkin mempunyai perbezaan politik, tetapi kita masih sangat baik, sangat teratur dan sangat wajar.

“Kami merasakan bahawa kami lebih baik daripada ahli politik kanan yang mengetuai parti-parti yang berpusat di Semenanjung. Kami hanya memberi tumpuan kepada rakyat dan kerja kami dan tidak menimbulkan kekacauan politik,” katanya.

“Jadi, jangan salahkan kami kerana mempunyai sentimen Sarawak hanya untuk rakyat Sarawak, “kata Alexander, yang juga setiausaha agung PBB.



“Tolong faham pemikiran orang Sarawak kerana kami ingin melindungi apa yang kami anggap masih indah di Sarawak daripada diheret oleh semua politik ini,” tambah Alexander. Mk

Mahathir selalu tipu Sabah, Sarawak – GPS


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Sanggup mengaku sepupu elak dicekup

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker