Gangguan seksual: Rara dakwa kenyataan Rina tiada empati

Gangguan seksual: Rara dakwa kenyataan Rina tiada empati

Kenyataan Rina Harun yang menggesa mangsa gangguan seksual membuat laporan kepada pihak berkuasa tanpa perlu menunggu Rang Undang-undang Gangguan Seksual menunjukkan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu tiada empati, kata Adun Ketari Young Syefura Othman.

Hal itu kerana, kata Adun DAP itu, RUU berkenaan dapat memberikan jaminan kepada mangsa bahawa mereka mempunyai hak untuk dilindungi undang-undang negara ini.



Malah, kata Young Syefura ia sesuai dengan peningkatan kes gangguan seksual sejak kebelakangan ini, sama ada melalui dalam talian atau sebaliknya, yang sangat membimbangkan.

“Apa yang lebih mengecewakan ialah kenyataan menteri menunjukkan dia tidak peka dan tidak faham bahawa disebabkan tiadanya undang-undang yang boleh dirujuk bagi kes gangguan seksual, ia menyukarkan untuk sebarang siasatan dan tindakan terhadap laporan yang dibuat.

“Cadangan Rina yang tidak munasabah juga menunjukkan menteri terbabit sebenarnya tidak ada langsung mempunyai political will (keazaman politik) untuk meneruskan usaha yang dijalankan oleh menteri dan timbalan menteri sewaktu pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod semasa kerajaan PH dulu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat diketuai Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri.



Dia dibantu Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, sebagai timbalan menteri.

Ramai mangsa enggan buat laporan

Kata Young Syefura gesaan agar RUU Gangguan Seksual dibentangkan di parlimen sebenarnya sudah kedengaran sejak tahun lalu lagi.

Semalam, Rina dilaporkan berkata mangsa gangguan seksual digesa segera melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa tanpa perlu menunggu peruntukan RUU berkaitan jenayah gangguan seksual dikuatkuasakan.



Katanya, RUU tersebut bukan membabitkan pindaan, sebaliknya RUU baru yang mengambil masa untuk digubal dan melibatkan banyak kementerian manakala drafnya kini di peringkat penelitian Jabatan Peguam Negara.

Pada masa sama, Young Syefura turut mempersoalkan mengapa Rina masih memberikan alasan RUU berkenaan perlu mengambil masa untuk digubal, sedangkan pemimpin Wanita Bersatu itu sudah menyandang jawatan tersebut sebanyak dua kali.

“Adakah menteri benar-benar mengambil serius mengenai hal ini?” soalnya.

Kata Young Syefura lagi, ramai mangsa yang enggan membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana berasakan mereka tidak akan mendapat pembelaan yang sewajarnya.



Adun terbabit turut memberi contoh bagaimana dia membuat laporan polis selepas menerima mesej lucah di Facebooknya.

Katanya, kes tersebut hanya boleh disiasat menggunakan peruntukan Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Tiada satu pun daripada peruntukan yang digunakan untuk menyiasat kes ini merujuk dan mengklasifikasikan perbuatan tersebut sebagai satu jenayah gangguan seksual dan si pelaku tidak boleh didakwa, apa lagi disabitkan kesalahan ke atas jenayah gangguan seksual yang dilakukannya,” katanya yang turut menekankan bahawa gangguan seksual tidak hanya terhad kepada wanita.

“Saya berharap Menteri tidak lagi mengeluarkan kenyataan tone deaf (tidak sensitif) dan tiada empati berkaitan dengan hal ini sebaliknya segera melaksanakan tugas dengan agresif demi golongan yang diwakili melalui kementeriannya,” katanya sambil menggesa supaya tiada alasan lagi diberikan untuk menangguh pembentangan RUU itu. Mk



Gangguan seksual: Rara dakwa kenyataan Rina tiada empati


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Sanggup mengaku sepupu elak dicekup



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker