Putrajaya salur tambahan RM38 juta baiki infrastruktur di Yan, Merbuk

YAN: Sebanyak RM38 juta peruntukan tambahan disalurkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi memperbaiki infrastruktur yang rosak teruk akibat bencana banjir dan fenomena kepala air di sini dan Merbok pada 18 Ogos lepas.

Menterinya, Mahdzir Khalid berkata, sebahagian besar daripada RM35 juta itu akan digunakan untuk menaik taraf Loji Rawatan Air Tupah di Merbok bagi menyediakan akses bekalan air bersih dan terawat kepada 450 rumah penduduk terjejas di kawasan itu.

“Sebanyak RM1 juta akan digunakan untuk pembinaan rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) ataupun rumah yang rosak, RM355,000 untuk kerja-kerja baik pulih jalan kampung dan RM500,000 diperuntukkan di bawah program ameniti sosial, termasuk membaik pulih titi dan jambatan.



“Sebanyak RM1 juta pula untuk bekalan air alternatif dan RM145,000 untuk membaik pulih empat premis taman bimbingan kanak-kanak (tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (taska) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Yan,” katanya selepas meninjau lokasi terjejas akibat banjir di sini.

Beliau berkata, kementerian memutuskan menambah peruntukan itu segera bagi membolehkan pelbagai infrastruktur dibaiki secepat mungkin demi memastikan anggota “Keluarga Malaysia” yang terkesan dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kerja-kerja pembaikan rumah yang rosak akibat bencana itu pula sedang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA). KEDA telah melantik kontraktor dan kerja-kerja pembaikan rumah yang dikenal pasti itu sedang dibuat,” katanya yang memaklumkan 35 rumah penduduk yang rosak teruk telah dikenal pasti.

Pada 23 Ogos lepas, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM75 juta menerusi pelbagai kementerian dan agensi bagi memperbaiki segala kemudahan awam dan infrastruktur yang terjejas di Yan dan Merbok.



Sementara itu, Mahdzir berkata, sebahagian besar guru tabika dan taska KEMAS, iaitu 10,857 orang telah menerima vaksin Covid-19 dengan 8,580 daripadanya lengkap dua dos.

“Guru KEMAS semuanya ada 12,619 orang, jadi 1,762 orang masih menunggu suntikan dan saya rasa dalam bulan ini kesemua mereka akan selesai menerima suntikan,” katanya.


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392



Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Hisham panggil 3 menteri bincang longgarkan SOP



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker