Dunia politik tidak akan pernah aman…

WALAU apa sekali pun yang berlaku dan walau apa jua keputusannya, dunia politik itu sendiri tidak akan pernah aman.

Lihat sahaja apa yang berlaku pada Ahad, 5 September. Pakatan Harapan (PH) telah mendesak Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun meletakkan jawatan segera di atas kenyataan yang dikeluarkannya berhubung soal keabsahan Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Menurut Peguam Negara, sudah tidak perlu lagi dilakukan undian di Dewan Rakyat berhubung keabsahan Perdana Menteri kerana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah melakukannya pada 17 Ogos lalu.

Jelas Peguam Negara lagi, jika Parlimen pula mahu melakukan satu lagi proses keabsahan, ia seolah-olah mempertikaikan kuasa mutlak Agong dalam mengesahkan kedudukan Perdana Menteri.

Tetapi PH berhujah, apa yang dilakukan oleh Peguam Negara itu pula adalah satu perbuatan yang menderhaka kerana bercanggah dengan apa yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda kepada semua pemimpin dalam majlis menghadap pada 17 Ogos itu.

Malah kata PH, Istana Negara pada 18 Ogos iaitu sehari selepas majlis menghadap berlangsung telah menyatakan dengan terang bahawa satu usul kepercayaan perlulah diadakan di dalam Dewan Rakyat untuk menentukan keabsahan jawatan Perdana Menteri.

Hujahan itu kata mereka adalah selaras dengan apa yang dituntut oleh Perlembagaan Persekutuan dan dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri.

Bukan itu sahaja, PH juga berhujah Timbalan Yang di-Pertuan Agong turut bersetuju dengan undi kepercayaan dilangsungkan di Dewan Rakyat bagi mengesahkan kedudukan Perdana Menteri.

“Jangan lupa, Peguam Negara turut berada di hadapan Seri Paduka, ketika Baginda menyampaikan amanah tersebut dan menjadi saksi kepada pesanan tersebut,” kata PH.

Kenyataan yang dikeluarkan itu menegaskan yang mereka tidak akan berganjak dan akan terus mempertahankan titah yang dikeluarkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan akan meneruskan proses keabsahan pada 13 September ini.

Dalam nada yang lebih keras, mereka meminta Perdana Menteri agar tidak mendengar nasihat yang salah jika tidak mahu mengikut jejak orang yang digantinya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ternyata ayat tersebut benar-benar keras dan boleh membawa kepada satu lagi ketidakstabilan politik yang mana kita semua tidak mahu menyaksikannya.

Yang dikhuatiri ialah, PH bukan sahaja ingin melihat Peguam Negara meletak jawatan, tetapi lebih dari itu mahu menguji Perdana Menteri lagi sekali menerusi undi di Dewan Rakyat. Mereka nampaknya benar-benar serius ingin melihat proses undi keabsahan itu berlaku.

Dan apakah kita bakal menyaksikan satu lagi episod intrik dan mendebarkan di Dewan Rakyat tidak lama lagi? Sesungguhnya dunia politik ini tidak akan pernah aman dari hiruk-pikuk dan sepak terajangnya.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Masa untuk UMNO wujudkan kestabilan politik, pentadbiran telus

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker