Antara perintah suami, SOP Covid dan ibu bapa, mana yang dipatuhi?

Antara perintah suami, SOP Covid dan ibu bapa, mana yang dipatuhi?Menurut kerukunan rumah tangga merupakan sunnatullah kepada semua umat manusia semenjak daripada nabi Adam a.s untuk memelihara kelangsungan keturunan daripada hubungan kelamin yang sah.
Sudah menjadi rahsia umum seorang isteri wajib patuh dan taat kepada suami dalam perkara ma’ruf. Keredhaan suami menjadi asbab keredhaan Allah dan mempermudahkan perjalanan seorang isteri menuju syurga kelak.Isteri yang tidak mendapat keredhaan suami dianggap berlaku nusyuz atau derhaka. Oleh itu, dalam Islam hak suami di atas isterinya mengalahkan hak sesiapapun setelah hak ALLAH dan Rasul-Nya, termasuklah hak kedua ibu bapanya sendiri.

Adalah menjadi tanggungjawab seorang isteri mentaati suaminya untuk layak diberikan gelaran isteri solehah.

Firman Allah yang bermaksud: “Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolonganNya”[al-Nisa: 34].

Menurut al-Tabari perkataan taat dalam ayat tersebut merujuk kepada ketaatan kepada para suami.

Dalam sebuah hadis riwayat ‘Aishah r.anha yang bermaksud: Aku pernah bertanya kepada Nabi S.A.W “Siapakah manusia yang paling berhak dipatuhi atas seorang isteri?” Baginda bersabda, “Suaminya.” Aku bertanya lagi, “Lalu siapakah manusia yang paling berhak dipatuhi atas seorang lelaki?” Baginda bersabda, “Ibunya.”

Namun demikian, dalam suasana negara diancam wabak Covid-19, pihak kerajaan lebih menjaga keselamatan dan nyawa rakyat dan tidak membenarkan pergerakan rentas negeri, daerah dan sebagainya untuk mencegah penularan wabak termasuk menziarahi ahli keluarga terdekat terutama musim perayaan.

Disebabkan terlalu lama tidak menziarahi ahli keluarga terdekat mungkin ada segelintir para isteri bertindak keluar menziarahi ibu bapa mereka tanpa keizinan suami.

Lebih malang lagi perbuatan tersebut membawa kepada penularan wabak ke rumah sendiri tanpa disedari, persoalannya adakah perbuatan ini wajar dan dibenarkan dalam agama walaupun dengan alasan menjaga hubungan silaturahim antara anak dan ibu bapa?.

Para ulama’ sepakat menyatakan di antara kewajipan isteri dalam mentaati suaminya ialah memberikan khidmat dan tinggal di rumah suaminya.

Hal ini bermaksud isteri tidak boleh sewenang-wenangnya keluar dari rumah kelamin tanpa sebab yang syar’ie kecuali dengan keizinan suami untuk mencari rezeki keluarga.

Perang rasuah Mahathir sebenarnya cuma kempen terhadap Umno

Dalam sebuah hadis riwayat ‘Aisyah r.anha bahawa beliau pernah meminta izin kepada baginda untuk pulang ke rumah ibu bapanya. ‘Aisyah berkata kepada Nabi SAW: “Adakah Rasulullah mengizinkanku untuk mendatangi kedua ibu bapaku? Maka Rasulullah SAW mengizinkan daku”.[ Riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Menurut Ibn Hajar Al-Asqalani hadis ini menjadi dalil bahawa wanita tidak boleh keluar dari rumah suaminya tanpa keizinan daripada suami. Justeru, isteri wajib memohon keizinan suaminya untuk keluar daripada rumah suaminya sekalipun dengan tujuan untuk menziarahi kedua ibu bapanya.

Kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa, kata-kata nasihat yang sentiasa mekar dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, tidak dapat dinafikan menjaga hubungan baik antara anak dan ibu bapa tiada batasan masa dan tempat.

Atas dasar itu, menurut mazhab Hanafi dan Maliki suami tidak berhak menghalang isteri untuk menziarahi ibu bapanya sendiri setiap minggu sekali, pada hari Jumaat dan isteri berhak berbuat demikian walaupun tanpa keizinan suami dengan syarat keselamatan terjamin.

Begitu juga dalam mazhab Syafie dan Hanbali, dalam kitab Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu ada disebutkan harus bagi suami untuk melarang isterinya untuk menziarahi keluarganya, tetapi yang lebih baik adalah tidak menghalangnya melihat kepada uruf atau adat resam masyarakat setempat contohnya ibu bapa dalam keadaan sakit yang tenat, menghadiri majlis pengebumian kedua ibu bapanya ketika mereka meninggal dunia, kerana larangan tersebut boleh membawa kepada terputusnya hubungan silaturahim.

Pendek kata sekiranya larangan tersebut boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan terputus, atau ibu bapa yang uzur dan memerlukan khidmat anak adalah diharuskan bagi isteri untuk keluar sekalipun tanpa keizinan suaminya.

Namun, ketika ini amat tidak wajar seorang isteri keluar tanpa izin suami dalam keselamatan tidak terjamin dan adanya SOP Covid yang tidak membenarkan untuk berbuat demikian.

Keadaan sekarang berada dalam darurat di mana keutamaannya adalah menjaga nyawa sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan [al-Baqarah: 195].

Bagaimana jika si isteri tadi dijangkiti Covid dan membawa pulang ke rumah sehingga menular kepada suami, anak-anak dan pembantu rumah?.

Sudah pasti dalam kes seperti ini isteri melakukan dua dosa, pertama tidak mentaati suaminya dan kedua ingkar kepada arahan pemerintah yang hukumnya wajib seperti firman Allah yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”. [al-Nisa: 59]

Sebagai seorang Muslim yang beriman kepada Allah kita diminta untuk berusaha sedaya upaya mengelakkan diri daripada jangkitan Covid dan tidak meletakkan segalanya kepada takdir atau ketentuan Allah.

Perbuatan redha dan pasrah kepada Allah apabila dijangkiti Covid sedangkan usaha tidak langsung dilakukan merupakan ajaran aliran Jabariyah yang bercanggah dengan pegangan Ahlusunnah waljamaah.

Ini bererti redha dengan ketentuan Allah mestilah berlaku setelah segala usaha dilakukan untuk menghindari jangkitan Covid dengan mengambil vaksin dan sebagainya.

Ada yang mengatakan ambil vaksin dua dos pun mati juga, kalau begitu ada baiknya tidak diambil, kenyataan ini boleh merosakkan aqidah.

Ketentuan hidup atau mati hak mutlak milik Allah itulah aqidah Ahlusunnah waljamaah yang tiada khilaf lagi, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Kamilah yang menentukan (dan menetapkan masa) kematian (tiap-tiap seorang) di antara kamu, dan Kami tidak sekali-kali dapat dikalahkan atau dilemahkan” [al-Waqi’ah :60].* Datuk Mohamad Din Yusoh ialah penulis buku Covid-19 Melanda Negara dan Dunia

Antara perintah suami, SOP Covid dan ibu bapa, mana yang dipatuhi?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


PM harap pemberian BKC ringankan beban rakyat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker