Proses bayaran balik ambil masa lebih lama – AirAsia

Proses bayaran balik ambil masa lebih lama – AirAsia

AirAsia Group Bhd mengakui proses bayaran balik bagi tiket penerbangan yang dibatalkan susulan kesan penularan Covid-19 akan mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan sepenuhnya.

Dalam kenyataan kepada BH, AirAsia berkata, sama seperti syarikat penerbangan tambang rendah lain, bayaran balik akan memakan masa berikutan krisis Covid-19 berpanjangan yang mana menyaksikan industri penerbangan terjejas teruk.

Katanya, polisi yang diguna pakai oleh AirAsia selaras dengan kebanyakan pengendali dalam industri pelancongan di seluruh dunia.

“Kumpulan telah menyelesaikan lebih 80 peratus pertanyaan pelanggan ketika tempoh pandemik dan kekal komited untuk menyelesaikan semua baki tunggakan.

“Pelanggan digalakkan menerima kredit yang akan disediakan dalam tempoh 24 jam, yang mana sah untuk penerbangan akan datang.

“Baru-baru ini, kami telah melanjutkan tempoh sah kredit sehingga tiga tahun dari tarikh kredit itu dikeluarkan,” katanya.

Kumpulan itu berkata demikian sebagai respons terhadap keluhan seorang pengguna laman Twitter meluahkan rasa tidak puas hati berikutan kelewatan AirAsia membuat bayaran balik kredit seperti dijanjikan.

Pada April lalu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sejak Januari 2020, kumpulan itu telah membuat bayaran balik kepada 1.5 juta pelanggan, manakala 2.9 juta lagi bersetuju menerima sistem kredit sebagai alternatif.

Beliau menjelaskan, setiap minggu AirAsia Group memproses baki 450,000 bayaran balik tertunggak berdasarkan tunai terhad yang dimiliki.

“Apa yang ingin kami lakukan adalah berusaha untuk membayar balik semua pelanggan kami atau memberikan sistem kredit seterusnya memastikan AirAsia terus bertahan,” katanya dalam video yang disiarkan menerusi laman YouTube.

Fernandes berkata, AirAsia terjejas teruk sebagaimana syarikat penerbangan lain apabila pesawatnya tidak beroperasi setahun ketika Covid-19 melanda negara.

Katanya, syarikat penerbangan tambang rendah itu juga tidak memiliki sebarang sokongan kewangan sebagaimana syarikat penerbangan milik kerajaan.

“AirAsia adalah syarikat penerbangan yang menakjubkan sebelum Covid-19 melanda. Kami sudah menerbangkan 600 juta orang dan mewujudkan ratusan ribu pekerjaan.

“Ketika ini, kami masih berusaha mengekalkan kakitangan. Sejumlah 10 peratus pekerja terpaksa dilepaskan dan ramai kakitangan ketika ini menerima bayaran lebih rendah. Semua ini adalah usaha untuk mempertahankan syarikat,” katanya.

Dalam video sama, Fernandes berkata, AirAsia X berdepan isu kewangan yang teruk disebabkan bukan hanya tidak boleh beroperasi, malah berdepan persaingan yang sangat tidak adil.

“Secara berasingan, AirAsia X juga komited untuk membayar balik setiap pelanggan,” katanya. HM

Proses bayaran balik ambil masa lebih lama – AirAsia


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Sekolah tetap dibuka 3 Oktober – Radzi

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker