RM13 juta 'Tak Hangus' — MYKMU.NET

RM13 juta ‘Tak Hangus’

Sebaran :

RM13 juta ‘Tak Hangus’

PELABURAN besar yang dilaburkan kepada skuad lumba basikal trek negara bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 dianggap cukup berbaloi.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pelaburan tersebut mendatangkan pulangan selepas jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang meraih pingat perak acara keirin.

“Kita nak lihat daripada segi inovasi bagaimana seperti yang telah dilakukan kepada Azizulhasni. Tumpuan dan juga pelaburan yang dilakukan Alhamdullilah telah terbukti mendatangkan hasil.

“Kita sudah tentu mahu melihat setiap pelaburan yang dilakukan adalah pelaburan yang berbaloi dan kita tahu bahawa setiap kali kita nak dapatkan kejayaan, kita kena buat pelaburan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pencapaian kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berakhir pada Ahad.

Dengan kos penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mencecah RM13 juta, basikal baharu WX-R Vorteq direka mengikut kesesuaian Azizulhasni dan rakan sepasukannya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Pelaburan itu ternyata berbaloi apabila Azizulhasni atau terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman berjaya menukar gangsa yang diperolehnya pada edisi Rio 2016 kepada kilauan perak pada temasya Olimpik kali ini.

Namun, kejayaan tersebut tidak terlepas daripada kecaman sesetengah pihak yang menyifatkan pelaburan dengan jumlah yang besar itu sebagai satu pembaziran.

“Selepas Olimpik Tokyo, kita balik bukan untuk melihat perkara yang sama tetapi kita mahu melihat lebih banyak perubahan. Saya sedia untuk meyakinkan kerajaan supaya meneruskan pelaburan dalam sukan.

“Saya juga melihat pelaburan dalam sukan ini juga bukan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata. Tetapi semua ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak.

“Sebab itu saya akan meneroka modul, format dan metodologi baharu. Dari segi inovasi, saya akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) serta Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan.

“Sudah tentu beliau memahami keperluan untuk kita tingkatkan pencapaian dengan contoh negara luar sudah berjaya melakukannya melalui teknologi sukan, sains sukan dan inovasi. Saya yakin ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan mudah-mudahan kejayaan dapat dilakar,” jelas Reezal Merican.-SH

RM13 juta ‘Tak Hangus’


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Dekati Basikal Azizulhasni Awang Untuk Olimpik Tokyo, Nak Tahu Berapa Harga?

Disarung Azizulhasni Dan Atlet Lain Di Olimpik, Netizen Mula Buru Kasut Ini


Sebaran :

Leave a Reply

%d bloggers like this: