Undi percaya mesti disegerakan

Undi percaya mesti disegerakan. Tahniah atas kebijaksanaan dan keberanian Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pengumuman bahawa beliau akan membentangkan satu usul percaya ke atas dirinya di Parlimen.

Kebijaksanaan dan keberanian memang dialu-alukan setelah sebilangan ahli Parlimen UMNO – dakwaan UMNO 11, dakwaan perdana menteri cuma lapan orang – menarik diri daripada menyokong kerajaan Muhyiddin pada 3 Ogos.

Kerana majoriti kerajaan mengikut pengiraan semua pihak sehingga minggu lalu ialah 115 (sebelum kecualikan Tengku Razaleigh Hamzah yang telah meminta ditempatkan di luar seksyen ahli Parlimen kerajaan), tak kira 11 atau lapan orang yang menarik diri, kerajaan Muhyiddin sudah pun gagal mengekalkan majoriti mudah, 111.



Dakwaan Muhyiddin bahawa kerajaannya masih mempunyai majoriti bermaksud ia telah mendapat sokongan sekurang-kurangnya empat ahli Parlimen pembangkang. Mereka tidak boleh disorok seperti isteri baharu yang dinikahkan secara tersembunyi di negara Thai.

Perdana menteri menawarkan bulan September sebagai masa undi percaya, yang terlalu lewat pada hemat saya.

Seperti yang dikatakan perdana menteri sendiri, persoalan tentang keabsahan kerajaan beliau telah pun mengganggu usaha kerajaan melawan wabak. Tidak salah untuk sesiapa pun mempersoalkan keabsahan kerajaan kerana kerajaan memang wajib absah.

Masalah berlaku gangguan – yang telah menghantui kerajaan Muhyiddin sejak penubuhannya pada Mac lalu adalah keengganan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk membenarkan pembentangan usul undi percaya atau tidak percaya terhadap perdana menteri.



Jika Muhyiddin berjaya memenangi undi percaya, maka semua pencabarnya harus mengiktiraf keabsahan kerajaannya dan memberi ruang kerajaan memerintah negara. Tiada siapa berhak menafikan hak Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Sebaliknya, jika Muhyiddin gagal memenangi undi percaya, maka beliau juga harus undur diri dan beri peluang kepada seorang ahli Parlimen lain yang menikmati kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

MCA kekal bersama BN tapi sokong PN buat masa ini demi kestabilan



Dalam keadaan biasa, seorang perdana menteri yang kalah undi percaya mempunyai pilihan untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen. Namun, pilihan raya tidak sesuai kerana wabak masih melanda.

Jika perdana menteri masih mempunyai majoriti, maka beliau tidak harus membenarkan gangguan masalah keabsahan kerajaan untuk berterusan selama sebulan lagi. Ia bukan menyeksa beliau dan menteri-menteri beliau, rakyat turut terseksa apabila menteri hari ini tidak pasti ada lagi esoknya.

Sebaliknya, jika majoriti perdana menteri telah pun hilang, beliau harus memberi jalan untuk perdana menteri baharu mengambil alih tampuk pemerintahan.

Apa keuntungannya untuk rakyat dan negara melanjutkan usia sebuah kerajaan yang bakal gugur untuk sebulan? Lebih-lebih lagi, sidang Parlimen yang dijadualkan pada 6-30 September adalah mesyuarat pertama penggal keempat yang bermula dengan titah Yang di-Pertuan Agong, yang membawa pesanan kerajaan dan bukan pandangan peribadi Seri Paduka.



Jika perdana menteri gagal mendapat undi percaya, maka kerajaan baharu perlu dibentuk dan titah yang baharu disediakan. Seluruh jadual Parlimen akan terganggu. Apa manfaatnya?

Kalau alasan Parlimen sekarang tidak boleh bersidang atas syor Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, siapa yang boleh jamin beliau tidak akan menutup Parlimen lagi apabila tiba masa undi tak percaya?

Besar hati saya sebagai rakyat jika Muhyiddin diberkati dengan kebijaksanaan dan keberanian yang lebih besar untuk membentangkan undi percaya minggu depan.

Datang merantau dari Sandakan,



Mencari rezeki di pekan Rasah,

Undi percaya mohon disegerakan,

Kurang drama kalau kerajaan absah.

*Prof Wong Chin Huat ([email protected]) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.



Undi percaya mesti disegerakan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Idris sokong kerajaan PN bawah Muhyiddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker