Idris sokong kerajaan PN bawah Muhyiddin

Sebaran :

Idris sokong kerajaan PN bawah Muhyiddin

Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, memutuskan pendirian untuk menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Idris yang juga Pengerusi FELDA berkata, keputusan itu dibuat demi kebaikan rakyat yang kini terkesan akibat pandemik COVID-19.

Selain itu, beliau berkata, Muhyiddin banyak membantu warga FELDA, termasuk kerajaan meluluskan penerbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion dan penghapusan hutang berjumlah RM8.3 bilion.

“Ketika rakyat sengsara dengan isu COVID-19, sebolehnya kita jangan sangat berpolitik. Kita wajib menumpukan masa untuk membantu rakyat, mempertingkat vaksinasi dan memulihkan ekonomi.

“Jangan kita menafikan Muhyiddin telah banyak membantu UMNO. Dahulu bawah Pakatan Harapan (PH), UMNO adalah pembangkang. Sekarang, kita berada bersama-sama dalam kerajaan.

“Pemimpin UMNO sudah diberi pengiktirafan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dilantik menteri kanan dalam kerajaan.

“Kebolehan pemimpin UMNO inilah menyebabkan ramai ahli UMNO bersyukur dan turut sama dibantu kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang sebulat suara menarik balik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat, selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Mengulas lanjut mengenai situasi semasa UMNO, Idris berkata, Ahmad Zahid sebelum ini pernah menyatakan bahawa Ahli Parlimen UMNO bebas membuat pilihan untuk menyokong siapa di Dewan Rakyat.

Beliau sekali gus mempersoalkan hala tuju parti yang hendak dibawa Presiden UMNO selepas penarikan balik sokongan kepada kerajaan PN dan Muhyiddin, ketika kesihatan rakyat masih masih terancam dengan penularan wabak.

“Kita perlu lebih berhati-hati dalam membuat keputusan demi kelangsungan masa depan UMNO.

“Saya berpendapat masa depan UMNO akan menjadi lebih baik jika kita bersama-sama kerajaan sekarang bawah kepimpinan Muhyiddin. Kerajaan ini tidak maksum tetapi bagi mengelakkan mudarat lebih besar, ia adalah pilihan lebih baik.

“Saya menyeru agar kita dapat meningkatkan solidariti dalam kalangan ahli UMNO. Saya sayangkan UMNO; dulu, kini dan selamanya.

“Insya-Allah, semoga kita akan diberikan petunjuk dan diberkati Allah SWT. Insya-Allah, kita akan berjaya,” katanya. BH

Idris sokong kerajaan PN bawah Muhyiddin


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Terpulang kalau nak tenggelam bersama Muhyiddin


Sebaran :

Leave a Reply