Ini penjelasan salah faham pembatalan ordinan darurat – Bekas Ketua Hakim Negara

MENGIKUT Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, ada tiga cara ordinan-ordinan yang dimasyhurkan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Yang  di-Pertuan Agong) pada  masa  proklamasi  darurat  sedang berkuat kuasa, akan terhenti berkuat  kuasa:

1.Apabila ia dibatalkan (revoked)di bawah Fasal (3).

2.Apabila ia diungkaikan (annulled) di bawah Fasal (3);

3.Apabila ia luput (lapses) di bawah Fasal (7).

Pembatalan dilaksanakan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Kabinet. Acaranya samalah seperti sesuatu ordinan itu dibuat, iaitu Kabinet memutuskan untuk mengadakan ordinan itu dan menyembahnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan dan pemasyhuran Baginda. Apabila Baginda memberi perkenan dan memasyhurkannya, maka berkuatkuasalah ordinan itu. Dalam hal ini Baginda bertindak atas nasihat Kabinet. Nasihat itu mestilah diikuti. Itu sistem Raja berperlembagaan.

Demikian jugalah dengan pembatalannya. Kabinet membuat keputusan untuk membatal sesuatu ordinan pada tarikh tertentu dan menyembahnya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan Baginda. Ordinan itu dibuat dengan perkenan Baginda, maka tentulah untuk membatalnya perkenan Baginda juga diperlukan. Takkanlah pada masa hendak membuatnya perkenan Baginda dipohon, apabila hendak dibatalkannya Baginda dikebelakangkan. Akibatnya, Baginda tidak tahu bahawa ordinan-ordinan yang dimasyhurkan Baginda telah pun dibatalkan.

Ungkaian dilakukan oleh kedua-dua Majlis Parlimen, iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ordinan berkenaan dibentang, dibahas dan diungkai oleh kedua-dua Dewan dan terungkailah ia. Perkenan Yang di-Pertuan Agong tidak diperlukan.

Sesuatu ordinan itu luput apabila habis tempoh enam bulan yang bermula dengan tarikh sesuatu Proklamasi Darurat terhenti berkuat kuasa. Dalam kata-kata lain, apabila tempoh darurat tamat, enam bulan selepas itu ordinan-ordinan yang dibuat semasa darurat itu berkuatkuasa pun luput dan tidak berkuatkuasa lagi

Ada orang menghujahkan ada satu cara lagi, iaitu menurut Klausa (4A) Perkara 66:

“(4A) Jika  sesuatu  Rang  Undang-Undang  tidak  diperkenankan oleh  Yang  di-Pertuan  Agong  dalam  masa  yang  ditentukan dalam  Fasal  (4),  Rang  Undang-Undang  itu  hendaklah  menjadi undang-undang  apabila  habis  masa  yang  ditentukan  dalam Fasal  itu  mengikut  cara  yang   sama  seolah-olah  dia  telah  memperkenankannya.”

Dengan hormat, saya berpendapat peruntukan itu tidak terpakai kepada pembatalan, pengungkaian dan luputnya ordinan-ordinan yang dibuat semasa sesuatu perisytiharan darurat berkuatkuasa. Alasan saya ialah Klausa (4A) terdapat dalam Perkara 66, mengenai “Penjalanan kuasa perundangan” (Exercise of legislative power) yang memperuntukkan bagaimana sesuatu rang undang-undang itu menjadi undang-undang. Perbincangan sekarang adalah mengenai pembatalan ordinan-ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Kabinet dalam masa deklarasi darurat berkuatkuasa. Ia terletak dalam Bab lain langsung dan dalam satu perkara khusus mengenainya.

Najib kata dikala kontena mayat hospital tak cukup PN lantik menteri lagi

Apa yang berlaku dalam hal ini? Ia menjadi lebih jelas dengan tersebarnya kenyataan media oleh Istana Negara dan Pejabat Perdana Menteri dan surat yang ditulis oleh Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri. Hal seperti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, malah, saya percaya, di negara-negara raja berperlembagaan di mana sekalipun (saya sedia dibetulkan) dan tidak sepatutnya berlaku. Tetapi, oleh sebab ia telah berlaku, biarlah kita mengambil manfaat daripadanya. Dokumen-dokumen itu memberi gambaran yang jelas tentang apa yang telah berlaku. Inilah kronologinya:

Berdasarkan titah pandangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu, Kerajaan telah memutuskan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai 2021

Pada 21 Julai 2021 Jemaah Menteri, dalam mesyuaratnya membuat keputusan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuat deklarasi darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021.

Dalam mesyuarat itu juga, Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa deklarasi darurat itu berkuatkuasa.

Pada 22 Julai 2021 Pejabat Perdana Menteri telah menerima deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara. Ordinan itu memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.

Pada 23 Julai 2021 Pejabat Perdana Menteri menyampaikan dokumen-dokumen tersebut kepada Istana Negara untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pada 24 Julai 2021 dokumen-dokumen tersebut telah disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Setelah menelitinya, Baginda menitahkan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Seri Takiyuddin Hassan (DS Takiyuddin Hassan) dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun (Peguam Negara) untuk menghadap Baginda secara maya.

Semasa sesi menghadap secara maya itu Baginda menitahkan, antara lain:

1.(Baginda) Tidak berkenan untuk menandatangani permohonan tersebut kerana ianya dilakukan secara tergesa-gesa iaitu menjelang dua hari sebelum sidang Parlimen selain akan keperluan ianya diwartakan.

2.(Baginda) Memerlukan masa untuk menganalisa permohonan tersebut secara terperinci dan seterusnya mendapatkan pandangan lanjut daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.

3.Proklamasi dan Ordinan Darurat tersebut hendaklah dibentang dan diungkalkan di Parlimen selaras dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

4.Terdapat beberapa persoalan berbangkit yang memerlukan penjelasan lanjut, khususnya berhubung tindakan undang-undang atau kompaun yang telah dikeluarkan di bawah Ordinan-Ordinan Darurat bagi tempoh 21 hingga 25 Julai 2021.

Apabila Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai 2021, semua Ordinan Darurat telah dibentang (laid) di atas meja Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah mendesak supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan-ordinan darurat tersebut. Susulan itu, DS Takiyuddin Hassan telah memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat bahawa kerajaan, iaitu Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.

Kenyataan itu telah disambut dengan bantahan daripada pihak pembangkang.

Pada 29 Julai 2021, Istana Negara mengeluarkan satu kenyataan media yang ditandatangani oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja yang, antara lain, mengatakan:

“Perkara 150(2B) dibaca dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan secara jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat terletak pada Seri Paduka Baginda.

Sehubungan dengan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa Kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada DS Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan TS Idrus Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

Wan Faysal kata Syed Saddiq berbohong ‘budak tak habis belajar diberi amanah’

Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Seri Paduka Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Baginda, selaku Ketua Utama Negara, mempunyai kewajipan untuk menyampaikan nasihat dan teguran jika berlaku sebarang tindakan yang tidak berperlembagaan oleh mana-mana pihak, khususnya mereka yang melaksanakan fungsi dan kuasa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.”

Pada hari yang sama, Yang di-Pertuan Agong menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri. Dalam surat itu Baginda membawa perhatian Perdana Menteri kepada kenyataan DS Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021 bahawa Kerajaan telah membatalkan kesemua ordinan-ordinan darurat itu.

Seterusnya, Baginda telah menyatakan apa yang telah berlaku pada 23 dan 24 Julai 2021 yang telah diperturunkan di atas diikuti dengan empat perkara yang Baginda titah dalam majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 itu yang juga telah diperturunkan di atas.

Baginda menyatakan Baginda berasa amat dukacita cadangan Baginda bahawa pembatalan ordinan-ordinan tersebut dibentang dan dibahaskan di Parlimen telah tidak dituruti.

Baginda menyatakan bahawa DS Takiyuddin Hassan telah memberi kenyataan yang bercanggah dan tidak tepat di Dewan Rakyat pada 26 Julai 2021 dan kenyataan itu telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Baginda menarik perhatian Perdana Menteri bahawa Baginda sedia maklum akan perlunya Baginda bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Walau bagaimanapun, keputusan muktamad berhubung pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut pada hemat Beta sewajarnya mengambil kira akan situasi-situasi semasa seperti berikut:

Cadangan pembatalan ini telah disembah lewat kepada Beta iaitu pada 24 Julai 2021. Tambahan pula, ianya terlalu hampir dengan tarikh persidangan Parlimen yang telah semua sedia maklum bakal bermula pada 26 Julai 2021.

Sebarang pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat yang dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak dibentangkan di Parlimen akan hanya menzahirkan impak negatif kepada Beta.

Pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini dilakukan dengan membelakangi fungsi dan kuasa Beta selaku Ketua Negara seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tarikh kuatkuasa pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat telah dikebelakangkan atau retrospective dengan berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 manakala permohonan diterima pada 23 Julai 2021.

Pembatalan Ordinan Darurat adalah merupakan kuasa perlembagaan Beta dan bukannya terletak di atas kuasa Jemaah Menteri semata-mata.

Berdasarkan huraian-huraian di atas dan sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung, Beta menitahkan agar cadangan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat ini dibentang dan dibahaskan di Parlimen sebelum ditandatangani oleh Beta.”

Ahli-Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang DS Anwar Ibrahim, Tun Dr. Mahathir, DS Zahid Hamidi, Presiden UMNO melompat dan menyerang DS Takiyuddin Hassan, Perdana Menteri dan Kerajaan PN. Mereka menuduh DS Takiyuddin Hassan mengelirukan dan berbohong kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat, menuntut DS Takiyuddin Hassan, Perdana Menteri, dan semua Ahli-Ahli Jemaah Menteri meletak jawatan. Ada yang melaung “menghina” dan “derhaka” dalam Dewan Rakyat.

Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan. Beliau mengatakan bahawa kenyataan Yang di-Pertuan Agong itu menunjukkan bahawa TS Muhyiddin telah berbohong kepada Parlimen berkenaan pembatalan ordinan-ordinan darurat; TS Muhyiddin patut tahu bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk membatalnya sendiri, namun kenyataan dibuat dalam Parlimen seolah-olah beliau mempunyai kuasa sedangkan kuasa mengenainya terletak dalam tangan Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya semasa darurat; walaupun kenyataan itu dibuat oleh DS Takiyuddin Hassan, TS Muhyiddin tidak boleh melepaskan dirinya daripada bertanggungjawab mengenainya; TS Muhyiddin tidak mencuba untuk membetulkan DS Takiyuddin Hassan semasa membuat kenyataan itu atau menahannya walaupun beliau duduk betul-betul di hadapan DS Takiyuddin Hassan dalam Dewan Rakyat dan beliau tidak pula membuat apa-apa penjelasan selepas itu; TS Muhyiddin dan Ahli-Ahli  Jemaah Menteri bertanggungjawab di atas perbuatan yang memalukan itu dan kesemua mereka hendaklah meletak jawatan.

Pada hari yang sama (29 Julai 2021) Pejabat Perdana Menteri pula mengeluarkan kenyataan media. Kenyataan media itu menurunkan kronologi peristiwa daripada 21 Julai 2021 hingga 26 Julai 2021 yang saya telah perturunkan di atas.

Kenyataan itu menekankan bahawa ordinan-ordinan itu boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri tanpa perlu diungkai oleh Parliman dan apa yang telah dilakukan oleh Jemaah Menteri itu adalah betul di sisi undang-undang. Kenyataan itu juga menekankan bahawa dalam hal ini Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat dan memetik Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan.

Pada 30 Julai 2021, Setiausaha Dewan Rakyat mengeluarkan kenyataan bahawa persidangan Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2021, iaitu persidangan hari terakhir dan pada hari itu DS Takiyuddin Hassan dijadualkan memberi penjelasan mengenai kenyataannya pada 26 Julai 2021, telah ditangguhkan.

Pada 3 Ogos 2021, TS Muhyiddin mengeluarkan satu kenyataan mengatakan bahawa “proses pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang disembah nasihat oleh Jemaah Menteri pada 23 Julai 2021 tidak dapat disempurnakan.

Dengan berakhirnya Proklamasi Darurat pada 1 Ogos 2021, berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, pembatalan ordinan-ordinan darurat oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak lagi berbangkit .

Maka, selaras dengan titah pandangan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan peruntukan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada bulan September 2021.”

Sekarang mari kita lihat semula kronologi peristiwa yang berlaku dan menganalisisnya satu per satu semata-mata dari perspektif undang-undang dan tiada yang lain. Kita mula dari 21 Julai 2021. Setelah bersetuju dangan saranan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu (di sisi undang-undang Raja-Raja Melayu tiada peranan dalam hal ini), Kerajaan menetapkan tarikh persidangan Dewan Rakyat.

Maka, di mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 Julai 2021, Jemaah Menteri membuat keputusan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membuat deklarasi darurat baharu setelah darurat sedia ada tamat pada 1 Ogos 2021. Tiada masalah di sini. Ertinya darurat akan berakhir pada 1 Ogos 2021.

Apa yang dilakukan kepada ordinan-ordinan yang dibuat dan berkuatkuasa semasa darurat?

Ambil perhatian peruntukan Perkara 150( 3):

“(3)  Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah  Fasal (2B) hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen  dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa  jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan  Proklamasi atau ordinan itu…..”

Ordinan-ordinan itu hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen. Ini dilakukan pada hari pertama Dewan Rakyat bersidang, di Dewan Rakyat. Kehendak itu dipatuhi.

Jika ia terlebih dahulu dibatalkan, maka ia telah terhenti berkuatkuasa. Itulah yang hendak dilakukan oleh Jemaah Menteri pada 21 Julai 2021.

Ingat semula bahawa satu daripada cara ordinan-ordinan itu boleh diberhentikan daripada berkuatkuasa ialah apabila ia dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Jemaah Menteri. Ia perlu dilakukan sebelum Parlimen bersidang. Itulah yang dilakukan oleh Jemaah Menteri dengan membuat keputusan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa perisytiharan darurat itu berkuatkuasa.

Pada 23 Julai 2021 deraf Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 yang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara dihantar ke Istana Negara untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Itu adalah acaranya. Ia telah dilakukan dengan betul.

Esoknya, pada 24 Julai 2021, Yang di-Pertuan Agong menerima dokumen tersebut. Jemaah Menteri, memahami bahawa Yang di Pertuan Agong akan bertindak atas nasihat, mengharapkan Baginda akan bertindak atas nasihat seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan dan memberi perkenan pada 24 atau 25 Julai 2021, iaitu sebelum Dewan Rakyat bersidang pada 26  Julai 2021. Jika itu dilakukan, tiada masalah akan timbul.

Masalah timbul apabila Yang di Pertuan Agong, sambil mengakui bahawa Baginda perlu bertindak atas nasihat menurut Perkara 40(1) (tetapi tidak menyebut Klausa (1A)), Baginda percaya bahawa Baginda mempunyai hak untuk menganalisis dan berunding dengan Raja-Raja Melayu (dan juga, saya percaya, dengan penasihat undang-undang Baginda), maka masa yang diberi kepada Baginda tidak mencukupi. Maka Baginda enggan menurunkan tandatangan untuk memberi perkenan Baginda. Ini berlarutan hingga ke 26 Julai 2021, hari Dewan Rakyat mula bersidang malah hingga hari saya mengeluarkan rencana ini (5 Ogos 2021). Maka tergantunglah pembatalan ordinan-ordinan itu.

Dari sini kita dapat lihat bahawa masalah ini timbul daripada salah faham mengenai maksud bertindak atas nasihat. Maka, kita perlu beri tumpuan kepada persoalan itu sekarang. Tetapi, saya perlu peringatkan lagi sekali bahawa perbincangan ini semata-mata berbincang mengenai tafsiran peruntukan Perlembagaan yang sedia ada dan bukan apa-apa selain daripada itu.

Dalam hal ini, kita perlu kembali kepada Perkara 40(1) dan (1A):

“Perkara 40 – Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat.

(1) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seseorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya oleh Perlembagaan ini; tetapi Yang di-Pertuan Agong berhak,  atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.

(1A) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini atau undang-undang persekutuan, jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.”

Ringkanya, Perkara 40(1) mengatakan, selain daripada perkara-perkara yang Yang di- Pertuan Agong mempunyai budibicara (memberi perkenan untuk membatalkan ordinan darurat bukanlah satu daripadanya), Baginda hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri. Pelajar-pelajar undang-undang perlembagaan tahu bahawa peruntukan itu diambil daripada sistem raja berperlembagaan United Kingdom. Walaupun perkataaan nasihat (advice) digunakan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah mematuhinya dan  melaksanakannya. (Takkanlah hendak digunakan perkataan “atas arahan” (as directed”) atau “atas perintah” (as ordered) oleh Jemaah Menteri terhadap Yang di-Pertuan Agong), Tetapi, Baginda “berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.”

Perhatikan,  sebelum berkenan, Baginda cuma berhak  mendapat maklumat, itu pun mengenai dengan pemerintahan Persekutuan dan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri. Ertinya maklumat-maklumat hendaklah diminta daripada Jemaah Menteri. Itu sahaja. Jika itu yang dipohon, saya percaya Jemaah Menteri dapat memberinya. Jika Jemaah Menteri tidak boleh mendapatinya, maka Baginda kenalah memberi perkenan Baginda. Itu acara yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Jika ia difahami dan diikuti, Klausa (1A) tidak perlu ditambah.

Tetapi, dalam tahun 1994, kerajaan pada masa itu mendapati Klausa (1) sahaja tidak memadai untuk difahami maksud yang sebenar. Maka pindaan dibuat kepada Perkara 40 dengan memasukkan Klausa (1A). Pindaan ini dibuat bersama-sama dengan pindaan kepada Perkara 66 yang disebut di atas. Pindaan ini dibuat semasa Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Di Parlimen, entah mengapa, cadangan dibuat oleh DS Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri pada masa itu.

Ucapan DS Anwar, seperti yang dilaporkan dalam Hansard, menjelaskan mengapa  pindaan kepada Perkara 40 itu dibuat. Antara lain katanya:

“Pindaan ini akan menjelaskan maksud sebenar nasihat, ungkapan dengan izin, act in accordance with advice, supaya tidak ada lagi kesamaran terhadap prinsip demokrasi berparlimen dan prinsip bahawa Kerajaan perlu bertindak mengikut kehendak rakyat.”

Kata-kata “Kerajaan perlu bertindak mengikut kehendak rakyat” dalam konteks ayat ini adalah tidak berkenaan. Beliau sepatutnya berkata “Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut kehendak Jemaah Menteri.” Jika Tun Dr. Mahathir mengelak daripada mencadangkan pindaan itu di dalam Parlimen dan menggunakan DS Anwar untuk melakukannya, mungkinkah DS Anwar juga merasa seram untuk menyebut kata-kata yang saya sebut itu, dan melindungkannya dengan kata-kata “Kerajaan perlu bertindak mengikut kehendak rakyat” yang tidak berkenaan itu.

Kedua-dua Tun Dr. Mahathir dan DS Anwar Ibrahim masih ada dalam Parlimen dan duduk di sebelah yang sama. Kita boleh bertanya mereka apakah yang menyebabkan pindaan itu dibuat dan apakah maksud yang mereka  mahu sebenarnya. Kita juga masih boleh bertanya kepada TS Abu Talib Othman, Peguam Negara pada masa itu yang menggubal rang undang-undang pindaan itu. Kita juga boleh bertanya Tengku Razaleigh Hamzah yang menentang keras pindaan itu mengapa beliau berbuat demikian. Kita juga boleh baca dalam Hansard.

Perlu juga diingati, pada masa itu Yang di-Pertuan Agong adalah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuff Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah, mantan Ketua Hakim Negara. Baginda semestinya faham apa ertinya kata-kata “atas nasihat” dalam undang-undang. Klausa (1A) tidak perlu dimasukkan jika orang-orang seperti Baginda yang menjadi Yang di-Pertuan Agong sepanjang masa. Setakat yang kita tahu, Baginda tidak menentang atau enggan memberi perkenan kepada pindaan ini. Ini bererti Baginda sendiri menyedari, dalam konteks Malaysia, penjelasan seperti itu adalah perlu.

Tetapi, Baginda telah mangkat dan tidak boleh memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong yang sedia ada dan memberi pencerahan kepada kita semua.

Walau bagaimana pun, Tun Dr. Mahathir dan DS Anwar Ibrahim masih ada. Mereka sepatutnya tampil ke hadapan dan menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat dan apa maksudnya “atas nasihat” mengikut pindaan yang dimasukkan oleh mereka. Masalah akan selesai di situ.

Tetapi, oleh sebab mereka berada di pihak pembangkang dan politik lebih penting kepada mereka, mereka mengambil kesempatan untuk mengkritik Kerajaan, menggunakan kenyataan Istana Negara yang berbangkit dari salah faham atau salah nasihat itu untuk mendesak Perdana Menteri dan Jemaah Menteri meletak jawatan. Nampaknya, dalam politik, kuasa lebih penting daripada kebenaran.

Tidak cukup dengan itu, pada hari saya menulis ayat inI (2 Ogos 2021) semasa beliau sedang menunjuk perasaan di bangunan Parlimen kerana persidangan ditangguh, saya menerima berita bahawa beliau kesal membuat pindaan itu. Nampaknya, apabila berada di pihak pembangkang, satu demi satu beliau menyesal apa yang telah dilakukannya semasa menjadi Perdana Menteri. Bagaimana jika beliau menjadi Perdana Menteri semula?

Pada pagi 5 Ogos 2021, semasa saya menyemak rencana ini sebelum diterbitkan, keluar pula berita bahawa Tun Dr. Mahathir meminta maaf atas kesilapannya menyertai tunjuk perasaan itu. Nampaknya, atas pengakuan beliau sendiri pun (termasuk pendakwaan DS Anwar dalam kes liwat pertama) beliau telah membuat terlalu banyak kesilapan.

Biar apa pun, hakikat bahawa beliau menyesal membuat pindaan itu tidak bererti pindaan itu sudah tidak berkuatkuasa lagi. Peruntukan itu masih ada, masih berkuatkuasa dan kesan mestilah diberi kepadanya. Untuk mentafsir peruntukan Perlembagaan, kita tidak perlu bertanya sesiapa. Kita  hanya perlu melihat perkataan yang digunakan.

Maka marilah kita lihat apa yang dikatakan oleh Klausa (1A) itu:

“jika Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat, atas nasihat, atau selepas menimbangkan nasihat, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu.

Tidak ada perkataan yang lebih jelas dari itu: apabila dinasihatkan berbuat sesuatu, buat. Apa yang saya katakan ini hanya berkenaan perkara yang Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat sahaja. Siapa yang tidak suka, marahlah Tun Dr Mahathir dan DS Anwar Ibrahim yang memasukkan Klausa (1A) itu. Tetapi, sama ada ia dimasukkan atau tidak, itulah maksudnya.

Suka atau tidak, selagi peruntukan-peruntukan itu ada, ia mesti dipatuhi. Penasihat-penasihat undang-undang peribadi Yang di-Pertuan Agong dan ahli-ahli akademik tidak sepatutnya membuat tafsiran dengan menambah apa yang mereka fikir patut ada (what they think it should be). Ia hendaklah ditafsir berdasarkan peruntukan yang ada (as it is). Jika mereka mahukan apa yang mereka mahu, pindalah Perlembagaan terlebih dahulu.

Peruntukan umum seperti Perkara 32 (Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara bagi Persekutuan) dan Perkara 39 (Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong) tidak boleh digunakan untuk menambah atau mengurangkan apa yang disebut dengan khusus oleh Perkara 40(1) dan (1A). Juga dalam tafsiran Perkara 40(1) dan (1A), tidak ada ruang untuk membawa masuk konsep Raja Payung Negara atau derhaka.

Dalam hal ini, Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja tidak memberi perkenan Baginda untuk membatalkan ordinan-ordinan itu, seterusnya, pada 24 Julai 2021 Baginda menitahkan kepada DS Takiyuddin dan Peguam Negara bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat hendaklah dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan. Dalam kenyataan media 29 Julai 2021, Baginda menyatakan dukacita Baginda kerana titah Baginda telah tidak dilaksanakan.

Dengan penuh taat setia kepada Baginda dan dengan penuh hormat kepada semua, itu bukanlah salah satu perkara yang disebut oleh Perkara 40(1). Perkara 40(1) Baginda hanya “berhak, atas permintaannya, untuk mendapat apa-apa maklumat berkenaan dengan pemerintahan Persekutuan yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri.”

Lagi pula, jika Baginda dikehendaki memberi perkenan apabila dinasihatkan tertakluk kepada hak untuk meminta maklumat di bawah Perkara 40(1), Baginda membalasnya dengan titah supaya ordinan-ordinan itu dibentang dan dibahaskan di Parlimen, ia bererti, pertama, Baginda telah tidak mematuhi peruntukan Perkara 40(1) dan (1A) untuk memberi perkenan.

Kedua, Baginda telah menolak satu cara yang dibenarkan oleh Perkara 150(3) untuk menamatkan kuatkuasa ordinan-ordinan itu iaitu membatalnya sebelum Parlimen bersidang.

Ketiga, tanpa diberi kuasa oleh mana-mana peruntukan, Baginda telah menitahkan ia dibentang dan dibahaskan di Parlimen dan menghendakinya dilaksanakan.

Keempat, jika nasihat Jemaah Menteri perlu diikuti oleh Baginda dan titah Baginda yang bercanggah juga perlu diikuti oleh Jemaah Menteri, bagaimana percanggahan itu boleh diselesaikan?

Kelima, manakala Perlembagaan menyebut Baginda perlu bertindak atas nasihat Jemaah Menteri, tidak disebuat di mana-mana dalam Perlembagaan bahawa Jemaah Menteri perlu bertindak atas nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Baginda juga melahirkan dukacita bahawa tidak diberikan masa yang secukupnya untuk menganalisis cadangan itu (tentulah dengan penasihat-penasihat Baginda) dan berunding dengan Raja-Raja Melayu. Dengan penuh taat setia saya katakan kedua-dua perkara itu bukanlah yang disebut dalam Perkara 40(1) dan (1A) sebagai hak Baginda.  Baginda boleh melakukannya tetapi ia tidak boleh menjadi alasan untuk tidak memberi perkenan kerana tidak sempat berbuat demikian kerana itu bukanlah hak yang diberikan kepada Baginda oleh Perlembagaan.

Jika Baginda mematuhi Perkara 40(1) dan (1A), dengan penuh taat setia, pada pandangan saya, Baginda mempunyai masa yang cukup untuk memberi perkenan sebelum 26 Julai 2021 dan tiada apa-apa masalah akan timbul.

Soal tarikh berkuatkuasa dikebelakangkan kepada 21 Julai 2021 tidak menimbulkan apa-apa masalah. Ia perkara biasa. Jika Baginda mahu ia berkuatkuasa pada hari Baginda memberi perkenan pun, katakanlah pada 25 Julai 2021, walau pun Jemaah Menteri tidak perlu bersetuju, saya fikir ia tidak menjadi masalah kepada Jemaah Menteri untuk menyetujuinya, kerana Ordinan Darurat (Pembatalan) 2021 itu masih sah kerana ia dibuat  sebelum Parlimen bersidang.

Sampai pagi 26 Julai 2021, ordinan-ordinan itu masih belum diperkenankan untuk dibatalkan. Maka ia masih belum dibatalkan dan masih berkuatkuasa.

Apabila Dewan Rakyat bersidang pada 26 Julai 2021, semua ordinan itu dibentangkan (laid) di dewan itu seperti yang dikehendaki oleh Perkara 150(3) tetapi bukan untuk dibahaskan.

Didesak oleh pembangkang, DS Takiyuddin berkata “Jemaah Menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.”

Kenyataan ini telah difahami sebagai Jemaah Menteri telah membatalkan ordinan-ordinan itu. Maka riuh rendahlah Dewan Rakyat. Pembangkang, termasuk Ketua Pembangkang, DS Anwar Ibrahim dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir mempersoalkan kuasa Jemaah Menteri untuk membatal ordinan-ordinan itu. Mereka menggunakan isu itu untuk mendesak Perdana Menteri dan Jemaah Menteri meletak jawatan.

Mari kita perhati dengan teliti di mana kesilapan DS Takiyuddin Hassan?  Beliau hanya tertinggal lima perkataan “untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong”. Itu sahaja. Dalam keadaan terdesak itu beliau boleh dimaafkan. Malangnya, dalam keadaan riuh rendah yang berikut itu, beliau tidak teringat untuk membetulkan kesilapannya dan tiada siapa pun, termasuk Perdana Menteri, yang duduk di hadapan beliau teringat untuk membantu beliau dengan membetulkan kesilapannya itu.

Apatah lagi, media, terutama sekali yang pro-pembangkang, dan pembangkang yang hanya menunggu peluang untuk mengambil alih kuasa, membesar-besarkan kenyataan DS Takiyuddin Hassan itu untuk faedah mereka.

Maka, setiap hari selepas itu, kenyataan itulah yang menjadi tumpuan. Lebih memburukkan keadaan, pada 29 Julai 2021 Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan media dan Yang di-Pertuan Agong pula menulis surat kepada TS Muhyiddin yang kandungan kedua-duanya telah saya perturunkan di atas.

Kita tidak tahu siapakah yang menasihatkan dan menggubal dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh Istana Negara itu yang telah membelakangkan sama sekali peruntukan-peruntukan  Perlembagaan yang saya telah bincang di atas. Tidak kira siapa mereka dan apa tujuan mereka, mereka telah melakukan satu disservice kepada Yang di-Pertuan Agong, sistem raja berperlembagaan dan negara. Yang untung adalah pembangkang dan mungkin mereka sendiri.

Sebenarnya, kesilapan DS Takiyuddin itu adalah satu kesilapan yang sangat kecil. Malangnya sehingga Parlimen ditangguhkan ia tidak dibetulkan. Beliau boleh meminta maaf kepada Ahli-Ahli Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau telah tersilap cakap. Maksud beliau sebenarnya ialah “Jemaah Menteri memutuskan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa perisytiharan darurat itu berkuatkuasa.”

Mengenai ordinan-ordinan itu, biar siapa pun yang betul, ordinan-ordinan itu masih belum dibatalkan dan Parlimen telah pun ditangguh.

Tetapi, pada 3 Ogos 2021 TS Muhyiddin telah mengeluarkan kenyataan bahawa “suatu usul untuk membahas dan seterusnya mengungkaikan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibawa dalam sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada bulan September 2021.”

Itulah yang saya hendak cadangkan pun. Masalah akan selesai.

Kesimpulan

Adalah amat mendukacitakan bahawa semasa negara sedang menghadapi pandemik Covid-19 yang amat teruk dan segala usaha sepatutnya ditumpukan untuk menangani masalah itu, kita berbalah mengenai acara menamatkan kuatkuasa ordinan-ordinan darurat. Tiada siapa sukakan deklarasi darurat. Tiada siapa membantah ordinan-ordinan darurat hendak ditamatkan kuatkuasanya. Tetapi kita berbalah bagaimana penamatan kuatkuasa ordinan-ordinan itu hendak dilakukan hingga hendak menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Kesilapan Menteri yang begitu kecil dalam penjelasannya dalam Dewan Rakyat diperbesar-besarkan sedangkan kegagalan mematuhi peruntukan Perlembagaan yang jelas tidak diberi perhatian.

Apa yang menjadi tumpuan pembangkang sekarang, disokong pula oleh UMNO kumpulan DS Zahid Hamidi dan DS Najib dan penyokong-penyokong mereka ialah bagaimana hendak menjatuhkan Kerajaan. Pemimpin-pemimpin DAP sudah nampak peluang baru untuk berkuasa semula dan mula membuat tuntutan. Pemuda MCA tidak mahu ketinggalan dan turut serta. Pakatan Harapan hendak berkuasa semula.

Jika Kerajaan tumbang kerananya, ini akan menjadi satu misalan dalam sejarah negara raja berperlembagaan di mana, sebuah kerajaan telah diguling kerana melakukan suatu perkara yang betul mengikut Perlembagaan tetapi menterinya tertinggal lima perkataan semasa memberi penjelasan di dalam Parlimen, manakala raja berperlembagaan tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan mengenai bertindak atas nasihat dan pembangkang mengambil kesempatan menumbangkan kerajaan dan berkuasa semula!

Saya sedar, saya mungkin dituduh “menghina” atau “menderhaka kepada” Yang di-Pertuan Agong lagi. Tetapi, ini adalah isu tafsiran Perlembagaan. Soal menghina dan derhaka tidak timbul. Jika tidak besetuju, kemukakanlah hujah-hujah yang lebih baik dan saya akan bersetuju dengannya.

Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara.

 


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Nazri mahu Zahid dikenakan tindakan disiplin dan letak jawatan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker