Agong boleh perkenan kerajaan minoriti – Faizal

Agong boleh perkenan kerajaan minoriti – Faizal

Penubuhan kerajaan minoriti boleh dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong sekiranya tiada Ahli Parlimen memperoleh sokongan majoriti, kata Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata ini susulan pengesahan tandatangan surat akuan berkanun 11 Ahli Parlimen Umno sudah dipersembahkan Presidennya Ahmad Zahid Hamidi kepada Seri Paduka Baginda, yang secara teorinya membolehkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) jatuh.

Jelas beliau, penubuhan sebuah kerajaan minoriti bukan suatu perkara janggal dengan seseorang Ahli Parlimen yang mempunyai jumlah sokongan terbanyak meskipun tidak capai sokongan majoriti, boleh dipertimbangkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri baharu.

“Bila Ahmad Zahid kata sudah persembahkan SD Ahli Parlimen mencukupi kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menjatuhkan kerajaan PN, berdasarkan kehadiran 10 Ahli Parlimen lain yang berdiri bersama beliau, kita sudah nampak yang kerajaan PN boleh jatuh dengan angka itu.

“Cuma sekarang ke mana arahnya Ahli-ahli Parlimen Umno yang tidak lagi menyokong PN ini? Kalau sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri baharu berpecah-pecah, jadi kemungkinan tiada pihak mempunyai jumlah majoriti sokongan Ahli Parlimen yang jelas.

“Dalam soal sekarang, kemungkinan akan berlaku parlimen tergantung kerana ketiadaan parti yang memiliki sokongan majoriti. Ada kaedah-kaedah lain yang boleh dibuat bagi menubuhkan kerajaan baharu, salah satunya menerusi kaedah kerajaan minoriti,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas status Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika ini susulan keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memuktamadkan pendirian menarik balik sokongan terhadap kerajaan PN.

Presiden Umno pada sidang media selepas mesyuarat MKT mengumumkan bahawa SD Ahli-ahli Parlimen Umno yang mencukupi angka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Senarai 11 Ahli Parlimen Umno yang disahkan menarik sokongan daripada kerajaan PN adalah diketuai Ahmad Zahid sendiri selaku Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Beliau diikuti Najib Tun Razak (Pekan); Azalina Othman Said (Pengerang); Mohd Nizar Zakaria (Parit); Azeez Abdul Rahim (Baling); Noh Omar (Tanjung Karang); Ahmad Nazlan Idris (Jerantut); Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Ahmad Maslan (Pontian) dan Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands).

Keputusan itu, dakwa Ahmad Zahid sudah menunjukkan kepemimpinan Muhyiddin hilang majoriti dan keabsahan selaku ketua kerajaan.

Sementara itu, Ahmad Faizal menegaskan kaedah penubuhan kerajaan minoriti tidak boleh disamakan dengan kerajaan interim yang lebih bersifat sementara dan ditubuhkan atas tujuan persediaan bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) baharu.

“Bahkan sekiranya Muhyiddin mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen terbanyak meskipun tidak capai majoriti, maka kerajaan minoriti itu tidak semestinya masih kekal dipanggil kerajaan PN.

“Segala terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan kaedah terbaik untuk menubuhkan kerajaan baharu sekiranya tiada pihak mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen kelak,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Perak itu mengakui terkejut dan kecewa dengan keputusan terkini Umno itu.

Tambah beliau, sepatutnya pucuk kepemimpinan Umno meletakkan kepentingan negara mendahului politik kepartian pada saat krisis pandemik Covid-19 masih lagi memuncak.

“Bila keadaan sebegini berlaku, keputusan Umno itu meletakkan negara dalam situasi kacau bilau politik, lebih-lebih lagi pada saat masih ramai rakyat menderita akibat pandemik.

“Saya berpandangan Umno sepatutnya bersikap lebih bertanggungjawab dengan cenderung tidak mencetuskan ketidakstabilan politik pada saat genting ketika ini.

“Implikasi paling teruk akan dirasai rakyat memandangkan mereka akan menjadi lebih susah, terutama pada saat pandemik Covid-19,” katanya. FMT

Agong boleh perkenan kerajaan minoriti – Faizal


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Nak Cucuk Vaksin Ke Nak Tayang Body? [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker