Muhyiddin perlu mengadap Agong jernihkan keadaan
Muhyiddin perlu mengadap Agong jernihkan keadaan. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung soal pembatalan semua Ordinan Darurat yang mengundang rasa dukacita Seri Paduka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rusdi Omar berkata, kerajaan dilihat telah tersilap langkah apabila membatalkan ordinan dan darurat tanpa dibentang dan dibahas di Parlimen.
Namun, katanya, belum terlewat ordinan darurat berkenaan dibentang dan dibahas seterusnya melalui proses pengundian dalam tempoh persidangan Parlimen ketika ini.
“Kerajaan tidak perlu takut untuk melalui proses pengundian kerana adalah mustahil pembangkang tidak mahu darurat ditamatkan dan mereka sudah pasti akan menyokong.
“Apa yang terbaik, adalah ikut titah Yang di-Pertuan Agong bentang dan bahas pembatalan darurat itu di Parlimen. Malah, bagi menjernihkan keadaan adalah lebih baik Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memberi penjelasan,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, kerajaan Perikatan Nasional (PN) goyah selepas Yang di-Pertuan Agong, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan.
Kegagalan kerajaan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong ketika membatalkan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu mengundang krisis yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Negara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ini kali pertama dalam sejarah sistem demokrasi Raja Berperlembagaan, Yang di-Pertuan Agong menyatakan rasa amat dukacita terhadap kerajaan.
Tambah Rusdi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilihat telah melakukan kesilapan besar apabila memaklumkan di Parlimen bahawa kerajaan sudah memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat.
Katanya, apabila Yang di-Pertuan Agong sudah menzahirkan rasa dukacita, ini sekali gus memberi kesan kepada kredibiliti kerajaan PN ketika ini.
“Tidak pernah berlaku lagi situasi seperti ini (Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita terhadap kerajaan). Krisis ketika ini perlu kembali dijernihkan dengan Perdana Menteri perlu menghadap Yang di-Pertuan Agong.
“Krisis atau ketegangan politik tidak boleh dibiarkan berterusan kerana rakyat sedang berdepan dengan pelbagai masalah ekoran pandemik Covid-19 selain cabaran ekonomi ketika ini yang perlu diberikan perhatian,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Muhyiddin perlu mengadap Agong jernihkan keadaan
Baca Artikel Menarik :
- Lanjut sidang khas Parlimen, gesa Ku Li
- Jangan berhimpun atau tindakan akan diambil
- Penduduk kampung jerit minta Jokowi buka sekatan
- Muhyiddin berundurlah secara terhormat – Najib Razak
- Sajat diberi notis bankrap, gagal bayar ganti rugi
- Resepi kek coklat kukus laku keras
Layari Laman Facebook MYKMU