MCA, MIC ikrar sokong Muhyiddin
MCA, MIC ikrar sokong Muhyiddin bersama parti-parti dalam PN
MCA dan MIC menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kabinet untuk terus memimpin negara dalam mendepani pandemik Covid-19.
Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan ketua-ketua penerangan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Sebagai jentera penerangan parti-parti dalam kerajaan, kami berikrar untuk terus membantu YAB Muhyiddin dan pucuk pimpinan semua parti menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, terutama dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat,” kata mereka dalam kenyataan itu.
Bagi pihak MCA kenyataan itu ditandatangani oleh Pengerusi Biro Penerangannya, Chan Quin Er, manakala MIC ditandatangani oleh ketua penerangannya, V Gunalan.
Bagaimanapun Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan tiada dalam senarai mereka yang mengeluarkan kenyataan bersama itu.
Kenyataan bersama itu dikongsi oleh Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan turut menamakan ketua penerangan PAS, Star, Gerakan, PDP, PBS, SAPP, SUPP, PBB dan PRS.
Dalam kenyataan itu mereka menyeru seluruh lapisan masyarakat meneliti siri penjelasan yang diberikan oleh pihak kerajaan mengenai situasi terkini.
“Terlalu banyak pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk kepentingan peribadi dan untuk menyelamatkan diri, termasuklah dengan sengaja mencipta berita-berita palsu dan mengeksploitasi situasi semasa melalui media sosial.
“Rakyat mesti peka dengan gerakerja yang tidak bertanggungjawab ini, dan sentiasa merujuk kepada sumber-sumber yang sahih untuk mengetahui situasi yang sebenar,” kata mereka.
Melalui kenyataan itu juga mereka menjunjung kasih terhadap titah yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
Yang di-Pertuan Agong pada hari Khamis lalu menzahirkan kekecewaan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan kerana mengelirukan Dewan Rakyat dengan mendakwa bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan walaupun tidak mendapat perkenan baginda.
Pejabat Perdana Menteri mempertahankan keputusan itu dengan mengatakan kerajaan telah bertindak mengikut Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Agong mesti mengikut nasihat kabinet.
Susulan itu surat yang dikatakan diutuskan Yang di-Pertuan Agong kepada Muhyiddin, tular di media sosial.
Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat memastikan kesahihan surat berkenaan.
Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, memetik kenyataan rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Khamis lalu bagi meminta Muhyiddin dan kabinet meletak jawatan dengan mendakwa mereka telah menghina institusi Diraja dan melanggar Perlembagaan Persekutuan. Mk
MCA, MIC ikrar sokong Muhyiddin
Baca Artikel Menarik :
- Lanjut sidang khas Parlimen, gesa Ku Li
- Jangan berhimpun atau tindakan akan diambil
- Penduduk kampung jerit minta Jokowi buka sekatan
- Muhyiddin berundurlah secara terhormat – Najib Razak
- Sajat diberi notis bankrap, gagal bayar ganti rugi
- Resepi kek coklat kukus laku keras
Layari Laman Facebook MYKMU
You must be logged in to post a comment.