Sidang khas Dewan Rakyat satu sandiwara – Zaid
Sidang khas Dewan Rakyat satu sandiwara – Zaid
Seorang bekas menteri menyifatkan sidang khas Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sebagai “sandiwara” dan “menghina demokrasi”.
“Ini hanya menunjukkan betapa sedikitnya rasa hormat pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terhadap Parlimen dan demokrasi berparlimen,” kata Zaid Ibrahim.
Beliau pernah menjadi menteri undang-undang sebelum mengundurkan diri daripada Jemaah Menteri pada 2008 dan meninggalkan Umno tidak lama kemudian.
Di negara-negara yang mengamalkan gaya demokrasi Westminster, kata Zaid, sidang Parlimen seharusnya diisi perbahasan yang cerdas dan kukuh, disertai penglibatan aktif Perdana Menteri dalam menjawab soalan.
“Tetapi pada Isnin, setelah berbulan-bulan Parlimen ditangguhkan, Muhyiddin memberi taklimat di mana beliau mengulangi perkara-perkara yang pernah kita dengar sebelum ini dan menghilangkan diri sebelum Ahli-ahli Parlimen berpeluang mengajukan soalan kepadanya.
“Ini termasuk soalan yang paling penting, iaitu sama ada Yang di-Pertuan Agong memperkenan pembatalan Ordinan Darurat,” katanya.
Beliau berkata, “kehilangan” Muhyiddin daripada sidang Dewan Rakyat adalah “kemuncak sikap tidak bertanggungjawab”.
“Akhirnya, Menteri Kewangan yang terpaksa bersusah payah mencari jawapan. Hari yang gelap buat Malaysia apabila Perdana Menteri sendiri tidak menghormati Parlimen,” katanya.
Ramai kini bertanya, apa gunanya adakan sidang khas jika soalan-soalan penting tidak dapat dijawab, katanya.
“Jelasnya kerajaan tidak bersedia untuk perbahasan, apatah lagi untuk undian. Ini bukan saja membuang masa, malah menimbulkan persoalan mengenai keabsahan kerajaan.”
Zaid turut menzahirkan kekecewaan dengan tingkah laku Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, dengan berkata, tingkah laku sedemikian tidak wajar bagi seseorang yang terkenal dengan perjuangannya untuk demokrasi, tadbir urus baik dan kedaulatan undang-undang.
“Sekalipun beliau tidak mampu bersikap saksama, paling tidak, beliau harus menunjukkan profesionalisme.
“Beliau sepatutnya mengarahkan Perdana Menteri menjawab soalan-soalan, terutamanya mengenai pembatalan Ordinan Darurat,” kata Zaid.
Tidak hairanlah Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh bertanya kepada Azhar, sama ada beliau “dikawal kerajaan”, dan bekas menteri Rafidah Aziz menyifatkan sidang ini “tahap rendah yang baharu” dalam demokrasi berparlimen, katanya.
Beliau menggesa Umno untuk memperhatikan situasi ini dan menuntut agar ahlinya meninggalkan Jemaah Menteri.
Jika parti ini terus terkait dengan kerajaan, ia akan menanggung akibat pada pilihan raya umum akan datang, katanya.
“Berapa lama lagi menteri-menteri ini akan tetap bertahan dengan kerajaan dan mempertahankan PM? Umno mesti sedar bahawa selagi ia ada wakil dalam kerajaan, ia tidak boleh berkata ia tidak terlibat dengan apa yang berlaku sekarang,” tambahnya. FMT
Sidang khas Dewan Rakyat satu sandiwara – Zaid
Baca Artikel Menarik :
- Bekas ketua jabatan didakwa 20 pertuduhan rasuah [VIDEO]
- Sebab musang king, peniaga rugi RM414,939
- Dana politik: Kenapa perlu rahsia
- Atlet Judo Sudan Pula Tarik Diri, Enggan Berdepan Peserta Israel
- Kerusi Zahid masih diblok kerajaan, Speaker kata tiada permohonan tukar kedudukan
- Speaker jangan berselindung di belakang Peraturan Mesyuarat