Media sosial jadi pentas ‘mahkamah awam’ pertahankan diri

Media sosial jadi pentas ‘mahkamah awam’ pertahankan diri. Dewasa ini, amalan segelintir pemimpin politik menggunakan platform media sosial sebagai pentas ‘mahkamah’ alternatif bagi menjawab segala pertuduhan kes mahkamah dihadapi mereka, sudah menjadi satu trend.

Trend itu dipercayai tercetus selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14), seolah-olah sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) wajib pemimpin-pemimpin politik berkenaan – mendakwa mereka menjadi mangsa pendakwaan terpilih atau bermotifkan politik.

Menariknya, trend tersebut dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjadi pemimpin UMNO pertama berdepan pertuduhan kes mahkamah membabitkan salah guna kuasa dan penggubahan wang haram syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta SRC International Sdn Bhd bermula tahun 2018.



Meskipun Najib akhirnya disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd tahun lalu.

Namun usaha Ahli Parlimen Pekan itu membela dirinya menerusi pentas ‘mahkamah’ media sosial sebenarnya bukan sahaja mendapat sambutan tidak dijangka daripada lebih 4.5 juta pengikutnya, bahkan berjaya mempopularkan kembali dirinya dalam kalangan rakyat.

Terkini, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula tersenarai sebagai pemimpin ‘kluster mahkamah’ termuda, susulan beliau berdepan dua pertuduhan kes menyeleweng dana parti lamanya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bernilai RM1.12 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Tidak mengaku bersalah, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar turut mendakwa kes mahkamah dihadapinya ketika ini adalah disebabkan keengganan beliau akur dengan kehendak politik kerajaan Perikatan Nasional (PN).



Terdahulu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dibebaskan daripada kes terima rasuah dana politik bernilai RM2 juta pada tahun 2016, turut mendakwa beliau merupakan mangsa pendakwaan politik.

Berdasarkan polemik semasa berkaitan pemimpin-pemimpin politik ‘kluster mahkamah’ di negara ini, wajarkah mereka menggunakan pentas media sosial bagi menjustifikasi pembelaan terhadap diri mereka?

Persoalan lebih utama, adakah adil persepsi ‘pendakwaan terpilih’ dilemparkan terhadap sistem undang-undang negara pada saat pemimpin-pemimpin berkenaan boleh menggunakan sepenuhnya ruang perbicaraan mahkamah untuk membuktikan mereka tidak bersalah?

Menjawab persoalan itu, seorang pemimpin Bersatu menyifatkan mana-mana pemimpin politik termasuk Syed Saddiq, sewajarnya menggunakan segala ruang perbicaraan di mahkamah bagi membuktikan mereka tidak bersalah.



Buktikan di mahkamah

Bagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, usaha Syed Saddiq mewujudkan persepsi kononnya sistem mahkamah negara tidak adil dan dipengaruhi oleh cabang eksekutif juga diibaratkan seperti ‘meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri’.

“Kalau Syed Saddiq cuba mewujudkan persepsi sistem mahkamah negara tidak bebas, adakah sewaktu beliau menjadi menteri kerajaan PH, sistem keadilan negara ketika itu menerima campur tangan daripada cabang eksekutif?

“Apa hujah digunakan pemimpin-pemimpin politik kluster mahkamah berkenaan sekali pun, mereka tidak boleh kata sistem mahkamah tidak bebas kerana ia merupakan sistem diguna pakai sejak zaman kemerdekaan negara lagi,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.



Dr Muhammad Faiz turut berpandangan tindakan Syed Saddiq menggunakan platform media sosial bagi menyatakan hujah pembelaan diri adalah bersifat subjudis kerana segala kes pertuduhan belum dibicarakan di mahkamah lagi.

Jelasnya, sekiranya betul beliau diugut kerajaan PN, Syed Saddiq dicabar mendedahkan nama dalang mengugut atau bukti ugutan secara fizikal kepada umum melalui platform media sosial beliau atau membuat laporan polis.

Ironinya, beberapa pengamal undang-undang di negara ini pula berpandangan pemimpin politik terpalit kes mahkamah berhak untuk mempertahankan imej diri mereka menerusi platform media sosial selagi mana perbuatan itu tidak bertentangan dengan undang-undang.

Adakah kamu dikawal kerajaan, Ramkarpal soal Azhar



Hal ini disebabkan bagi individu berprofil tinggi seperti ahli-ahli politik, mereka perlu memberi kefahaman kepada masyarakat umum yang mereka tidak wajar dianggap bersalah selagi mana mereka tidak dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

“Dalam keadaan tertentu, rakyat kena berlaku adil. Meskipun kes Syed Saddiq bakal dibicarakan di mahkamah kelak, namun sebagai individu dikenali umum, beliau merasakan kewajaran untuk membersihkan namanya.

“Selalunya apabila seseorang tertuduh dihadapkan ke mahkamah, persepsi umum menganggap individu berkenaan ‘sudah bersalah’ meskipun perbicaraan belum bermula.



“Justeru, tidak salah seorang tertuduh menggunakan platform media sosial bagi memperbetulkan persepsi umum berkenaan…Lagipun sebarang hujah atau percakapan di luar mahkamah, bukan merupakan bukti yang boleh diguna pakai dalam mahkamah,” kata peguam terkemuka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Bagaimanapun, Haniff Khatri tidak menolak kemungkinan strategi Syed Saddiq yang berterusan menggunakan platform media sosial bagi membersihkan nama beliau bakal mengundang kemudaratan kepada usaha peguam untuk membelanya.

“Kalau beliau terlebih cakap, maka beliau boleh berdepan risiko terdedah kepada perbuatan menghina mahkamah (contempt of court). Kalau mahu cakap, cakaplah..tetapi jangan sampai jadi contempt of court,” katanya.

Media sosial mempertahan diri

Bagi seorang lagi pakar undang-undang, Profesor Datuk Dr Salleh Buang, tindakan Syed Saddiq menggunakan platform media sosial untuk menjustifikasikan beliau tidak bersalah, sebenarnya belum lagi dianggap perbuatan bersifat subjudis dan ‘contempt of court’.

Ujarnya, perkara itu disebabkan kes perbicaraan beliau masih belum bermula, sebaliknya tindakan pihak berkuasa memanggil sidang media bagi memaklumkan kes pertuduhan mahkamah dihadapi beliau sebenarnya yang mengundang persepsi negatif.

“Kena berlaku adil…Masyarakat umum rasa marah terhadap si tertuduh kerana beliau guna media sosial untuk pertahankan diri.

“Tetapi mengapa mereka tidak marah bila polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) canang kepada media terhadap kes mahkamah dihadapi individu-individu berprofil tinggi seperti Syed Saddiq dan Datuk Seri Najib sendiri? Bukankah itu juga merupakan satu tindakan populis?

“Bagi saya, trend pemimpin politik dakwa mereka berdepan kes pendakwaan terpilih juga adalah satu persepsi yang tidak boleh dielakkan kerajaan. Namun, kerajaan juga kena efektif untuk menerangkan mengapa pendakwaan dibuat…Tidak boleh biarkan rakyat dikelirukan dengan pelbagai persepsi dan teori konspirasi tidak benar,” katanya.

Persepsi umum penting

Sementara itu, pakar undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, bagi individu berprofil tinggi seperti ahli politik dan selebriti, usaha mempertahankan imej bersih mereka adalah lebih penting daripada usaha pembuktian kes mahkamah.

Tambah beliau, hal ini disebabkan sebarang persepsi tercetus akibat kes mahkamah dihadapi kumpulan tertuduh ini bakal memberi impak langsung terhadap karier mereka.

“Persepsi umum memang amat penting…sebab itu kalau seseorang dituduh di mahkamah, konsep keadilan sejagat (natural justice) kita kena faham berasaskan prinsip seseorang itu tidak didapati bersalah selagi mana mereka tidak dihukum bersalah oleh mahkamah.

“Selagi mana pemimpin politik tidak melanggar undang-undang, tidak beransur hasutan, tidak bersifat fitnah, mereka boleh mempertahankan diri menerusi media sosial,” katanya.

Bagaimanapun, Khairil Azmin menegaskan tertuduh yang berdepan kes mahkamah masih terdedah kepada tindakan menghina mahkamah, hanya disebabkan komen warganet di media sosial terhadap naratif pembelaan disampaikan beliau.

“Hal ini berlaku sebagaimana kes permohonan menghina mahkamah oleh Peguam Negara terhadap portal berita Malaysiakini mengenai komen pembaca yang telah disiarkan dalam portal berita itu pada Februari tahun ini.

“Justeru, pihak tertuduh perlu memastikan setiap hujah pembelaan yang disampaikan melalui media sosial masing-masing hanya merujuk perkara berkaitan dirinya semata-mata dan tidak boleh menyentuh pihak lain sehingga mengundang tindakan undang-undang,” katanya.

Media sosial jadi pentas ‘mahkamah awam’ pertahankan diri


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Darurat tak disambung, 6 ordinan dibatalkan

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker