Maksud sebenar negara gagal

Sebaran :

Maksud sebenar negara gagal . BARU-BARU ini istilah negara gagal telah dilabelkan terhadap Malaysia. Ini selepas Kolumnis Bloomberg Daniel Moss menggunakan perkataan tersebut bagi menggambarkan situasi negara yang bergelut menangani impak pandemik Covid-19.

Ramai yang telah mengulas tentangnya dan bersetuju bahawa label negara gagal Moss itu agak keterlaluan dan berniat jahat terhadap Malaysia.

Mungkin ada benarnya. Kalau Moss sekadar melihat mengibarkan bendera putih itu sebagai indikasi negara gagal, maka Malaysia sebagai sebuah negara masih belum gagal. Belum ada lagi negara yang runtuh atau berperang disebabkan rakyatnya kibarkan bendera putih. Moss juga tidak memberikan kriteria khusus bagaimana Malaysia dikatakan negara yang gagal. Indikasi yang diberikan itu bukanlah satu ukuran standard bagi menentukan sesebuah negara tergolong dalam kategori negara gagal.

Lagipun memang tiada kesepakatan umum di kalangan komuniti antarabangsa tentang definisi negara gagal. Ia juga sering dikonsepsikan mengikut perspektif Barat. Jadi kalau begitu apakah kriteria sesebuah negara yang boleh dikatakan gagal, sekurang-kurangnya di peringkat paling asas dan boleh difahami secara umum?

Untuk rekod, Indeks Negara Rapuh (Fragile States Index) menjadi rujukan utama dalam menentukan kriteria tersebut. Ia sering dipakai untuk menentukan kerentanan sesebuah negara diperingkat antarabangsa. Terdapat kriteria yang berbeza untuk menentukan hal tersebut merangkumi aspek hak asasi manusia, tekanan demografi, isu keselamatan, kestabilan politik, kesenjangan ekonomi serta tahap pendidikan.

Namun begitu, Stewart Patrick (2007) dalam sebuah jurnalnya memberikan perspektif yang mudah untuk melihat sama ada sesebuah negara itu gagal atau tidak. Kriteria ini lebih sesuai digunakan berbanding kriteria Indeks Negara Rapuh. Kita tak perlu lagi tunggu negara itu runtuh sebab perang saudara ataupun kudeta macam Somalia, Yemen atau Syria baru boleh dikatakan sebagai negara gagal, sepertimana yang ditentukan oleh Indeks Negara Rapuh.

Dalam menentukan sama ada sesebuah negara itu gagal atau tidak, Patrick hanya melihat kepada keupayaan dan keberkesanan pemerintah dalam menentukan legitimasi kerajaan. Ia diukur melalui kemampuan negara untuk menyediakan empat keperluan politik asas dalam bernegara; institusi politik (pemerintahan dan undang-undang) yang sah, stabil dan dihormati, keselamatan awam, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan sosial.

Ketua Pemuda PH kritikal akibat Covid-19

Empat elemen inilah yang menentukan kestabilan dan keabsahan sesebuah kerajaan yang memerintah. Kalau ianya gagal disediakan, maka ada kebarangkalian sesebuah negara itu menjadi negara gagal atau sekurang-kurangnya negara rapuh (fragile state).

Bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown Januari lalu juga menggunakan istilah kerajaan gagal ketika mengkritik kepimpinan Boris Johnson yang dikatakan ‘out-of-touch’ selepas kecewa dengan pendekatan berbeza elit politik London mengatasi pandemik Covid-19 di Scotland, Wales dan Ireland Utara.

Kritikan ini timbul selepas desakan bagi pungutan suara yang baharu supaya Scotland berpisah dari United Kingdom (UK) semakin meningkat dan merebak ke Wales dan Ireland Utara disebabkan layanan berbeza kerajaan Boris Johnson terhadap wilayah tersebut dalam krisis Covid-19.

Menurut Brown, keputusan Brexit dan krisis pandemik Covid-19 telah melemahkan persekutuan serta menggugat konsep ‘Global Britain’ yang dijanjikan pasca Brexit disebabkan peningkatan nasionalisme yang berupaya memecahkan UK sekaligus menjadikan ia sebuah negara yang gagal.

Kalau dilihat, persamaan konsep negara gagal dalam kes Malaysia dan UK lebih kepada menyerang kelemahan pimpinan kerajaan dalam menangani permasalahan negara. Di UK isu pasca Brexit dan layanan berbeza elit politik London dalam krisis Covid-19 menjadi penyebab kritikan Brown. Manakala Moss pula melihat kelemahan kerajaan Malaysia dalam menangani permasalahan politik sedia ada di samping isu ekonomi dan sosial yang bertambah buruk juga disebabkan Covid-19.

Kesimpulannya, negara gagal itu sebenarnya bermula dengan kerajaan yang gagal. Kalau kerajaan gagal mempertahankan empat elemen yang dicadangkan oleh Stewart Patrick itu, maka bersedialah juga untuk menjadi sebuah negara yang gagal.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Maksud sebenar negara gagal


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Anjang Aki kembali ke Rahmatullah

 


Sebaran :

Leave a Reply