Siti Nordiana buat laporan polis
Siti Nordiana buat laporan polis
Siti Nordiana membuat laporan polis terhadap lima individu yang didakwa memfitnahnya menerusi sesi siaran langsung Instagram (IG), baru-baru ini.
Siti Nordiana, 36, atau mesra disapa Nana membuat laporan polis itu bersama peguam, Abang Azlan Abang Ariffin dari Abang Azlan & Associates di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, pada jam 9.42 pagi tadi.
Lima individu terbabit adalah seorang vokalis lelaki dan isterinya; penyanyi wanita; jurusolek serta pegawai perhubungan awam sebuah syarikat rakaman.
Siti Nordiana berkata, antara perkara dinyatakan dalam laporan polis itu adalah penafian terhadap segala dakwaan yang dibuat semua individu terbabit.
“Sebelum ini, Nana memang terdengar cerita mereka memburukkan Nana sesama mereka. Tetapi, Nana pejamkan mata dan tak mahu ambil peduli.
“Namun, apabila sudah membabitkan ‘live’ dalam media sosial, Nana sudah tidak boleh bersabar. Ia jelas menjatuhkan reputasi Nana dan disebabkan itu, Nana ambil tindakan ini,” katanya pada sidang media secara virtual, hari ini.
Sementara itu, Abang Azlan berkata, laporan itu dibuat kerana mahu melindungi penyanyi itu daripada terus menjadi mangsa fitnah yang boleh mencalarkan imej bersih yang dibina selama ini.
“Laporan polis itu adalah satu ‘covering note’ atau sebagai pelindung kepada anak guam kami terhadap segala fitnah dan tohmahan yang dilakukan.
“Walaupun IG Live itu sudah dipadam daripada akaun milik pihak terbabit, tetapi ia sudah dimuat naik ke akaun YouTube yang lain.
“Saya menonton kembali siaran IG Live itu. Saya dapati perbualan mereka itu memang merujuk kepada Siti Nordiana dan segala penyataan berbaur fitnah dan kurang menyenangkan itu ditujukan kepada Siti Nordiana,” katanya.
Susulan itu, Abang Azlan memaklumkan Siti Nordiana akan menghantar notis tuntutan permohonan maaf secara terbuka kepada semua individu terbabit, Isnin ini.
“Saya dan pihak Siti Nordiana sedang membuat draf tuntutan permohonan maaf secara terbuka dan terma lain. Ia akan diserahkan kepada mereka, Isnin ini.
“Dalam notis itu, kami menuntut mereka membuat permohonan maaf secara terbuka dalam masa 24 jam hingga 48 jam, bergantung kepada anak guam kami.
“Kami tidak mahu beri masa terlalu lama kerana tak mahu imej anak guam kami menjadi bertambah buruk,” jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya Siti Nordiana sama ada sedia menyelesaikan kes itu secara baik jika dipinta, penyanyi lagu Hatiku Milikmu dan Angkara ini bersifat terbuka mengenainya.
“Insya-Allah, Nana faham benda ini. Kita manusia biasa dan tak sempurna.
“Apapun, Nana akan serahkan perkara ini kepada peguam dan kita tengoklah bagaimana hasil perbincangan itu nanti,” ujar Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32 ini.
Mengenai dakwaan mereka pernah menghantar mesej kepadanya untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku, Siti Nordiana mengesahkan perkara itu.
Cuma, katanya, dia lebih suka jika perkara itu dibuat dengan lebih profesional iaitu bersemuka.
“Nana memang ada menerima mesej mereka tetapi Nana tidak berkesempatan membalasnya.
“Lagipun, Nana lebih suka jika perkara ini diselesaikan secara berdepan dan bukan melalui mesej kerana Nana tak mahu mesej itu nanti dimanipulasikan,” katanya. BH
Siti Nordiana buat laporan polis
Baca Artikel Menarik :
- Bukan mudah nak masuk Gaza, saya pun tak lepas – Mahathir
- Ramai lagi ahli Parlimen akan diugut – Syed Saddiq
- Pegawai dakwa netizen ambil kesempatan lanyak Sanusi
- Mau autograf ke? Masih belum insaf
- Fizo nak kahwin hujung tahun
- Resepi gulai daging korban memukau
You must be logged in to post a comment.