Dulu tolak vaksinasi, sekarang mahu

Sebaran :

 

Dulu tolak vaksinasi, sekarang mahu . ISU menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam kalangan rakyat terus menjadi perdebatan semua pihak.

Masalah ini bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan di negara-negara lain juga.

Bagaimanapun ada dalam kalangan mereka yang sebelum ini bersifat tegas menolak vaksinasi dengan pelbagai alasan tetapi kini telah menerimanya bagi memastikan imuniti kelompok berjaya dicapai.

Untuk rekod, lebih 15 juta dos vaksin Covid-19 pertama dan kedua diberikan kepada rakyat negara ini dengan kira-kira 300,000 dos setiap hari.

Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mencapai imuniti kelompok sebelum tahun 2022.

Sinar Harian memaparkan berita beberapa individu yang sebelum ini menilai vaksinasi tetapi akhirnya mengubah fikiran.

Menariknya, mereka yang sebelum ini menolak vaksin akhirnya telah melengkapkan suntikan imunisasi mereka.

 

KISAH 1

Tiga kali Nor Rabiah tolak vaksin kerana takut

KUALA TERENGGANU – Seorang kakitangan swasta di sini mendakwa pernah menolak tiga kali panggilan menerima vaksin Covid-19 kerana ‘takut’ dan terpengaruh dengan khabar angin tentang suntikan tersebut.

Nor Rabiah Mohamad, 40, dari Kampung Panji Alam di sini mengakui semua itu dilakukan atas faktor kurangnya maklumat tepat mengenai kesan suntikan vaksin Covid-19 terhadap individu berpenyakit sepertinya.

“Ketika dapat panggilan suntikan, saya bagi macam-macam alasan kerana bimbang jadi apa-apa lepas disuntik. Lebih-lebih lagi apabila pelbagai cerita tidak baik mengenai vaksin dipaparkan dalam media sosial,” katanya pada Rabu.

Dia yang mempunyai ketumbuhan di kepala sejak empat tahun lalu berkata, kegusaran terhadap vaksin terpadam selepas doktor pakar yang merawatnya memaklumkan kebaikan vaksinasi sebagai ikhtiar mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, keyakinannya bertambah apabila kedua ibu bapanya yang menghidap penyakit kencing manis sudah menerima vaksin tanpa sebarang kesan sampingan.

 

KISAH 2

Terpengaruh dakyah vaksin ada kaitan agenda agama

SHAH ALAM – Terpengaruh dengan dakyah yang mendakwa vaksin Covid-19 ada kaitan dengan agenda keagamaan menyebabkan orang ramai tidak berani mendapatkan suntikan imunisasi, namun berubah fikiran selepas melihat kadar kematian meningkat.Seorang pekerja swasta, Siti Nur Shafiqah Che Mazlan, 22, mengakui pada awalnya dia sangsi terhadap kebolehupayaan vaksin tersebut dan percaya ia memberi kesan sampingan yang memudaratkan.

“Pada mulanya saya tidak memang percaya suntikan vaksin boleh menghindarkan Covid-19.

“Saya merasakan Covid-19 dan vaksin itu hanyalah agenda Yahudi atau orang bukan Islam untuk memecah-belahkan umat Islam,” katanya.

Bagaimanapun, Siti Nur Shafiqah berkata, dia berubah fikiran setelah melihat kadar kematian dalam negara semakin meningkat akibat pandemik tersebut.

Menurutnya, dengan menerima suntikan vaksin itu, dia berharap dapat pulang ke kampung halaman untuk bertemu dengan keluarganya.

“Saya sudah setahun tidak pulang ke kampung untuk bertemu ibu dan ayah. Saya mengambil vaksin dengan harapan dapat pulang ke kampung.

“Saya sudah penat duduk di rumah. Saya ingin keadaan menjadi seperti dulu di mana kita boleh berjalan ke mana saja tanpa perlu risau akan sebarang risiko,” katanya yang telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Siti Nur Shafiqah berkata lagi, proses penerimaan di pusat penerimaan vaksin (PPV) berjalan lancar, malah pihak petugas kesihatan sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) efisien dan teratur.

 

KISAH 3

Mula dulu berasa ragu-ragu

IPOH – Kerana mahu terus bekerja dengan selamat dan dapat pulang ke kampung, seorang lelaki yang dahulunya ragu-ragu dengan keberkesanan vaksin kini mengakui tidak sabar untuk menerima suntikan berkenaan.

Din menunjukkan pendaftaran vaksin yang dibuat menerusi aplikasi MySejahtera pada Mei lalu dan masih menunggu janji temu suntikan berkenaan.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Din, 34, berkata, pada awal kempen suntikan vaksin, dia rasa ragu-ragu setelah mendengar dan membaca mengenai keberkesanan vaksin yang dihasilkan.

Menurutnya, berita negatif mengenai kematian selepas menerima vaksin dan keberkesanan mencegah virus Covid-19 mempengaruhi kepercayaannya.

“Ada pelbagai cerita negatif kerana maklumat yang disampaikan tidak konsisten. Pada saya, kenapa nak ambil vaksin kalau boleh dijangkiti semula dan berdepan risiko kematian.

“Apabila difikirkan banyak perkara atau aktiviti terhalang kalau tak ambil vaksin, nak pergi ke mana-mana pun susah, lebih baik ambil sahaja,” katanya.

 

KISAH 4

Takut ambil vaksin sebab berpenyakit

KUALA LUMPUR – “Pada awalnya, saya takut untuk ambil vaksin sebab ada penyakit jantung, namun menerimanya dengan tenang selepas mendapat nasihat doktor,” kata Md Sairudin Deraman, 50.

Peniaga kelahiran negeri Che Siti Wan Kembang itu mengakui pada peringkat awal berasa berbelah bahagi walaupun mendaftar untuk menyertai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Saya akui agak sukar untuk terima vaksinasi pada peringkat awal tetapi kini persepsi itu berubah selepas diberi informasi tepat daripada pakar,” katanya.

Md Sairudin sebelum ini selesai mengambil dua dos vaksin Covid-19 pada 1 dan 22 Jun lalu di Hospital Machang, Kelantan, kini lebih yakin untuk melakukan aktiviti rutin di rumah atau di luar rumah.

Dulu tolak vaksinasi, sekarang mahu


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


SPRM nafi tuduhan ke atas Syed Saddiq pertuduhan bermotif politik


Sebaran :

Leave a Reply