Pengsan ketika bersukan, apa puncanya?

Sebaran :

Pengsan ketika bersukan, apa puncanya?

PIALA Eropah telah berlabuh tirai pada hujung minggu yang lepas dengan Itali telah bergelar juara Eropah bagi tahun ini. Pelbagai aksi yang bertaraf dunia telah dapat disaksikan sepanjang berlangsungnya kejohanan tersebut selama hampir 1 bulan setengah di sebalik pandemic COVID-19 yang melanda dunia.

Dari profesion perubatan, perlawanan pertama Piala Eropah telah dikejutkan dengan kejadian yang tidak diingini. Dalam perlawanan di antara Denmark dan Finland, pemain tengah Denmark, Christian Eriksen telah rebah dan tidak sedarkan diri secara tiba-tiba.

Reaksi pantas pegawai perlawanan dan pasukan perubatan melakukan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) telah menyelamatkan beliau daripada situasi genting tersebut. Beliau kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan telah ditempatkan di hospital yang berhampiran. Selang beberapa hari selepas kejadian tersebut, legenda badminton Indonesia, Markis Kido telah meninggal dunia ketika sedang bermain badminton akibat dari serangan jantung.



Situasi sama juga dapat dilihat di arena sukan tempatan. Pemain hoki kebangsaan dan Maybank, Joel van Huizen telah rebah secara tiba-tiba semasa perlawanan Liga Hoki Malaysia di antara Maybank dan TNB Thunderbolts pada Mac yang lalu. Pasukan perubatan dari Institut Sukan Negara yang bersedia sebagai pasukan perubatan kejohanan telah bertindak pantas menyelamatkan nyawa Joel van Huizen dengan melakukan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR). Beliau kemudiannya telah dipindahkan ke hospital dan kini keadaan beliau telah pulih sepenuhnya.

Apa Itu Cardiopulmonary Resuscitation (CPR)?

Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) atau bantuan kecemasan jantung dan pernafasan adalah prosedur kecemasan yang dilakukan apabila seseorang telah jatuh pengsan dan dengupan jantung berhenti secara tiba-tiba. Tindakan ini dapat menyelamatkan nyawa dengan membantu pengaliran darah dan oksigen ke organ yang penting terutamanya otak.

Prosedur CPR memerlukan perawat menekan dada pesakit secara pantas dan berterusan dengan atau tanpa bantuan pernafasan secara berkala. Keberkesanan CPR bergantung kepada beberapa faktor. Faktor yang paling penting adalah perawat hendaklah terlatih dengan prosedur CPR dan sentiasa mengemaskini pengetahuan yang berkaitan.



Menurut kajian perubatan kecemasan, CPR dapat mengembalikan dengupan jantung pesakit dalam 47 peratus kes apabila dilakukan oleh perawat yang terlatih. Antara faktor lain yang mempengaruhi keberkesanan CPR adalah jangka masa CPR dilakukan dengan tempoh jantung terhenti, umur pesakit, sejarah penyakit dan ritma jantung yang boleh direnjat.

Punca tidak sedarkan diri ketika bersukan

Melalui berita semasa dan juga media sosial, seringkali kita dengar kes kematian atau tidak sedarkan diri semasa bersukan. Di Malaysia, kes-kes kematian ketika bersukan kebiasaanya berlaku dalam kalangan umur 30 hingga 50 tahun.

Secara umumnya, kejadian yang melibatkan umur 35 tahun ke atas adalah disebabkan saluran darah koronari atau jantung yang tersumbat, manakala bagi yang berumur 35 tahun ke bawah adalah disebabkan masalah struktur jantung seperti ketidakseimbangan saiz jantung, injap jantung tidak normal dan ritma elektrik yang tidak teratur.



Masalah saluran darah koronari yang tersumbat dan struktur jantung yang tidak normal menjadi penyebab kepada serangan jantung ketika bersukan.

Selain dari masalah jantung, terdapat beberapa faktor lain yang menjadi penyebab kejadian tidak sedarkan diri atau kematian ketika bersukan.

Dengan iklim yang panas dan lembab di Malaysia, faktor persekitaran banyak memainkan peranan. Ini adalah kerana kita terdedah dengan risiko kepanasan melampau (heat exhaustion) yang boleh membawa kepada strok haba (heat stroke) jika tidak dikenalpasti dengan cepat. Selain itu, cuaca panas juga menyebabkan dehidrasi berlaku dengan lebih cepat.

Menyedari risiko-risiko ini, FIFA telah membuat ketetapan baru ketika Piala Dunia 2014 di Brazil dengan membenarkan satu Water Break bagi setiap separuh masa untuk memberi ruang dan masa kepada pemain dan pengadil minum dan mengelakkan dehidrasi. Ketetapan ini kemudiannya menjadi keperluan bagi perlawanan-perlawanan yang berlangsung semasa musim panas dan di negara yang sentiasa panas dan lembab.

Faktor sejarah kesihatan dan penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, asma dan sakit buah pinggang boleh menjadi antara punca tidak sedarkan diri ketika bersukan.

Bagi pesakit kencing manis, terutamanya bagi yang mengambil suntikan insulin, hendaklah memeriksa paras gula sebelum bersukan. Pesakit asma pula perlu memastikan penyedut (inhaler) ubat sentiasa berada ditempat yang senang dicapai ketika bersukan. Aktiviti fizikal boleh menjadi faktor serangan asma jika tidak dikawal dengan baik.

Oleh itu, ia sangat penting untuk melakukan saringan kesihatan sebelum bersukan bagi yang mempunyai masalah kesihatan yang kronik dan juga bagi yang tidak pernah melakukan aktiviti fizikal.

Saringan kesihatan

Bagi atlit professional pula, mereka akan menjalani proses saringan kesihatan setiap kali sebelum kejohanan atau permulaan musim. Saringan ini penting bagi memastikan atlit dapat menyertai kejohanan sukan dengan tahap kesihatan yang baik. Saringan kesihatan yang asas terdiri daripada pemeriksaan fizikal, ujian darah, ujian air kencing, x-ray dada dan electrocardiogram (ECG).

Maklumat yang diperolehi melalui saringan dapat membantu pegawai perubatan dan pihak pengurusan pasukan mengesan sebarang kecederaan atau penyakit dalam kalangan atlit.

Sebagai contoh, atlit yang mempunyai ECG yang tidak normal perlu menjalani pemeriksaan lanjut oleh pakar perubatan jantung dan sekiranya perlu, ujian echocardiogram dijalankan bagi mengesahkan keadaan jantung normal ataupun tidak. Sekiranya normal, atlit diberi perlepasan untuk meneruskan aktiviti sukan seperti biasa. Sekiranya tidak, kajian dan rawatan lanjut perlu dijalankan. Pengsan ketika bersukan, apa puncanya?

Pendidikan dan latihan

Selain daripada saringan kesihatan, pendidikan dan latihan bantuan kecemasan dalam kalangan atlit serta pegawai sukan perlu diberi perhatian oleh pihak yang terlibat. Mereka perlu diberi pendedahan tentang kecemasan ketika aktiviti sukan dijalankan.

Siri pendidikan dan latihan bantuan kecemasan seperti Basic Life Support (BLS) perlu diberikan kepada atlit, pegawai sukan dan juga pengadil kerana mereka ialah golongan yang paling dekat dengan atlit sekiranya terjadi sebarang kecemasan sewaktu acara sukan atau latihan.

Sebagai contoh, sekiranya ada atlit yang pengsan dan tidak bernafas, mereka di sekeliling akan lebih tenang dan tahu untuk bertindak. Bantuan dapat dihubungi dengan segera dan CPR dapat dimulakan dengan lebih awal, maka peluang untuk atlit tersebut diselamatkan adalah lebih tinggi. Pengsan ketika bersukan, apa puncanya?

Automated External Defibrillator (AED)

Salah satu pelaburan yang boleh dibuat oleh kelab sukan atau pusat rekreasi adalah menyediakan Automated External Defibrillator (AED). Alat ini amatlah berguna dalam situasi kecemasan yang melibatkan mangsa pengsan. Sekiranya jantung berhenti berdegup disebabkan masalah aliran elektrik di dalam jantung, alat ini dapat membantu membetulkan semula aliran elektrik jantung lalu mengembalikan degupan yang normal.

Kajian menunjukkan kadar survival lebih tinggi jika AED digunakan lebih awal. Tahniah buat Stadium Sultan Ibrahim yang telah menyediakan 20 AED di perkarangan stadium.

Perlindungan perubatan

Setiap kali acara sukan dijalankan, pihak pengurusan akan memastikan terdapat perlindungan perubatan. Sebaik-baiknya, pegawai perubatan atau paramedik yang dilantik untuk melakukan perlindungan perubatan perlu mempunyai latihan yang cukup. Hal ini kerana kecederaan dan kecemasan ketika sukan boleh jadi sedikit berbeza.

Sebagai contoh, apabila seorang pemain bola speak rebah dan pengsan selepas terjadi pelanggaran, pemain tersebut mesti dikeluarkan dan tidak boleh dibenarkan bermain walaupun selepas sedar.

Kondisi ini dinamakan ‘concussion’ atau gegaran otak. Namun, apa yang berlaku ketika perlawanan Sabah menentang Selangor FC sangatlah tidak wajar berulang. Pemain yang pengsan selepas pelanggaran dibenarkan terus bermain oleh pegawai perubatan bertugas.

Oleh itu, adalah disarankan semua pihak yang ingin menjalankan perlindungan perubatan bagi acara sukan untuk mendapatkan latihan dan pendidikan yang berkaitan. MG

Pengsan ketika bersukan, apa puncanya?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Najib bela Ebit Liew


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *