Untung Rugi Percaturan Politik UMNO Perlu Dikaji Demi Rakyat

Untung Rugi Percaturan Politik UMNO Perlu Dikaji Demi Rakyat.

PERCATURAN kuasa antara UMNO pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, belum selesai.

Perasaan tidak puas hati Presiden UMNO itu terhadap kepemimpinan Muhyiddin belum berakhir sehingga kini. Mengapa?



Apakah mungkin disebabkan beliau tidak dilantik menteri atau Menteri Kanan dalam pentadbiran Muhyiddin? Apakah akan selesai konflik apabila Zahid dilantik?

Memang sepatutnya sebagai Presiden UMNO, Zahid wajar dilantik Timbalan Perdana Menteri atau sekurang-kurang menteri kanan dalam Kabinet.

Namun, tuduhan kes rasuah dan perbicaraan mahkamah yang belum selesai, tidak memungkinkan itu berlaku. Jelas sekali, keputusan Muhyiddin dalam hal ini wajar.

Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan, antara proses percaturan kuasa antara Zahid dan Muhyiddin.



Semua pihak menerima kenyataan ini. Terbaru, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin. Apakah kesan dua perkembangan ini?

Realitinya, Zahid mempunyai harapan supaya tindakan ini membawa kekuatan kepada UMNO dipimpinnya. Ini bukan jalan mudah.

Perlu dilihat, adakah keputusan MKT ini diikuti tindakan semua wakil UMNO yang mengisi kerusi menteri dan timbalan menteri dalam kabinet Muh- yiddin?

Jika ya, jelas sekali ia menunjukkan perpaduan UMNO kukuh dan manifestasi sokongan padu kepada Zahid. Jika sebaliknya, apa akan terjadi?



Realitinya, kedudukan Presiden UMNO kini sangat jauh berbeza dibandingkan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad berkuasa, malah ketika di bawah Datuk Seri Najib Razak sekalipun.

Kedudukan Zahid nampaknya lebih lemah, tidak hanya kerana Presiden UMNO bukan Perdana Menteri, tetapi juga faktor kepatuhan dan perpaduan dalam UMNO. Tidak mustahil, peralihan kepemimpinan pada pemilihan akan datang besar kemungkinan berlaku.

Bagaimana pula dengan pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin? Ramai penganalisis melihat tindakan itu positif untuk mengukuhkan kedudukan Ahli Parlimen UMNO yang cenderung kepada Muhyiddin.

Pelantikan ini akan memungkinkan terbentuknya satu kumpulan Ahli Parlimen UMNO yang cenderung kepada kerjasama rapat dengan kepemimpinan PN, khususnya terhadap BERSATU.



Semakin besar kumpulan ini terbentuk, akan berupaya membentuk kekuatan UMNO yang memilih jalan bekerjasama dan menolak tindakan konflik diajukan kumpulan Zahid.

Ramai setuju sokongan dimiliki Ismail Sabri dan Hishammuddin tidak kecil. Ini akan mengukuhkan kedudukan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Umum berpendapat, tindakan pelantikan itu khususnya seorang Timbalan Perdana Menteri daripada UMNO adalah keputusan bijak yang cenderung kepada kestabilan politik.

Persoalan umum juga timbul dalam benak rakyat – apakah kerajaan PN akan runtuh dan terbentuk sebuah kerajaan baharu? Persoalan ini akan terjawab dengan mudah jika kita faham Perlembagaan dan demokrasi beraja diamalkan negara.



Kerajaan PN sekarang tidak akan runtuh semudah itu. Kita bukan mengamalkan demokrasi mutlak (hatta demokrasi mutlak pun), tetapi demokrasi beraja. Muhyiddin dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong melalui peruntukan Perlembagaan.

Ia tidak semudah apabila ahli UMNO keluar dan tidak menyokong, maka secara automatik kerajaan PN runtuh. Itu bukan asasnya.

Untuk membentuk kerajaan baharu oleh kumpulan Zahid dan ‘parti’ yang bekerjasama dengannya, bukan proses mudah dan secepat itu (walaupun itu mungkin berlaku).

Dengan perkembangan sekarang, bagi terbentuknya sebuah kerajaan baharu, mungkin ada beberapa kesukaran. Ahli Parlimen UMNO tidak akur secara terbuka dengan keputusan MKT. Kalau hanya sebilangan kecil memihak kepada Zahid, ia tidak akan terus mempengaruhi kedudukan Muh- yiddin.



Persoalan dan perkembangan politik ini sedang diperhatikan semua peringkat. Rakyat terpusat kepada persoalan dikemukakan di atas.

Pergolakan politik tidak berkesudahan berlaku ketika kes COVID-19 meningkat dan kematian semakin banyak.

Dalam keadaan genting dengan masalah sosioekonomi dan kehidupan sukar, persoalan politik UMNO-PN terus merodok tanpa penghujung, membuatkan rakyat resah dan gelisah.

Persoalan politik bergolak dalam jiwa yang sukar dibuang ke tepi. Bilakah pergelutan UMNO-PN akan berakhir? Adakah keadaan sosioekonomi serta taraf kehidupan akan pulih dengan berakhirnya konflik ini?

Pemimpin politik daripada semua pihak perlu bijak bukan hanya demi kepentingan diri, bahkan lebih penting negara dan kebajikan rakyat seluruhnya.

Keputusan dibuat bukan bagi kepentingan semasa dan bersifat jangka pendek. Apa lebih penting kepentingan umum secara menyeluruh dan kepentingan jangka panjang.

Untung Rugi Percaturan Politik UMNO Perlu Dikaji Demi Rakyat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Zahid kata tarik sokongan bukan kerana UMNO mahu PRU-15 sekarang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker