Muna Shahirah buat duit main PUBG



Muna Shahirah buat duit main PUBG

KALAU bercakap soal pandemik, semua orang terjejas. Mungkin semasa fasa-fasa awal pelaksanaan perintah berkurung dilaksanakan di seluruh negara tahun lalu, masih ada yang berasa terkecuali, namun kini tidak lagi.

Selepas dua tahun pandemik bermaharajalela, golongan berduit pun boleh ‘menangis’ mengenangkan wang simpanan yang ada harus ‘ditarah’ sedikit demi sedikit.

Bercakap tentang hal tersebut, sehingga kini penyanyi Muna Shahirah bagaimanapun mampu menarik nafas lega kerana pendapatannya sepanjang pandemik masih ada walaupun tidaklah sekencang dahulu.

Kata Muna, semua orang harus bijak merebut dan mencipta peluang baharu dalam menjana pendapatan seharian.




Pendek kata, jangan berada di takuk lama dan berusahalah untuk keluar dari zon selesa bagi melakukan sesuatu demi kelangsungan hidup.

Muna Shahirah main PUBG

Biarpun tidak lagi dapat menjayakan persembahan nyanyian seperti dulu yang merupakan sumber utama pendapatannya, namun bagi yang mengenali penyanyi itu pasti sedia maklum dia kini seorang yang aktif bermain permainan video PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG).

Muna mula berjinak-jinak mendekati permainan tersebut sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diwartakan tahun lalu.

bergantung harap kepada nyanyian atau lakonan semata-mata. – Foto FMC MUSIC
“Mula-mula cuma main menerusi telefon tetapi lama kelamaan saya belajar sendiri menerusi YouTube tanpa bimbingan sesiapa.




“Selepas itu, saya mula strim PUBG menerusi Facebook menggunakan komputer. Tidak sangka jalan saya dipermudahkan. Sekarang pengikut saya hampir 500,000 dalam Facebook,” ujarnya teruja.

Tambah penyanyi berusia 27 tahun itu lagi, dia bersyukur kerana bermula dengan hanya suka-suka, kini permainan tersebut menjadi salah satu sumber pendapatannya pada waktu serba mencabar.

Malah, penglibatan pemilik nama sebenar Muna Shahirah Munadi dalam dunia permainan video pada masa sama turut membuka peluang untuk lebih dikenali sebagai penyanyi, sekali gus mempromosikan lagu nyanyiannya kepada peminat baharu.

“Mula-mula ada yang tidak tahu saya seorang penyanyi. Waktu strim secara langsung, pernah saya saja-saja menyanyi dan ada yang tegur suara saya sedap.

“Terus saya gunakan peluang yang ada untuk promosikan lagu dalam YouTube. Dari situ, bertambahlah kenalan dan peminat dalam Facebook.




“Bukan sahaja dapat jana pendapatan tetapi pengikut yang ada membantu mengundi lagu saya. Alhamdulillah mereka sangat baik dan tidak keberatan membantu.

Paling manis, saya ada peminat berumur tujuh tahun,” katanya yang baru sahaja melancarkan single baharu berjudul Bukan Milikku.

Dilancarkan secara rasmi pada 2 Julai lalu, Bukan Milikku menampilkan Muna menjalin kerjasama dengan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh. Ikhwan turut bertindak selaku penulis lirik.

Penyanyi yang sebelum ini meluncurkan debut perdananya dalam industri menerusi lagu Takdir Cinta pada 2017 itu masih mengekalkan irama balada untuk lagu kelimanya kali ini.

Ditanya tentang keputusannya masih memilih genre yang sama, bekas peserta Akademi Fantasia musim ke-11 (AF2014) itu punya alasan tersendiri.




“Bukan tidak mahu tukar genre tetapi saya sudah selesa dengan lagu yang berkonsepkan balada.

“Pada masa sama, ini juga merupakan cadangan daripada syarikat rakaman saya sendiri, FMC Music.

“Selepas ini kalau diberi peluang, saya teringin nak bawa genre berkonsepkan pop pula seperti lagu Pematah Hati nyanyian Nabila Razali,” katanya.

Bukan Milikku merupakan single kelima Muna sejak bertatih dalam industri lima tahun lalu termasuk lagu duetnya bersama penyanyi Zack Zakwan berjudul Bagaimana.

Kedatangan pandemik yang merencatkan perjalanan industri hiburan untuk bergerak seperti biasa pastinya meninggalkan impak buat semua anak seni.

Apatah lagi bagi golongan artis muda seperti Muna yang baru sahaja hendak bergaul mesra dengan kerjaya, tetapi terhalang dek kehadiran pandemik dan PKP.

Bagaimanapun, itu semua tidak pernah menjadi halangan buat penyanyi kelahiran Mersing, Johor itu untuk meneruskan langkahnya dalam industri dengan menghadiahkan lagu baharu kepada para peminat setianya.

Biarpun mengakui berasa gementar untuk melakukan percubaan mengeluarkan lagu pada waktu yang dikira tenat ketika ini, namun Muna tetap percaya diri.

“Gementar juga nak lancarkan lagu baharu pada waktu PKP. Bimbang kalau nanti saya dikatakan tidak prihatin dengan keadaan semasa.

“Tetapi memandangkan ini adalah tuntutan kerja, jadi saya terpaksa melunaskan tanggungjawab kepada syarikat rakaman dan paling penting, peminat,” jelasnya.

Video muzik lagu Bukan Milikku yang tersedia untuk tontonan dalam YouTube FMC Music sejak 2 Julai lalu menyaksikan penampilan istimewa pelakon Raja Atiq sebagai model. K Online

Muna Shahirah buat duit main PUBG


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Michael Ang sekolahkan Rita isu vaksin

Paksa orang tua, berkerusi roda pun diangkut



Leave a Reply

Your email address will not be published.