Jangan terkinja-kinja dalam TikTok tetapi poket kosong – DSV

Jangan terkinja-kinja dalam TikTok tetapi poket kosong – DSV

TAHU apa yang menjarakkan atau memisahkan seseorang dengan kejayaan dalam kehidupan? Jawapannya, usaha.

Benar, tanpa usaha atau ikhtiar bersungguh-sungguh, impian yang ingin digapai hanya sekadar frasa bertemankan air liur tanpa mendatangkan hasil.

Sekarang, ketika jutaan rakyat Malaysia kian terhimpit dan tersepit dalam acuan masing-masing angkara pandemik Covid-19 yang masih bermaharajalela. Itu baru soal perut yang perlu diisi, belum lagi dicampur dengan gelora politik negara yang bersimpang-siur yang pada akhirnya meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin.

Taikun bisnes kosmetik, Datuk Seri Vida atau nama lengkapnya, Datuk Seri Hasmiza Othman barangkali tidak bersalah apabila bermulut lancang mengatakan sebagai manusia, kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh mengharapkan bantuan orang atau kerajaan dengan mengibarkan ‘bendera putih’.

Butiran saranan daripada Vida yang sememangnya individu lantang dan ‘cakap lepas’ itu membuatkan netizen tidak senang duduk. Namun, dalam konteks kebebasan memberikan hujah, ada pihak bersetuju dan ada yang mungkin kurang bersetuju dengan tindakannya.

Ada frasa klise yang sering bertebaran apabila ketidakpuashatian diluahkan sesama manusia iaitu we can’t please everyone.

Pose sempat mendapatkan penjelasan Vida bagi mengulas lanjut tentang isu yang ‘menerkam’ dirinya sejak awal minggu lalu.

POSE: Datuk, apabila ramai mengecam kononnya tindak-tanduk anda dalam media sosial seperti memperkecilkan usaha rakyat kurang berkemampuan, terutama berkenaan kempen bendera putih, apa yang anda boleh jelaskan?

DATUK SERI VIDA: Saya tidak memperkecilkan kempen bendera putih atau usaha golongan yang kurang berkemampuan untuk meneruskan kelangsungan hidup kini.

Mungkin saya tak berada di tempat mereka tetapi, saya pun pernah susah tetapi saya berusaha untuk hidup senang. Saya tak lahir, celik mata terus hidup senang-lenang. Tidak, saya kerja keras. Itu yang saya maksudkan.

Mungkin cara atau bahasa saya sedikit kasar bunyinya tapi niat saya cuma satu iaitu untuk menyedarkan orang ramai, terutama bangsa saya sendiri iaitu orang Melayu supaya berusaha dan jangan pernah mengalah dalam hidup. Tiada siapa boleh ubah nasib kita melainkan diri kita sendiri.

Ada yang berkata anda tidak sensitif dengan nasib yang menimpa orang ramai sekarang hanya kerana anda sudah berstatus jutawan, bolehlah anda ‘berhidung tinggi’, boleh komen?
Kalau orang kata saya tak menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan disebabkan Covid-19, takkanlah saya nak riak beritahu tolong orang sana sini. Waima anak-anak saya sendiri saya galakkan untuk beri bantuan kepada mereka yang memerlukan. Cik B sendiri pun tolong beri bantuan.

Saya juga ingin menegaskan, sampai bila kita hidup nak mengharapkan bantuan orang lain?
Kudrat Allah bagi tapi usaha tiada. Hari ini esok lusa bolehlah kita beri bantuan one-off tapi takkanlah sampai hujung nyawa nak hidup dengan bantuan orang?

Kena mulakan sesuatu. Kalau minat kosmetik, jual alat solek gincu atau bagaimana. Kalau pandai bercakap, gunakan kelebihan yang Allah bagi itu. Ada platform media sosial, gunakan sebaiknya. Jangan hanya pandai terkinja-kinja di TikTok tetapi poket kosong.

Ada juga yang membandingkan anda dengan pendakwah bebas dan aktivis kesayangan negara, Ebit Lew. Apa yang boleh anda katakan?
Ebit Lew, Ebit Lew lah. Dia tetap dia, saya adalah saya. Saya tidak ditakdirkan untuk jadi seperti beliau. Saya Vida yang bermula daripada susah sampai jadi senang.

Apa yang saya kecapi sekarang adalah berkat usaha, ikhtiar, bertawakal dan doa. Manusia diciptakan berbeza-beza dan kalau semua sama atau serupa maka tiadalah orang susah dan tiadalah orang kaya.

Soalan terakhir, apa nasihat yang anda ingin titipkan kepada golongan terkesan dan buntu dengan permasalahan akibat Covid-19 ketika ini?
Pertama, jangan malu nak kibarkan bendera putih. Kalau malu dengan jiran misalnya, anda tiada makanan atau duit, macam mana kita nak tahu anda sedang dihimpit kesusahan.

Kedua, bantuan, bantuan juga. Tetapi saya sarankan guna tulang empat kerat yang Allah beri, usaha atau ikhtiarkan sesuatu.

Sebab apa? Kita hidup bukan sehari dua, kita akan hidup lama kalau Allah izinkan dan untuk itu, kita perlukan wang bukan hanya untuk diri tetapi untuk keluarga atau keturunan kita.
Ada banyak alternatif dalam hidup kalau nak senang, bezanya, kita nak atau tak nak sahaja.

Ketiga, kalau nak berniaga, misalnya jual makanan secara kecil-kecilan. Buat dengan amanah dan pastikan jaga kebersihan sebab kebersihan adalah tuntutan agama.

Kalau tak bersih, tangan kotor sibuk uli tepung karipap bagi orang makan, adakah elok untuk orang? Orang sakit sebab kita sambil lewa sediakan makanan dan mungkin balasan Allah tak turun hari ini, mungkin esok, lusa atau tulat. Mungkin juga minggu atau bulan depan. Tak kena kita, kena keturunan kita. Siapa tahu, Wallahuaklam.-KOSMO

Jangan terkinja-kinja dalam TikTok tetapi poket kosong – DSV


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Bonda Rozita Ibrahim Bidas Dato Seri Vida Anggap Ayat ‘Malas’ Tidak Sesuai Digunakan [VIDEO]

[VIDEO] Gelar Juri ‘Old School’ , Datuk Seri Vida Smash Padu Pada Juri Sebab Tak Puas Hati Pilihan Lagu AJL35

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker