Ismail Sabri boleh kembalikan kepimpinan UMNO – Penganalisis

Ismail Sabri boleh kembalikan kepimpinan UMNO – Penganalisis

Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri secara logiknya harus dillihat sebagai langkah mudah bagi UMNO untuk kembali menerajui pucuk kepimpinan negara yang terlepas daripada genggamannya semasa Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

Bagaimanapun, pelantikan Naib Presiden UMNO itu dilihat seolah-olah tidak diterima dengan baik oleh UMNO sendiri apabila Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penarikan sokongan parti itu terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sesuatu yang pernah disuarakan oleh beliau sebelum ini.

Namun pada sidang media yang dibuat selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO itu, Ahmad Zahid tidak menyentuh mengenai kedudukan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin.

Akibatnya timbul kekeliruan dalam kalangan ahli UMNO sendiri yang sebenarnya melihat pelantikan Ismail Sabri sebagai sesuatu yang positif bagi parti dan boleh bersama-sama membantu memulihkan keadaan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain menarik balik sokongan, Ahmad Zahid turut meminta Muhyiddin supaya berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad dengan memberi tumpuan kepada usaha menangani wabak COVID-19 sebelum mengembalikan semula mandat kepada rakyat setelah negara berjaya mencapai imuniti kelompok.

Bagi penganalisis politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang iaitu Che Hamdan Che Mohd Razali, pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri harus dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada UMNO dan sewajarnya disambut baik di semua peringkat parti itu.

“Namun mendesak Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan mungkin merupakan strategi UMNO memandangkan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu (disandang) oleh wakil UMNO dan berpeluang menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berpandangan menukar perdana menteri, walaupun untuk sementara waktu, pada masa sekarang merupakan satu risiko yang besar kepada negara tambahan ketika Malaysia masih dilanda COVID-19.

“Sukar untuk menjangka apa yang akan berlaku dari segi penyelesaian konflik pandemik, ekonomi dan politik yang berlaku dengan pertukaran perdana menteri kerana apa yang berlaku kini adalah di luar kawalan manusia, misalnya dalam kes COVID-19,” katanya.

Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Mohd Izani Mohd Zain pula berkata beliau tidak nampak tindakan seterusnya yang akan diambil oleh UMNO selain apa yang dilakukan parti itu sekarang ialah semata-mata ingin memberi tekanan kepada Perdana Menteri untuk melepaskan jawatannya.

“Jika UMNO nak tubuhkan kerajaan baharu, siapalah gandingan UMNO? Sedangkan UMNO tidak mahu bekerjasama dengan PKR dan DAP.

“Saya tidak nampak tindakan ini akan memberi implikasi kepada kerajaan melainkan menteri-menteri UMNO melepaskan jawatan (dalam kerajaan) serta wujud secara jelas sebuah gabungan baharu untuk menggantikan PN.

Mohd Izani berkata selain meletakkan tanggungjawab menguruskan negara dengan baik sepenuhnya ke atas bahu perdana menteri, kejayaan negara juga amat bergantung kepada kerjasama semua ahli politik serta keberkesanan penjawat awam.

Katanya tiada jaminan bahawa dengan menukar perdana menteri akan membolehkan keadaan negara semakin baik dan jika ia tidak menjadi realiti, kemungkinan besar berlaku pertukaran dalam pucuk kepimpinan selepas itu.

Kedua-dua penganalisis politik juga sependapat bahawa dalam keadaan jumlah kes COVID-19 yang masih tinggi, tidak sesuai untuk diadakan PRU15 walaupun ia dianggap satu-satunya jalan bagi menamatkan kemelut politik negara.

Selain Ismail Sabri, turut diumumkan ialah pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan Luar Negeri yang mengetuai Kluster Keselamatan.

— BERNAMA

Ismail Sabri boleh kembalikan kepimpinan UMNO – Penganalisis


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Armand sahkan Ismail Sabri dapat restu Zahid

Istana Pasir Tertinggi Di Dunia Di Denmark [VIDEO]

Related Articles

One Comment

  1. Strategi apa yang UMN0 pakai? PAS sudah tentu tidak merestui tindakan dan cukupke kerusi parlimen buat UMN0 untuk jadi PM? Atau sudah dijangka bersengkongkol dengan PKR dan DAP yang ternyata musuh ketat UMN0. Kenapa hendak bergabung dengan parti yang bukan paksinya Melayu dan Islam? Kenapa nak lantik DSAI sebagai PM? Gila ke MKT UMN0? Buat PAU dulu untuk selesaikan masalah dalaman parti baru senang kerja untuk PRU nanti.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker