Doktor kontrak perlu bersyukur, graduan lain sengsara

Doktor kontrak perlu bersyukur, graduan lain sengsara

NASIB seorang graduan perakaunan seperti saya beginilah, selepas terima skrol tiada kerja tersedia. Terpaksa cari di sana sini siang dan malam. Berbeza betul dengan kawan-kawan graduan perubatan, habis belajar, keluar dari universiti sudah ada jawatan. Masing-masing dapat gelaran doktor. Gaji lebih tinggi berbanding graduan lain seperti kami graduan perakaunan, kejuruteraan, sains sosial dan sebagainya.

Sebab itu saya terpanggil meluahkan rasa apabila doktor berstatus kontrak cuba melawan arus dan mencabar pemerintah. Mereka tuntut setiap daripada mereka diserapkan ke jawatan tetap segera.

Yelah, siapa tak mahu dapat kerja. Apatah lagi kalau kerja itu berstatus tetap yang banyak kelebihan seperti pencen di hari tua. Kalau zaman datuk nenek kita dahulu mungkinlah orang tak suka kerja ‘gomen’. Tapi zaman sekarang sudah berbeza. Jawatan kosong ada 100 tempat, yang meminta pula cecah 50,000 orang permohon.

Pandangan peribadi saya sepatutnya golongan doktor kontrak ini terimalah apa yang kalian sedang dapat sekarang. Nama saja kontrak, tapi kemudahan dan kelebihan hampir serupa dengan mereka yang tetap.

Walaupun kontrak, gaji setiap bulan masih ada dan masuk ke dalam akaun bank secara automatik. Tak perlu susah-susah hujung bulan ‘panjat’ bahagian kewangan meminta gaji atau buat tuntutan.

Ada slip gaji sama seperti mereka yang tetap. Kalau rasa nak beli kereta atau telefon bimbit canggih, masih boleh selagi mampu. Kalau terasa nak cuti, peruntukan untuk bercuti sentiasa diberi tiap-tiap tahun seperti yang berjawatan tetap. Kemudahan perubatan pun tersedia sama seperti yang berstatus tetap. Nak apa lagi?

Jika nak dibandingkan dengan jawatan kontrak skim lain, rasanya ‘jauh panggang dari api’. Contohnya perjawatan kontrak MyStep yang sekarang ini banyak terpakai di mana-mana agensi kerajaan. Sudahlah kadar upah gaji itu terlalu kecil hingga ke paras kemiskinan tegar, tiada pula lain-lain elaun dan keistimewaan.

Mesejnya senang saja, terima seadanya dan bersyukurlah dengan apa yang kita dapat. Beratus ribu lagi yang berada di luar sana mengharapkan dapat kerja dalam sektor kerajaan kerana mereka tahu kelebihannya. Kalau dapat kontrak pun mereka sanggup bekerja, asalkan ada daripada tiada.

Sebaliknya para doktor kontrak sekarang mahu mendesak kerajaan untuk beri jaminan diserap tetap ke dalam perkhidmatan pula. Mungkin boleh ditetapkan, tetapi mustahil sekali gus dan di buat dalam masa terdekat.

Setahu saya ia bukan kuasa mutlak Kementerian Kesihatan. Ia melibatkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan juga. Walaupun seorang yang kerajaan ambil sebagai anggota tetap, implikasi kewangannya sampai ke hujung usia. Wang yang kita perlukan besar dan berpanjangan.

Kalau dapat disambung kontrak tahun ke tahun pun bersyukurlah banyak-banyak. Kenanglah nasib orang sekeliling terutama graduan bidang lain yang lebih sengsara mahu bekerja dalam bidang yang dipelajari, tetapi tak dapat walau sudah mohon 10 tahun.

Tak mustahil jika kita terus bersyukur dan buat kerja dengan ikhlas, rezeki tak terduga akan sampai kepada kita suatu hari nanti. Tetapi jika kita bertindak melawan arus dan cuba berkeras, jangan dikesali nanti kerajaan mengambil tindakan terhadap kita.

Pada waktu itu, menyesal tak sudah. Mungkin kontrak anda tak disambung lagi dan nama anda akan disenaraihitamkan dalam perkhidmatan awam sampai bila-bila. Tak kesiankah kepada pasangan dan anak pinak?

Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Sekadar memberi nasihat.

Syahmi Aiman Nasaruddin, graduan perakaunan IPTA

Doktor kontrak perlu bersyukur, graduan lain sengsara


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Polis Buru Doktor Palsu Suntik 812 Orang Guna Air

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker