Beli Dulu Bayar Kemudian dijangka cecah RM2.7 bilion tahun ini

Beli Dulu Bayar Kemudian dijangka cecah RM2.7 bilion tahun ini

Nilai urus niaga kemudahan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) dijangka melonjak sebanyak 109.5 peratus pada tahun ini berbanding tahun 2021 untuk mencecah AS$601.2 juta (RM2.7 bilion), demikian mengikut satu nota penyelidikan yang disiar di laman web ResearchAndMarkets.com.

Penyiar di laman web itu menjangka BNPL di Malaysia akan kekal kukuh untuk jangka sederhana dan panjang.

ResearchAndMarkets.com menjangka pasaran BNPL akan terus melonjak dalam tempoh empat hingga lapan sukuan akan datang, memandangkan permintaan untuk perkhidmatan pembayaran tertunda dijangka meningkat dalam kalangan peniaga serta pengguna di negara ini.

Nilai urus niaga pasaran kemudahan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) melonjak kepada RM1.49 bilion pada 2021 berbanding RM55 juta pada 2020.

Secara perbandingan, hutang isi rumah di Malaysia meningkat kepada RM1.375 trilion sehingga akhir 2021 berbanding RM1.27 trilion pada 2020.

Susulan itu, ahli ekonomi secara umumnya berpendapat langkah kerajaan untuk mengawal selia kemudahan BNPL adalah tepat pada masanya.

BNPL kini dilihat muncul sebagai penyelesaian pembayaran dan pembiayaan yang menarik bagi kebanyakan orang di tengah-tengah pertumbuhannya yang pesat.

Ini sekali gus menjadikan perkhidmatan ini penting untuk dikawal selia demi kebaikan pengguna, pemberi pinjaman serta mengelakkan daripada sebarang potensi risiko kepada sistem kewangan, demikian menurut mereka.

Pengaturan BNPL sedia ada dilihat tidak benar-benar menumpukan kepada penarafan kredit pengguna memandangkan kelulusan yang diberikan hanya berdasarkan maklumat asas, tanpa mengambil kira sama ada pengguna berupaya untuk membuat bayaran balik atau sebaliknya.

“Oleh itu, memperketat undang-undang BNPL perlu dilakukan dan dikawal sewajarnya kerana bukan semua rakyat mampu membayar semula jika kadar faedah dan penalti yang dikenakan terlalu tinggi,” katanya Ahli Ekonomi, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor ketika dipetik Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai cadangan penggubalan Akta Kredit Pengguna (CCA).

CCA yang dijangka dibentangkan kepada Parlimen pada suku kedua 2023 adalah tepat pada masanya untuk memastikan kestabilan dan pertumbuhan sistem kewangan.

Akta itu akan berfungsi sebagai pendekatan awal selepas memantau trend, risiko dan kesan berpotensi ke atas kedudukan kewangan pengguna.

CCA akan ditadbir oleh Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), sebuah pihak berkuasa kompeten bebas, ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan (MOF).

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan, UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan, berkata mengawal selia industri BNPL adalah penting untuk melindungi pengguna daripada kemungkinan risiko seperti data pelanggan dipergunakan dan kekurangan bantuan untuk pelanggan yang mudah terjejas atau mengalami masalah kesukaran kewangan.

“Siapakah yang akan menyemak kontrak antara BNPL dan pengguna? Atas dasar apakah ‘jumlah yang diluluskan’ diberikan kepada pengguna? Potensi untuk meletakkan pengguna terlalu banyak berhutang dengan pelbagai produk BNPL dan yang paling penting, beli sekarang dan tidak dapat membayar kemudian?

“Keupayaan penyedia BNPL untuk menjalankan penilaian kelayakan kredit dan kemampuan yang menyeluruh terhadap pengguna dihalang oleh jangka masa yang suntuk apabila memasuki kontrak.

“Ini adalah tiga sebab mengapa industri ini mesti dikawal secepat mungkin,” katanya. BH

Beli Dulu Bayar Kemudian dijangka cecah RM2.7 bilion tahun ini


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Mahu elak hubungan seks, wanita ditahan buat laporan palsu dirogol

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker