Korek pasir muara Terengganu jejas ekosistem



Korek pasir muara Terengganu jejas ekosistem

Pengorekan pasir muara Terengganu jejas ekosistem, kata pakar

Aktiviti pengorekan pasir sebagai kaedah penggalian untuk mendalamkan laluan air cetek membawa lebih banyak ancaman berbanding kebaikan, kata pakar alam sekitar.

Menurut pakar ketika mengulas kerja pengorekan di muara Terengganu, apa yang disebut sebagai “pengorekan alam sekitar” mempunyai kebaikan serta keburukan kerana boleh menjejaskan kedua-dua ekosistem dan mata pencarian mereka yang bergantung pada aktiviti penangkapan ikan untuk jangka masa panjang.

Susulan dakwaan kumpulan alam sekitar Ecoswed Initiative bahawa perlombongan pasir merosakkan hutan bakau dan kehidupan laut di muara Kuala Baru Setiu, pemaju projek perlombongan memberi maklum balas mengatakan kerja pengorekan itu memanfaatkan kira-kira 1,000 nelayan dari kampung sekitar yang pendapatannya sebelum ini dipengaruhi oleh muara cetek.




M&Z Production Industry Sdn Bhd memberi jaminan bahawa ia tidak merosakkan alam sekitar kerana operasi syarikatnya adalah berdasarkan “pernyataan kaedah dan penyelidikan hidraulik”.

Persatuan nelayan di Setiu juga menyokong projek berkenaan kerana ia “menjamin sumber pendapatan” dan berkata, muara cetek menyukarkan nelayan menangkap ikan atau menjalankan aktiviti berkaitan.

Namun pakar alam sekitar berkata, meskipun kebimbangan nelayan itu adalah benar, pengorekan bukan satu penyelesaian jangka panjang kepada masalah ini.

Pakar ekologi manusia Jarina Mohd Jani menjelaskan, muara menjadi cetek akibat pemendapan kerana aliran sungai Setiu terganggu.

Beliau berkata, arus sungai tidak cukup kuat untuk mengalirkan enapan, bahkan menerima lebih banyak lagi disebabkan kesan gelombang kuat dari Laut China Selatan.




Beliau berkata, pengorekan hanya akan memburukkan lagi masalah tersebut.

Edlic Sathiamurthy, pakar hidrologi di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, pengorekan secara fizikal akan mengubah ekosistem dan menyebabkan kerosakan jangka panjang yang boleh kekal di muara, garis pantai dan ekosistem lain yang saling berkaitan.

Oleh kerana itu katanya, proses hidrodinamik yang mendasar seperti aliran sungai dan “keseimbangan pencerobohan pasang surut” akan terganggu

Gangguan keseimbangan semula jadi ini akan mengubah corak pengangkutan enapan ke pantai berdekatan menyebabkan lebih pemendapan di dalam lagun dan muara dan pada masa yang sama menghilangkan bekalan endapan pantai.

Akibatnya, lagun dan muara akan menjadi lebih cetek sementara pesisir pantai akan terhakis.




“Ini merosakkan pesisir pantai kerana ia memerlukan sedimen untuk bertindak sebagai penghalang fizikal terhadap serangan langsung Laut China Selatan.

“Jika ini berpanjangan, pesisir pantai akan terhakis dan hancur lalu menyebabkan kerosakan besar pada ekosistem tanah lembap yang kini dilindungi oleh pantai berpasir,” katanya.

Sathiamurthy berkata, setelah suatu kawasan dikorek, kerja itu harus terus dilakukan untuk menjaga kedalaman air.

“Ini menghalang sistem sungai daripada mendapatkan semula keupayaan semula jadi supaya ia mempunyai kekuatan optimum untuk mengawal selia sendiri dan membawa keseimbangan kepada ekosistem. Setelah sungai tidak lagi dapat memperoleh semula kemampuan semula jadi, kapal korek akan menjadi keperluan rutin. Pada ketika itu, anda tidak mempunyai pilihan tetapi untuk meneruskan kerja menelan belanja tinggi ini,” katanya.

Sementara itu, Jarina percaya bahawa projek itu akan meninggalkan kesan kekal dan tidak dapat dipulihkan walaupun ada jaminan oleh pemaju bahawa mereka akan menanam semula pokok yang ditebang di muara setelah projek itu selesai.




“Saya bimbang tentang usaha penanaman semula selepas projek ini selesai kerana nampaknya sebahagian besar tanah permukaan – bahagian yang paling kaya nutrien – telah digali.

“Perhatikan bahawa hutan bakau sudah menjadi ekosistem miskin nutrien. Setelah tanah permukaan hilang, tanah apa yang tinggal? Apa sahaja langkah penanaman semula yang dilakukan, ia harus dilakukan secepat mungkin dengan berhati-hati kerana kerosakan telah berlaku, ”katanya. FMT

Korek pasir muara Terengganu jejas ekosistem


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Lagi pemimpin PAS kurang senang kempen #BenderaPutih



Leave a Reply

Your email address will not be published.